Siri realme 14 5G akan dilancarkan secara rasmi di Malaysia pada 15 April 2025. Ia bakal dilengkapi dengan cip Snapdragon 6 Gen 4 dan menjadi salah satu peranti terawal yang menggunakannya. Rekaan Mecha yang digunakan nampak futuristik dengan bahagian belakang yang diilhamkan daripada dalam cerita sains fiksyen.

Warna oren pada butang kuasa juga memberi tarikan tambahan. Manakala lampu Victory Halo di bahagian belakang menyediakan fungsi seperti menyala untuk notifikasi atau semasa pengecasan. Realme belum mengumumkan harga rasmi untuk siri realme 14 5G tetapi mereka memberi bayangan bahawa peranti ini mungkin dijual pada harga bawah RM2,000.

Dalam pada itu, realme dijangka turut melancarkan model 14 Pro dalam acara yang sama. Sekiranya spesifikasinya menyerupai model global, ia boleh hadir dengan cip MediaTek Dimensity 7300 Energy, skrin OLED 6.77-inci 120Hz, serta bateri 6,000mAh yang menyokong pengecasan pantas 45W. Dari segi kamera, ia dilengkapi dengan kamera utama 50MP dengan OIS, serta kamera swafoto 16MP.