OnePlus 13 Mini atau OnePlus 13T dijangka akan dilancarkan pada tahun ini sebagai alternatif kepada Oppo Find X8S. Peranti ini besar kemungkinan adalah jawapan mereka kepada vivo X200 Mini, iPhone 17 Air, Samsung Galaxy S25 Edge dan TECNO Spark Slim. Terbaru, rekaan bagi OnePlus 13 Mini telah tertiris.

OnePlus dilihat akan menggunakan rekaan yang jauh berbeza dengan Oppo Find X8S. Laporan sebelum ini adalah ia akan menggunakan rekaan palang kamera seakan Google Pixel 9. Namun imej pengolokan yang tertiris baru-baru ini mengimbau kembali rekaan OnePlus X iaitu peranti mercu kompak pertama OnePlus yang menggunakan spesifikasi sama dengan OnePlus One tetapi dalam tubuh kaca yang kecil.
Selain itu, rekaan rata ini turut mengingatkan kepada OnePlus 5 dengan tetapan dwi kamera dan modul kamera melintang. Imej ketiga memperlihatkan rekaan mirip OnePlus Nord CE yang menggunakan modul kamera segi empat bucu melengkung. Rekaan akhir mungkin masih belum ditetapkan tetapi OnePlus 13 Mini/OnePlus 13T dikatakan akan dijana cip Snapdragon 8 Elite.

Untuk skrin ia dikatakan adalah panel OLED 6.31-inci, kamera 50MP sudut lebar + 50MP zum 2x, dan bateri 6000mAh. Sokongan Hasselblad masih tidak disahkan tetapi besar kemungkinan dikekalkan. Harga jualan dikatakan adalah murah dan mungkin menjadi peranti mercu Snapdragon 8 Elite paling murah boleh didapatkan pada tahun ini. Adakah anda mahukan peranti ini jika dijual di Malaysia?