Ulasan HTC U12+ – Peranti Berbutang Haptik Yang Tidak Mesra Pengguna
HTC

Ulasan HTC U12+ – Peranti Berbutang Haptik Yang Tidak Mesra Pengguna

Diterbitkan pada Ogos 17, 2018 oleh .

HTC U11+ dilancarkan di Malaysia pada Januari yang lalu, Ia adalah peranti pertama dari HTC dengan rekaan skrin memanjang 18:9. Minggu lalu HTC U12+ pula dilancarkan dengan beberapa penambahbaikan ke atas U11+ dan fungsi yang selama ini hanya dipaparkan pada video konsep HTC Ocean yang tertiris tahun lalu.

U12+ hadir dengan bingkai yang kini menyokong kawalan sesentuh pula. Adakah ini sebuah lagi inovasi yang akan menjadi ikutan seperti penggunaan pembesar suara stereo pada bahagian hadapan, kerangka aluminium sepenuhnya dan kawalan menggunakan bingkai boleh digenggam sebelum ini? Paling penting sekali adakah U12+ berbaloi untuk dibeli di dalam pasaran yang kini dipenuhi dengan banyak peranti yang dijual pada harga amat mampu milik. Jawapannya ada di akhir ulasan ini.

Spesifikasi

HTC U12+
Skrin 6.0″ QHD+ Super LCD6 HDR (537 PPI)
Pemproses 2.8 X 4 + 1.7 X 4 GHz Snapdragon 845
Cip Grafik Adreno 630
RAM 6 Gigabyte
Storan 128 Gigabyte UFS 2.1
(MikroSD sehingga 2 TB)
Kamera Utama 12+16 Megapixel, f/1.75+f/2.6,OIS,
UltraSpeed Autofocus 2
Kamera Depan 8+8 Megapixel, f/2.0
Bateri 3500 mAh (QuickCharge 4)
Tiada sokongan tanpa wayar
SIM/Telefoni Dwi SIM Nano (Talam Hibrid)
NFC Ya
Infra Merah Tiada
Sistem Imbasan Cap Jari, Wajah
Kalis Air IP 68
Harga Jualan RM 3499

Skrin 6″ QHD+ Super LCD6 digunakan pada HTC U12+ dengan nisbah 18:9 dan sokongan paparan HDR 10. Ini ialah skrin yang sama seperti yang digunakan pada HTC U11+ sebelum ini. Berita baik bagi pembaca Amanz ialah HTC tidak mengikut trend semasa menggunakan skrin bertakuk. Oleh sebab itu bahagian dagu dan dahi U12+ adalah lebih tebal dari yang ditemui pada Samsung Galaxy S9 dan Huawei P20 Pro misalnya. Untuk menjimatkan penggunaan bateri, pengguna kini diberikan pilihan mengurangkan resolusi skrin ke FHD+.

Walaupun hanya menggunakan teknologi LCD, paparan skrin peranti ini adalah cukup terang dan tajam. Warna yang terpapar juga bermaya. Satu perbezaan ketara yang yang kami sedari ialah warna hitam yang tidak segelap yang boleh ditemui pada skrin OLED. HTC membenarkan pengguna untuk memaparkan waran DCI-P3 atau sRGB. Sebelum ini mereka hanya menawarkan pilihan mod Vivid atau sRGB sahaja.

Skrin mungkin dikitar semula tetapi pemproses kini dipertingkat kan Snapdragon 845 yang dilengkapi cip grafik Adreno 630. Ini dipadankan pula dengan memori sebesar 6GB RAM dan storan sehingga 128GB. Bagi yang memerlukan storan lebih besar, terdapat sokongan kad MikroSD sehingga 2 Terabyte. Kad MikroSD ini akan mengambil slot untuk nano SIM kedua. HTC masih belum menyertakan sokongan tiga slot untuk menyokong kad MikroSD dan dwi-SIM secara serentak.

Kamera utama sebesar 12+16 Megapixel f/1.75+ f/2.6 dengan sokongan OIS serta sistem pemfokusan UltraSpeed Autofocus 2. Sistem ini menggabungkan PDAF dan laser bagi mempercepatkan proses pemfokusan.  HTC U12+ adalah peranti pertama HTC yang mempunyai sokongan zoom optikal 2X. Ia adalah kali pertama dwi-kamera digunakan pada peranti utama keluaran mereka sejak M9+ yang dikeluarkan pada tahun 2015. Kemampuan merakam video tertinggi ialah 4K 60FPS dan gerak perlahan pula pada tetapan 1080P 240FPS.

