Carian
Search LibGen Membolehkan Penulis Memeriksa Sama Ada Karya Mereka Dicetak Rompak
March 24, 2025 Effi Saharudin

LibGen ialah pustaka cetak rompak atas talian sebesar 81.7 TB yang menjadi bahan bukti kes saman melibatkan penulis dan Meta. Seperti kami laporkan sebelum ini, Meta menggunakan data LibGen yang dimuat turun secara haram untuk melatih model kecerdasan buatan (AI) mereka seperti LLMa. Jika anda seorang penulis dan ingin melihat sama ada karya anda terkandung dalam pustaka LibGen, anda kini boleh memeriksanya sendiri.

Search LibGen ialah alat carian pangkalan data yang dibangunkan oleh The Atlantic. Hanya masukkan nama penulis dan ia akan memberikan senarai karya yang terkandung dalam LibGen. Setelah mencubanya sendiri, saya menemukan beberapa karya penulis tempatan yang dicetak rompak seperti Hanna Alkaf, Syed Hussein Alatas, Tun Dr Mahathir, Farish A. Noor dan Tash Aw. Kesemua karya dalam pustaka ini adalah dalam Bahasa Inggeris. Tiada karya dalam Bahasa Melayu dapat kami kesan apabila melakukan carian nama penulis popular tempatan.

Dalam kes melibatkan Meta, syarikat induk Facebook ini mengatakan penggunaan LibGen untuk melatih AI seharusnya jatuh ke dalam kategori penggunaan yang dibenarkan (fair use). Ini ialah pendapat yang turut disokong oleh OpenAI dan Google yang ingin kerajaan Amerika Syarikat membenarkan harta intelek digunakan tanpa sebarang bayaran bagi melatih model AI. Menurut mereka ia perlu dilakukan bagi memastikan Amerika Syarikat terus menjadi peneraju teknologi AI di masa hadapan.

Komen