Boeing diumumkan sebagai pemenang kontrak mengeluarkan pesawat tempur generasi ke-enam Amerika Syarikat di bawah program Next Generation Air Dominance (NGAD). Pesawat tempur baharu Amerika Syarikat sejak F-35 ini akan menggunakan nama rasmi F-47 dengan Boeing berjaya mengalahkan pesaing mereka Lockheed Martin.

Untuk pembangunan F-47, Boeing akan menerima dana bernilai $20 bilion (~RM 88.5 bilion) dengan setiap pesawat kemudiannya akan dijual pada harga sekitar $300 juta (~RM 1.33 bilion). Sebagai pesawat generasi ke-enam, F-47 masih memerlukan juruterbang manusia tetapi akan dapat melakukan operasi bersama dengan dron di bawah program Skyborg dan juga Replicator yang telah diumumkan sebelum ini

Sebelum ini dalam imej acah yang dikongsi oleh Boeing, pesawat NGAD mereka tidak akan mempunyai ekor menegak, mempunyai sayap delta dan kanard di bahagian hidung. Ia adalah mirip dengan dua prototaip pesawat tempur generasi ke-enam China yang muncul secara mengejut pada Disember tahun lalu. Di atas ialah gambar rasmi F-47 pertama yang dikongsi oleh Boeing dengan ia jelas mempunyai rekaan yang sama dengan rekaan NGAD.
Boeing tidak memberitahu mengapa nama F-47 digunakan. Sebelum ini nombor yang sama digunakan pada pesawat tempur Republic P-47 Thunderbolt yang beroperasi ketika Perang Dunia Kedua.