Cari @ Amanz

Program Replicator A.S Ingin Membina Armada Ribuan Dron Dengan AI Untuk Perang Masa Depan

Link Copied!

Perang melibatkan robot bukan lagi sains fiksyen kerana telahpun berlaku dalam konflik Nagorno-Karabakh dan Ukraine-Rusia. Kedua-dua konflik ini membuka mata pakar ketenteraan untuk melihat bagaimana teknologi canggih sedia ada boleh dipatahkan oleh dron komersial murah yang diubahsuai. Amerika Syarikat lewat semalam mengumumkan Program Replicator mereka yang menyasarkan pembinaan ribuan dron dengan kecerdasan buatan (AI) yang akan membantu mereka di medan perang masa hadapan.

Dron Kratos XQ-58A Valkyrie melancarkan peluru berpandu

Armada dron dengan AI ini akan terdiri daripada pesawat swaterbang (UAV), kapal swalayar (USV), kenderaan swapandu (UGV) dan juga kapal selam swalayar (UUV) yang boleh melalukan misi sehala berbahaya tanpa penglibatan anggota tentera manusia. Replicator dilihat sebagai jawapan kepada China yang sedang melipatgandakan jumlah jentera, kapal, pesawat dan sistem senjata mereka bagi mengawal kawasan Laut China Selatan yang didakwa adalah milik mereka. Amerika Syarikat berharap Program Replicator akan dapat beroperasi seawal 24 bulan lagi.

UISS melakukan misi menyapu periuk api

Dron lebih sukar dikesan berbanding aset tradisional. Maklumat terperinci mengenai Projek Replicator ini masih samar tetapi pastinya akan melibatkan sistem sedia ada seperti XQ-58 Valkyrie, Skyborg, Unmanned Influence Sweep System (UISS) dan Program Manta Ray yang telahpun diumumkan sebelum ini di bawah kelolaan DARPA.

Walaupun Amerika Syarikat ialah negara yang mempunyai belanjawan ketenteraan terbesar di dunia, mereka kini berhadapan dengan isu merekrut generasi mudah untuk menyertai tentera. Sistem dron, robot, AI dan automasi dilihat sebagai penyelesaian jangka panjang kurangnya anggota bagi keperluan pertahanan negara.


Komen ()