Samsung minggu ini diarahkan membayar penalti berjumlah $601 juta (~RM 2.66 bilion) kepada kerajaan India selepas didapati mengelak membayar tarif ke atas kelengkapan telekomunikasi yang dibawa masuk ke dalam negara tersebut. Samsung menerima notis amaran pada tahun 2023 selepas kelengkapan ini dijual kepada syarikat telekomunikasi tempatan Reliance Jio.

Bayaran hampir RM 3 bilion terdiri daripada denda 44.6 bilion Rupee (~RM 2.3 bilion) untuk tarif yang tidak dibayar serta penalti 100% dan selebihnya pula ialah denda yang perlu dibayar oleh tujuh eksekutif Samsung yang didapati terlibat dalam proses mengelak membayar tarif.
Di India, tarif sehingga 20% dikenakan ke atas kelengkapan telekomunikasi yang diimport dari negara luar. Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan Samsung, mereka berkata akan melakukan rayuan di mahkamah. Isu ini menurut mereka melibatkan interpretasi klasifikasi barangan import yang dibawa masuk.
Sejak kebelakangan ini pihak berkuasa India telah melakukan siasatan ke atas beberapa syarikat teknologi luar negara yang dituduh cuba mengelak membayar cukai. Pada tahun 2022, Kementerian Kewangan India mendakwa Oppo dan Xiaomi masing-masing terlibat dalam percubaan cuba mengelak cukai bernilai ~RM 2.274 bilion dan ~RM 3.2 bilion.