Carian
Kontrak Pembinaan Pesawat Tempur F/A-XX Akan Diumumkan Minggu Ini
March 26, 2025 Effi Saharudin

Program F/A-XX dimulakan bagi menggantikan pesawat Boeing FA-18 E/F Super Hornet yang sudah digunakan sejak 2001 berasaskan FA-18 Hornet yang dilancarkan pada tahun 1974. Selepas Boeing dianugerahkan kontrak membina pesawat tempur F-47 untuk Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF), Tentera Laut Amerika Syarikat (USN) dipercayai akan mengumumkan pemenang kontrak program F/A-XX minggu ini.

Sekali lagi Boeing, Northrop Grumman dan Lockheed Martin adalah tiga syarikat yang telah memperlihatkan rekaan konsep mereka kepada USN. Namun begitu Lockheed Martin dipercayai terkeluar daripada persaingan kerana pelbagai isu memenuhi keperluan yang ditetapkan USN. Boeing dilihat mempunyai kelebihan kerana pengalaman membina FA-18 dan dron MQ-25 Stingray mengikut keperluan USN.

Keperluan USN adalah berbeza dengan USAF kerana F/A-XX perlu mempunyai kemampuan mendarat di geladak kapal pengangkut pesawat. Ini memerlukan gear pendaratan yang lebih kukuh serta sokongan sistem cangkuk untuk operasi CATOBAR.

USAF dan USN tidak lagi bekerjasama menggunakan pesawat yang sama seperti program Joint Strike Fighter (JSF) yang menghasilkan Lockheed Martin F-35 Lightning II kerana pelbagai isu yang timbul selepas ia mula beroperasi pada tahun 2015.

Namun begitu keperluan F/A-XX sama sahaja dengan F-47 dimana ia perlu mempunyai kemampuan sukar dikesan radar, terbang lebih jauh, dan mampu beroperasi bersama dron swaterbang sebagai nod kawalan di medan perang.

Komen