Minggu lepas, Anthropic telah mengemaskini kemampuan chabot AI mereka Claude dengan kebolehan mencari maklumat di Internet. Ia masih menggunakan model Claude 3.7 Sonnet, tetapi maklumat yang dicari di Internet adalah secara automatik dan pengguna tidak boleh melakukannya secara manual. Ia juga terhad kepada pelanggan berbayar dan baru-baru ini telah didedahkan yang ciri ini menggunakan teknologi Brave Search.

Seorang pembangun perisian telah berkongsi perkara ini di Bluesky, di mana Anthropic menyenaraikan Brave Search di dalam senarai sub-pemprosesan Claude mereka. Pembangun lain pula menemui yang setiap kali Claude melakukan carian di Internet, satu barisan kod BraveSearchParams akan ditemui aktif berjalan. Minggu lepas, Anthropic dan Claude tidak mendedahkan apakah teknologi di sebalik teknologi carian AI mereka.
Brave Search adalah jawapan Brave kepada Google Search. Ia turut mempunyai teknologi carian AI tersendiri yang turut membantu Mistral Le Chat untuk ciri carian AI mereka.