Kamera swafoto juga berkembar dengan menggabungkan dua sensor sebesar 8-Megapixel f/2.0. Sungguhpun begitu tiada flash disertakan pada bahagian hadapan. Penggunaan catur kamera ini membolehkan gambar dengan kesan khas bokeh diambil pada kamera hadapan dan belakang.

Sedikit aneh HTC U12+ dilengkapi bateri sebesar 3500 mAh sahaja. Bateri pada U11+ sebelum ini adalah sebesar 3930 mAh. Mengapa kapasiti bateri yang digunakan lebih kecil tidak kami ketahui kerana U12+ mempunyai tubuh yang lebih tebal. Pengurangan kapasiti bateri biasanya hanya berlaku apabila peranti yang lebih nipis ingin dihasilkan. Sistem pengecasan pantas QuickCharge 4.0 disokong melalui port pengecasan USB-C namun hanya pengecas QuickCharge 3.0 disertakan dengan setiap pembelian.

Kerana penggunaan panel belakang kaca, mungkin ramai menyangka terdapat sokongan pegecasan tanpa wayar tetapi sebenarnya tidak. HTC mengatakan ia tidak disertakan kerana perlahan dan akan menambah ketebalan peranti.

Rekabentuk

Dari segi saiz, HTC U12+ adalah lebih pendek berbanding Galaxy S9+ tetapi lebih tinggi berbanding P20 Pro. Kedua-dua peranti ini walau bagaimanapun mempunyai skrin yang bersaiz lebih besar.

Dwi-kamera disusun melintang pada bahagian belakang dengan lensa yang tidak terkeluar dari tubuh.

Hanya terdapat gelung logam berbentuk bujur yang melindungi kaca lensa dari tercalar.  Peranti boleh diletakkan rata pada permukaan meja tanpa sebarang masalah. Flash dwi-tona terletak di bawahnya bersama dengan sebuah pengimbas cap jari berbentuk bulat.

Tiga butang navigasi atas skrin terletak pada bahagian bawah skrin. Pihak HTC membenarkan sehingga lima butang diletakkan pada talam navigasi. Kedudukan kesemua butang ini boleh disusun mengikut kehendak pengguna.

Pada sisi kanan terdapat butang suara dan kuasa. Tetapi ketiga-tiga butang adalah haptik kesemuanya kerana tidak bergerak apabila ditekan. Sebaliknya apabila tekanan diletakkan pada butang, peranti akan bergetar. Ia seakan butang home pada iPhone 8 yang tidak bergerak tetapi hanya bergetar apabila ditekan sebagai tanda ia menerima input yang diberikan pengguna.

Harus kami akui sistem butang haptik sepenuhnya ini terasa amat aneh kerana sudah bertahun menggunakan peranti dengan butang yang bergerak. Selepas dua minggu kami masih gagal membiasakan diri dengan sistem baharu ini. “Butang” perlu ditekan dengan kuat sebelum input dikesan sehingga menyakitkan hujung jari.

Ia mungkin menarik tetapi mendatangkan turut menyebabkan masalah kecil. Untuk menangkap gambar skrin, kombinasi butang suara dan suara tidak lagi boleh digunakan. Pengguna kini diberikan pilihan untuk merakam skrin menerusi butang pada talam navigasi, ditambat kepada fungsi Edge Sense 2 atau melakukan dwi-tap pada sisi bingkai. Kami akan bercakap dengan lebih lanjut mengenai sistem Edge Sense 2 ini di segmen lain di bawah kelak.

Pada sisi kiri pula terdapat talam dwi-SIM bersaiz nano. Ia dari jenis hibrid dan hanya satu SIM boleh dimasukkan jika pengguna menggunakan kad MikroSD. Seperti pada U11, talam perlu dicucuk dengan jarum untuk keluarkan.

Pada bahagian bawah terdapat satu port pengecasan USB-C dan pembesar suara. Tiada bicu audio disertakan pada U12+. Sistem audio stereo BoomSound sekali lagi disertakan dengan satu pembesar suara di bahagian bawah dan satu lagi pada gagang telinga.

