Carian
Tentera Amerika Syarikat Akan Menguji Penghantaran Kargo Menggunakan Roket
March 26, 2025 Effi Saharudin

Amerika Syarikat mempunyai belanjawan untuk ketenteraan tertinggi di dunia. Ini membolehkan mereka melantik diri sendiri menjadi polis dunia menerusi markas yang terletak di seluruh dunia. Ini mewujudkan masalah logistik bekalan yang perlu dihantar dengan pantas apabila diperlukan. Konflik di Asia misalnya masih akan memerlukan pesawat kargo terbang berpuluh jam sebelum tiba ke destinasi. Oleh itu sistem penghantaran kargo menggunakan roket telah mula dibincangkan sejak lima dekad yang lalu.

Terkini, dokumen daripada Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) mendedahkan mereka kini bersedia untuk menguji sistem roket membawa kargo di bawah program Rocket Cargo Vanguard. Dua platform pendaratan akan dibina di Pulau Johnston yang terletak berhampiran Hawaii. Apabila siap kelak roket kargo akan diuji menggunakan fasiliti ini bagi melihat sama ada ia praktikal digunakan di dunia sebenar.

USAF pernah menyatakan hasrat membeli kapal angkasa Starship daripada SpaceX untuk kegunaan sendiri bagi menghantar kargo di mana-mana titik di permukaan bumi dalam masa sejam. Di masa hadapan USAF berharap sekiranya konflik berlaku, perkakasan dan bekalan penting boleh dihantar dengan pantas menggunakan sistem roket ini.

Setiap roket menyasarkan kapasiti kargo 82 tan yang sama seperti yang mampu dibawa oleh pesawat Boeing C-17 Globemaster III yang digunakan sekarang. USAF tidak akan membina sistem baharu tetapi sebaliknya menggunakan sistem Starship buatan SpaceX. SpaceX telah diberikan kontrak bernilai $102 juta (~RM531 juta) pada tahun 2022 bagi merealisasikan impian ini.

Starship direka untuk menghantar angkasawan ke bulan, Marikh dan pengangkutan penumpang ultra-pantas. Dengan perubahan ruang kargo, Starship dipercayai boleh digunakan untuk tujuan pengangkutan.

Komen