China mula mengenakan sekatan jualan ke atas dron awam yang boleh diubahsuai untuk kegunaan di medan perang. Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan China, pengeksportan dron “bukan untuk tujuan keamanan” kini dihalang.
Dron yang dihalang jualannya adalah yang mampu terbang melangkaui jarak pemandangan operator, boleh terbang melebihi 30 minit dan boleh membawa beban melebihi 7 kilogram. Berdasarkan spesifikasi ini, dron seperti DJI Matrice yang direka untuk kegunaan penggambaran profesional tidak lagi boleh dieksport.

Sejak konflik antara Rusia dan Ukraine bermula tahun lalu, DJI menghentikan penjualan dron mereka di kedua-dua negara. Namun begitu dron DJI berjaya diseludup ke Ukraine dengan ia kemudiannya digunakan oleh pihak tentera untuk memantau lokasi musuh sebelum memberikan koordinat GPS kepada pasukan artileri untuk membedil.
Di media sosial, video dron dengan sistem pandangan mata pertama FPS yang pada asalnya digunakan untuk tujuan riadah telah diubah suai menjadi dron kamikaze. Kali pertama dron awam digunakan di medan perang ialah di Syria sebelum ia juga digunakan oleh kartel dadah di Mexico untuk mengebom kilang milik pesaing.