Fon telinga U-Sonic berkepala USB-C disertakan dengan setiap pembelian. Fon telinga ini hadir dengan sistem pembatalan hingar aktif  (Active Noise Cancelling). Seperti kami laporkan beberapa hari yang lalu, kali ini  penyesuai USB-C ke bicu audio 3.5 mm tidak disertakan dengan setiap pembelian. Sebaliknya hanya pembeli awal akan diberikan penyesuai ini oleh pihak HTC Malaysia.

Model yang kami terima mempunyai permukaan panel belakang yang diperbuat daripada kaca lutsinar. Panel kaca ini melengkung pada bahagian sisi untuk memberikan keselesaan di dalam telapak tangan. Komponen sistem NFC dan dalaman dapat dilihat dengan jelas. Rekaan NFC tahun ini kelihatan seperti kod bar dan kurang menarik jika dibandingkan dengan gelung berbentuk bulat pada U11+. Pada hemat kami ini membuatkan U11+ kelihatan jauh lebih menarik. Tetapi soal cantik tidak cantik ini subjektif serta berbeza mengikut individu berbeza.

Seperti biasa apabila tubuh kaca digunakan, masalah permukaan yang mudah kotor akan berlaku. Kemasan yang berkilat ini memerlukan pemilik U12+ untuk membeli kerangka tahan lasak bagi mengelakkan berlakunya kerosakan. Sebuah kerangka lutsinar disertakan dengan setiap pembelian tetapi hanya diperbuat daripada plastik.

Sebuah lagi perubahan yang dilakukan ialah sisi yang lebih berkotak. Pada U11 dan U11+, bahagian sisinya dibulatkan bagi meningkatkan keselesaan apabila peranti digenggam. Sisi berkotak pada U12+ adalah bagi memastikan sistem Edge Sense 2 dengan sokongan sesentuh pada bingkai sisi dapat dilakukan dengan lebih mudah. Oleh itu rekaan U12+ lebih menghampiri rekaan klasik era HTC One dan bukannya siri HTC U.

Kami secara peribadi tidak mempunyai masalah dengan rekaan berkotak ini trend pasaran sekarang pengguna lebih meminati peranti dengan sisi dibulatkan atas faktor keselesaan.

Satu perkara yang tidak diubah ialah kemampuan kalis air IP68 serta tiadanya bucu audio 3.5mm. Ketiadaan bucu audio pada peranti HTC kami rasakan bukan lagi kontroversi besar kerana telahpun dibuang sejak tahun lalu.

Sebagai kesimpulan, peranti ini mempunyai saiz yang sama dengan U11+, dengan sisi berkotak seperti HTC 10 dan sistem kawalan bingkai haptik yang baharu.

Antaramuka

Sistem operasi Android 8.0 digunakan dengan pelancar HTC Sense. Kustomasi pada pelancar ini adalah minima dan sebenarnya masih mengekalkan majoriti antaramuka Android Asli. Butang untuk talam aplikasi masih lagi disertakan walaupun Sense menyokong tatalan ke atas untuk melancarkannya seperti pada Pixel Launcher. Dari apa yang kami dapat lihat tiada perubahan dilakukan jika dibandingkan dengan antaramuka HTC U11+.

Kerana penggunaan pelancar yang seakan Android Asli, peranti berfungsi dengan pantas. Aplikasi dibuka hampir serta merta. Penggunaan pemproses yang berkuasa serta saiz RAM yang besar memastikan lagi kelancaran peranti ini. Sungguhpun kelihatan hampir stock, HTC masih menyertakan beberapa fungsi tambahan bagi membuatkan peranti berbaloi untuk dimiliki. Jumlah fungsi dan aplikasi terpasang masih lagi kecil jadi tiada masalah aplikasi gendut pada peranti ini.

Face Unlock – Akhirnya sokongan nyah-kunci menggunakan wajah disertakan.

HTC Sense Companion – Sistem kecerdasan buatan yang memberikan saranan mengenai waktu tidur, bila perlu memulakan perjalanan dan mengesan tahap kesihatan pengguna.

HTC U-Sonic – Fungsi automatik yang menala bunyi mengikut telinga pengguna.

Motion Launch – Sokongan gesture pada skrin seperti dwi-tap untuk menghidupkan skrin.

Navigation Bar – Meletakkan sehingga lima butang pada butang navigasi mengikut susunan peribadi.

One-handed Mode – Mengecilkan saiz skrin untuk memudahkan penggunaan sebelah tangan.

Screen Recorder – Fungsi merakam skrin dalam bentuk video.

Smart Display – Memaparkan notifikasi dan waktu ketika skrin dimatikan. Berfungsi seakan Always On Display pada peranti Samsung dan Pixel 2XL

Themes – Kustomasi antaramuka dengan tema-tema baru yang boleh dimuat turun.

Zoe Video Editor – Aplikasi yang membolehkan video disunting terus dari peranti.

Edge Sense 2

Bahagian khas ini akan membincangkan fungsi Edge Sense 2. Bagi yang kurang arif mengenainya, ia membolehkan peranti dikawal dengan menggenggam atau menekan bahagian bingkai peranti. Ia muncul kali pertama pada U11 sebelum digunakan pula pada Pixel 2, Pixel 2 XL dan U11+.

Dengan Edge Sense 2 dua lagi fungsi ditambah. Kali ini bingkai menyokong dwi tap dan mengesan ia dipegang. Seperti butang-butang haptik yang kami sentuh beberapa perenggan yang lalu, fungsi baharu mengesan sentuhan mewujudkan masalah penggunaan yang agak kronik. Apabila cuba menurunkan tetapan audio misalnya, tekanan yang kuat pada butang mengaktifkan sensor genggaman atau sentuhan secara tidak sengaja. Audio ingin diturunkan tetapi aplikasi kamera pula dilancarkan.

Penggunaan butang haptik, bingkai yang mengesan genggaman dan sisi mengesan sentuhan mungkin menarik di atas kertas tetapi amat tidak praktikal di dunia sebenar. Akibatnya sistem Edge Sense 2 terpaksa dimatikan bagi mengurangkan kemarahan apabila ia terpicu secara tidak sengaja.

Senarai lengkap aksi-aksi yang disokong Edge Sense 2 adalah seperti di bawah.

Double Tap – Terdapat dua zon pada bingkai yang boleh mengesan arahan dwi-tap. Apabila dwi-tap dilakukan, pelbagai fungsi boleh diprogramkan seperti mengambil rakaman skrin, melancarkan Edge Launcher, menghidupkan hotspot dan banyak lagi. Namun tiada sokongan untuk melancarkan aplikasi dibenarkan di dalam Double Tap.

Hold – Apabila bingkai mengesan ia dipegang, ia boleh diprogramkan untuk tidak mematikan skrin selepas tetapan screen timeout dan menghalang skrin dari berputar apabila pengguna menggunakan peranti secara mengiring.

Squeeze – Tubuh peranti boleh dipicit bagi melancarkan aplikasi seperti Google Assistant atau kamera. Aplikasi yang ingin dilancarkan boleh dipilih oleh pengguna mengikut kehendak peribadi.

Squeeze and Hold – Sokongan kawalan sekunder sama seperti Squeeze yang turut boleh diprogramkan mengikut kehendak peribadi.

Kamera

HTC mengalah dan memperkenalkan semula sistem dwi-kamera yang kali terakhir digunakan pada HTC M9+. Sensor 12+16 Megapixel f/1.8+f/2.6 digunakan dengan sensor kedua digunakan untuk zoom optikal 2X. Penggunaan dwi-kamera juga digunakan pada kamera hadapan dengan gabungan sensor 8+8 Megapixel f/2.0. Keempat-empat kamera ini mampu mengambil gambar dalam mod potret bokeh.

Pada tetapan 12-Megapixel, gambar diambil pada nisbah 4:3. Untuk gambar bernisbah 16:9 resolusi perlu diturunkan ke 9-Megapixel. Resolusi rakaman video maksimum pula ialah 4K 60 FPS. Bagi yang masih mahu merakam pada tetapan 1080P. terdapat tetapan untuk merakam pada kadar 60FPS juga.

Mod-mod kamera yang disertakan adalah panorama, pro, hyperlapse, slow-motion dan selfie panorama. Terdapat satu lagi fungsi tambahan iaitu topeng realiti gabungan. Dengan mod ini wajah pengguna boleh diletakkan topeng maya yang mengubah rupa menjadi haiwan comel seperti panda dan anjing.

Kualiti Gambar

Kualiti gambar yang diambil adalah amat baik dengan objek yang tajam, penghasilan semula warna yang bermaya dan kesan bokeh yang nampak asli. Kamera menangkap gambar dengan pantas memastikan objek tidak akan menjadi kabur kerana sudah bergerak. Rakaman gambar secara berterusan juga lancar tanpa peranti menjadi pantas.

