Cari @ Amanz

Dalam masa tujuh hari, Meizu Zero dan Vivo Apex 2019 diumumkan oleh dua pengeluar dari China. Kedua-duanya unik di dalam landskap dunia peranti pintar kerana bukan sahaja hadir tanpa sebarang butang fizikal malahan tanpa sebarang port. Menurut pengeluar ini ialah masa hadapan rekaan peranti kerana tiada lagi inovasi baharu yang boleh dilakukan.

VIVO APEX 2019Selain peranti dengan skrin boleh lipat, peranti nirport dan nirbutang ini dijangka menjadi trend ikutan pengeluar lain pada tahun ini. Persoalannya ialah adalah perlu diwujudkan peranti dengan rekaan multi-nir ini? Pada hemat saya ia sepatutnya tidak wujud berdasarkan beberapa eksperimentasi yang pernah dilakukan sebelum ini.

Untuk peranti nirbutang, kita tidak perlu melihat jauh kerana tahun lalu HTC U12+ telahpun dijual. Sehingga hari ini saya tidak pernah melihat ia digunakan dengan meluas di dunia sebenar. Dalam ulasan yang telah saya tulis, saya mengatakan konsep peranti tanpa butang ini hanya kelihatan cantik di atas kertas dan imej pengolokan. Hakikatnya ialah dunia sebenar ia adalah idea yang paling tidak praktikal pernah digunakan pada telefon pintar sejak pengenalan aksesori modular.

Dari pengelaman peribadi, butang haptik pada sisi peranti tidak mengesan tekanan dengan betul. Proses mengubah tetapan suara pada HTC U12+ adalah antara yang paling leceh pernah kami temui. Tekanan yang perlu diberikan adalah amat kuat sebelum sensor terbina pada bingkai mengesannya. Ini perlu dilakukan kerana HTC tidak mahu sentuhan tidak sengaja pada butang akan menyebabkan audio berubah secara tiba-tiba.

Ketiadaan butang fizikal juga menyukarkan proses mengambil gambar skrin kerana pengguna sudah biasa menggunakan kombinasi butang suara dan kuasa. Pada HTC U12+ ini diubah kepada menggenggam tubuh peranti (menerusi Edge Sense) atau menekan butang tambahan pada talam navigasi atas skrin. Sekali lagi dari pengalaman peribadi ia masih tidak semudah sistem butang fizikal sedia ada.

Butang kapasitif juga sehingga kini tidak mampu mengesan apabila dua butang ditekan serentak. Akibatkan proses melakukan hard reset atau boot to recovery sekiranya peranti tergantung (hang) menjadi lebih sukar dari sepatutnya. Bagaimana kedua-dua proses ini akan dilakukan pada Vivo Apex dan Meizu Zero masih lagi misteri.

Pemindahan data juga akan menjadi isu. Biasanya fail besar dipindahkan secara berwayar ke sebuah komputer. Cuba bayangkan pemindahan yang dilakukan sepenuhnya secara nirwayar. Saya yakin sudah ada pembaca Amanz yang pernah mengalami situasi ngeri ini ketika melakukan proses sandaran data peranti untuk tujuan kecemasan.

Sebuah lagi masalah besar yang berlaku ialah mengecas. Sistem nirwayar digunakan sebagai ganti tetapi pada waktu artikel ini ditulis, sistem pengecasan yang pantas hanya mempunyai output 15W. Ini masih di bawah piawaian pengecasan pantas QuickCharge 2.0 dengan output 18W dari tahun 2015.

Umum diketahui pengecasan berwayar terpantas SuperVOOC menyokong output sehingga 50W. Jelas sekali pada peranti tanpa port pengecasan, ia akan mengambil masa yang lebih lama untuk dicas. Ini adalah melawan arus dengan keperluan pengguna yang memerlukan pengecasan pantas sebenar pada sebuah peranti mercu.

Pada Vivo Apex 2019, masalah ini “diselesaikan” dengan pengguna pengecas magnet berwayar yang tidak menggunakan kepala pengecas standard. Bayangkan di dalam situasi kecemasan dan peranti kehabisan bateri. Anda pula tertinggal kabel pengecas di rumah. Peranti nirlubang dan nirport anda kini secara automatik menjadi NIRFUNGSI.

Akhir sekali ialah isu berkenaan audio yang dihasilkan dari skrin. Teknologi Sound on Screen ini telah digunakan pada televisyen pintar beberapa tahun yang lalu oleh Sony, LG dan Samsung. Pada televisyen kualiti audio yang dihasilkan menerima pujian kerana permukaan besar membolehkan amplitud audio lebih tinggi dihasilkan. Pada sebuah peranti berskrin kecil kami tidak yakin audio yang baik boleh dihasilkan.

Pada Xiaomi MI MIX generasi pertama sistem audio piezo-elekrik digunakan bagi menggantikan pembesar suara. Kualiti audio yang dihasilkan amat tidak memuaskan kerana bukan sahaja tidak kuat malahan tidak jelas. Telefon pintar kini adalah sumber utama pengguna menstrim kandungan video dan audio. Oleh itu sistem audio yang baikĀ  juga menjadi faktor sebelum pembelian dilakukan. Peranti dengan rekaan estetika yang cantik sahaja tidak memadai jika kualiti audio tidak setanding.

Apple iPhone 7Artikel ini kami tulis dengan nada skeptis dan negatif kerana kami risauĀ  trend nirbutang nirport ini akan diikuti pengeluar lain. Contoh terbaik ialah Apple dengan berani membuang bicu audio pada iPhone 7 walaupun menerima kritikan hebat pengguna. Sungguhpun begitu tiga tahun selepas iPhone 7, trend membuang bicu audio kini menjadi ikutan pengeluar lain pula. Inovasi sepatutnya memperkenalkan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi pengguna bukan membuang fungsi berguna sehingga menimbulkan masalah baharu yang tidak pernah diminta.

Persoalannya sekarang adakah pengeluar masih mendengar keluhan pengguna atau berpegang teguh kepada prinsip Steve Jobs bahawa “pengguna tidak tahu apa yang mereka mahu sehingga anda menunjukkan kepada mereka”. Anda telah melihat peranti tanpa butang dan port, persoalannya adakah anda masih mahu dengan apa dihidangkan pengeluar? Kongsikan pendapat anda di bawah.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd