HTC Mengesahkan U12+ Menyokong QuickCharge 4.0 Dan Memberikan Sebab Mengapa Tiada Sokongan Pengecasan Tanpa Wayar
Artikel Berkaitan
HTC

HTC Mengesahkan U12+ Menyokong QuickCharge 4.0 Dan Memberikan Sebab Mengapa Tiada Sokongan Pengecasan Tanpa Wayar

Diterbitkan pada Mei 26, 2018 oleh .

HTC U12+ dilancarkan beberapa hari yang lalu tanpa sebarang majlis besar-besaran. Di atas kertas ia sebuah peranti yang cukup berkuasa dengan pelbagai fungsi tambahan yang membolehkan ia bersaing dengan peranti lain di pasaran. Tetapi dua perkara yang aneh ialah ia diiklankan hanya menyokong pengecasan QuickCharge 3.0 dan tiada pengecasan tanpa wayar.

Menurut laporan Android Headlines, pihak HTC telahpun mengesahkan U12+ menyokong QuickCharge 4.0 tetapi hanya pengecas QuickCharge 3.0 disertakan dengan setiap pembelian.  Ini akan menjadikannya peranti keempat selepas Razer Phone, Nubia Z17 dan Smartisan R1 yang menyokong format pengecasan ini.

Pengecasan tanpa wayar pula tidak disertakan kerana dikatakan adalah sistem pengecasan yang tidak sepantas pengecasan berwayar. HTC juga berkata jika gegelung pengecasan Qi diletakkan pada peranti, U12+ akan menjadi lebih tebal.

Terpulang kepada pengguna untuk menerima atau tidak alasan yang diberikan ini. HTC U12+ akan dilancarkan di Malaysia pada penghujung Jun ini.


TIPS & ULASAN