Apabila zoom optikal digunakan, objek yang diambil masih lagi tajam tanpa masalah noise. Peranti HTC memang mempunyai reputasi kamera yang baik sejak zaman HTC Desire. Kepakaran mereka menjadi tunjang kepada peranti Pixel yang banyak menerima pujian. Bagi penggemar fotografi peranti mudah alih, HTC U12+ mampu mengambil gambar yang amat memuaskan.

Audio

Pembesar suara stereo BoomSound sekali lagi menghasilkan kualiti audio yang baik. Bunyi yang dihasilkan nyaring, jelas dan tidak pecah walaupun pada tetapan bunyi tertinggi. Audio beresolusi tinggi boleh dimainkan tanpa masalah. Peranti ini walau bagaimanapun tidak mempunyai bicu audio dan output dilakukan menerusi port USB-C. Fon telinga U-Sonic sekali lagi dibekalkan lengkap dengan sokongan pembatalan hingar aktif. Dengan sokongan bluetooth 5.0, audio boleh dinikmati menggunakan codec Qualcomm aptX HD dan LDAC. Kemampuan audio HTC U12+ adalah tidak mengecewakan.

Penanda Aras

Pemproses Snapdragon 845 yang digunakan adalah antara yang terbaik di pasaran sekarang. Apabila dipadankan dengan memori sebesar 6GB RAM, peranti ini tidak mempunyai sebarang masalah melancarkan sebarang aplikasi dan permua yang dimuat turun. Dengan kepopularan permua bergrafik tinggi sekarang, GPU Adreno 630 membolehkan PUBG dimainkan pada tetapan tertinggi dan lancar.

Jika anda seorang peminat permua 3D, Snapdragon 845 tidak akan mengecewakan. Sepanjang tempoh ulasan kami tidak mengalami sebarang sela masa atau aplikasi menjadi panas. Aplikasi dapat dilancarkan dengan pantas dengan multi-tugas yang tidak memerlukan segar semula.

Dalam ujian Antutu Sling Shot Extreme, HTC U12+ mencatatkan 254953 markah. Dalam ujian Geekbench pula ia mencatatkan 2392 markah dalam ujian satu teras dan 8192 markah dalam ujian multi-teras. Markah yang dicatatkan adalah sedikit lebih rendah berbanding Exynos 9810 yang digunakan pada Samsung Galaxy S9+ tetapi lebih tinggi berbanding Kirin 970 yang digunakan pada Huawei P20 Pro.

Bateri

Bateri 3500 mAh yang digunakan adalah saiz standard peranti mercu dengan dengan skrin bersaiz 6-inci. Tetapi U12+ masih lagi menggunakan panel LCD yang menggunakan lebih banyak kuasa berbanding OLED. Pada penggunaan paling berat peranti bertahan hampir 14 jam dengan SOT hampir 4.5 jam. Pada penggunaan lebih santai, peranti bertahan selama 28 jam dengan SOT sekitar 3 jam. Hayat bateri U12+ adalah amat lemah. Ia tidak mampu bertahan sepanjang hari pada penggunaan berat. Berita baik di sini ialah peranti ini menyokong pengecasan pantas QuickCharge 4.0 tetapi pengecas yang disertakan hanya menyokong QuickCharge 3.0.

Pesaing

Mari lihat perbandingan spesifikasi dan harga dua peranti mercu yang setanding dengan HTC U12+ iaitu Huawei P20 Pro dan Samsung Galaxy S9+. Ketiga-tiganya mempunyai saiz skrin yang besar, pemproses berkuasa tinggi, memori sebesar 6GB RAM dan sokongan zoom optikal.

