Nothing Memilih Storan Dan Memori Lebih Perlahan Kerana Yakin Dengan Nothing OS
Fahim Zahar
kedua-dua Nothing Phone (3a) dan Nothing Phone (3a) Pro adalah peranti kelas pertengahan yang menarik dan dilihat berbaloi untuk dimiliki berbanding penawaran oleh pesaing. Apa yang membuatkan orang ramai geram dengan Nothing adalah penggunaan memori UFS 2.2 dan LPDDR4X yang dilihat lebih perlahan atau adalah spesifikasi yang lebih rendah berbanding pesaing dengan UFS 3.1 dan LPDDR5 ke atas.
Nothing hari ini telah berkongsi justifikasi mereka kenapa storan UFS 2.2 dipilih berbanding UFS 3.1. Menurut Nothing adalah mereka yakin dengan kemampuan Nothing OS.

Nothing menegaskan yang spesifikasi di atas kertas memang menampakkan prestasi UFS 3.1 adalah lebih pantas berbanding UFS 2.2. Sasaran Nothing adalah untuk memberikan pengalaman penggunaan harian terbaik untuk pengguna dan dalam ujian makmal mereka, UFS 3.1 hanya hebat ketika pemasangan aplikasi dan pemindahan fail besar sahaja. Menurut Nothing, dua perkara ini bukan perkara harian yang pengguna lakukan.
Nothing membandingkan Phone (3a) dengan Realme 11 Pro Plus. Prestasi kelajuan pemindahan fail secara rawak dan jujukan UFS 2.2 pada peranti baharu mereka dilihat mempunyai prestasi lebih kurang sama di dunia nyata. Nothing kemudian berkongsi yang Nothing OS menggunakan teknologi Adaptive NTFS untuk mempercepatkan lagi proses pemindahan fail yang berlaku di latar. Kemudian, Nothing OS turut mempunyai teknologi Smart Clean yang menguruskan storan dalaman peranti secara efisien dan menjimatkan lagi ruangan storan pengguna.

UFS 2.2 dikatakan masih lagi komponen yang boleh diyakini untuk penggunaan masa hadapan. Jadi sokongan kemas kini 3+6 tahun pada Nothing Phone (3a) dan Phone (3a) Pro tidak akan menjejaskan apa-apa kerana Nothing OS dibangunkan untuk disokong pada pelbagai jenis komponen tanpa kira usia.
[info] Ulasan Nothing Phone (3a) – Ngam-Ngam Mengancam [/info]
[info] Ulasan Nothing Phone (3a) Pro – Pro Lebih Ngam, Pesaing Terancam [/info]