Peranti Pesaing
HTC U12+ Huawei P20 Pro Samsung Galaxy S9+
6″  IPS SLCD5 QHD+ (537 PPI) 6.1″ AMOLED FHD+ (408 PPI) 6.2″ SAMOLED QHD+ (529 PPI)
2.8 x 4 + 1.7 x 4 GHz Snapdragon S45 2.4 x 4 + 1.8 x 4 GHz Kirin 970 2.8 x 4 + 1.7 x 4 GHz Exynos 9810
Adreno 630 Mali G72 MP12 Mali G72 MP18
6 Gigabyte 6 Gigabyte 6 Gigabyte
128 Gigabyte (2 TB MikroSD) 128 Gigabyte 128 Gigabyte (512 GB MikroSD)
Kamera Utama 12+16 Megapixel f/1.8+f/2.6, OIS, PDAF Kamera Utama 40+20+8 Megapixel. f/1.8+f/1.6+f/2.0, OIS, PDAF Kamera Utama 12+12 Megapixel, (f/1.5+f/2.4) + f./2.4, OIS, Dual Pixel
Kamera Hadapan 8+8 Megapixel f/2.0 Kamera Hadapan 24 Megapixel f/2.0 Kamera Hadapan 8 Megapixel, f/1.7.
IP68 IP67 IP68
3500 mAh (QuickCharge 4.0) 4000 mAh (SuperCharge) 3500 mAh (Adaptive Fast Charging)
RM 3499 RM 2899 RM 3769

Kesimpulan

Di atas kertas HTC U12+ mempunyai spesifikasi yang mampu menandingi kebanyakan peranti mercu di pasaran sekarang. Dalam penggunaan harian ia amat lancar digunakan dan tiada masalah menjalankan kesemua aplikasi yang digunakan. Tetapi masalah mula disedari apabila ingin melakukan perkara asas seperti menurunkan tetapan audio dan mematikan skrin.

Tiga butang haptik, bingkai dengan sistem sesentuh dan kawalan dengan genggaman ialah kombinasi maut yang kerap kali menyebabkan peranti hampir mustahil untuk digunakan dengan selesa. Butang kuasa dan suara tidak bergerak dan memerlukan tekanan yang kuat untuk diaktifkan. Ini menjurus kepada tangan menggenggam bingkai secara tidak sengaja dan mengaktifkan aksi yang telah diprogramkan.

Dalam kes kami ia diprogramkan untuk menangkap paparan skrin. Di dalam galeri peranti yang kami ulas terdapat banyak gambar paparan skrin yang diambil secara tidak sengaja sedangkan kami hanya mahu menurunkan tetapan bunyi. Kawalan sesentuh bingkai pula kurang responsif sehingga memerlukan ia disentuh beberapa kali sebelum diaktifkan.

Pelajaran di sini ialah inovasi baharu tidak seharusnya mendatangkan masalah dalam penggunaan peranti yang paling asas. Jika perkara asas sudah menimbulkan masalah, amat sukar untuk menikmati fungsi lain peranti.

Ini adalah malang buat HTC kerana U12+ mempunyai kemampuan kamera yang amat baik. Sistem audio juga mantap kerana teknologi BoomSound. Rekaan peranti dengan panel lutsinarnya juga membuatkannya kelihatan unik sama seperti U11+ sebelum ini. Ia kemudian menjadi ikutan Xiami Mi 8 Explorer Edition.

Analagi yang kami boleh berikan ialah HTC U12+ ialah sebuah kereta dengan rekaan tubuh aerodinamik, enjin yang amat berkuasa dan sistem transmisi berkelas dunia. Tetapi ia dipadankan dengan stereng berbentuk tiga segi, pendikit minyak yang keras dan kerusi yang diperbuat daripada batu. Apabila keselesaan pemandu tidak diutamakan terlebih dahulu, komponen lain tidak mampu dinikmati.

HTC U12+ dijual di Malaysia pada harga RM 3499. Ini menjadikannya peranti yang berharga kurang kompetitif bila dibandingkan dengan Huawei P20 Pro 6GB/128GB (RM 2899), Samsung Galaxy Note 9 6GB/128GB (RM 3699) dan OnePlus 6 8GB/128GB (RM 2799). Oleh itu sukar untuk kami menyarankannya selain kepada peminat tegar HTC sahaja.

Kelebihan Kekurangan
  • Peranti mercu yang mempunyai spesifikasi yang baik. Berfungsi dengan pantas dan lancar.
  • Rekaan panel belakang lutsinar yang lain daripada yang lain.
  • Kemampuan kamera yang baik. Penghasilan semua warna yang bermaya dan zoom optikal.
  • Sokongan audio stereo BoomSound dan fon telinga dengan pembatalan hingar aktif.
  • Sebilangan kecil peranti dengan sokongan pengecasan QuickCharge 4.
  • Butang kapasitif tidak mesra pengguna dan menyakitkan jari apabila digunakan.
  • Bateri yang tidak bertahan lama.
  • Tiada sokongan pengecasan tanpa wayar
  • Harga kurang kompetitif.


TIPS & ULASAN