Ulasan Vivo V50 – Tiga Kamera ZEISS Dan Bateri Besar
Amy Maizuraa
Vivo meneruskan usaha untuk kekal relevan melalui V50 dengan konsep mengekalkan rekaan premium sambil menawarkan penambahbaikan dalam aspek tertentu seperti kamera. Meskipun peningkatan diberikan dari segi ciri dan spesifikasi, peranti masih mengekalkan cip pemprosesan yang sama seperti yang digunakan sejak V30. Perkara ini mula mengundang persoalan mengenai sejauh mana pula V50 mampu memenuhi jangkaan pengguna moden. Jadi inilah artikel ulasan untuk vivo V50.

Spesifikasi Dan Penggunaan
| vivo V50 5G | |
|---|---|
| Skrin | 6.77-inci AMOLED HDR10+, 120Hz, 1300 nits (1080 x 2392 piksel) (~388 ppi) Diamond Shield Glass |
| Pemproses | Snapdragon 7 Gen 3 (4 nm) |
| Cip | 1×2.63 GHz Cortex-A715 3×2.4 GHz Cortex-A715 4×1.8 GHz Cortex-A510 |
| Cip Grafik | Adreno 720 |
| RAM | 12GB RAM |
| Muatan Dalaman | 512GB (tiada kad mikroSD) |
| Kamera Utama | 50 MP, f/1.9, OIS 50 MP, f/2.0 4K@30fps |
| Kamera Depan | 50 MP, f/2.0 Zeiss optics, HDR 4K@30fps, 1080p@30fps |
| Bateri | Si/C 6000 mAh 90W berwayar |
| SIM/Telefoni | Dwi SIM Nano |
| NFC | Ya |
| Infra Merah | Ya |
| Kalis Air | IP68/69 |
| Sistem Imbasan | Imbasan cap jari Imbasan wajah |
| Harga Jualan | RM 1,999 RM 2,399 |
V50 meneruskan DNA yang menyerupai model sebelum ini dengan beberapa penambahbaikan yang menarik perhatian. Dari sudut rekaan, peranti ini menampilkan elemen yang nipis, ringan dan selesa dipegang. Bahagian tepi yang melengkung serta bonggol kamera berbentuk bujur memberikan sentuhan premium kepada peranti ini. Selain itu, vivo turut mengekalkan rekaan yang bergaya bagi menjadikan peranti ini pilihan yang sesuai untuk pengguna yang mengutamakan elemen minimalis tetapi bergaya dalam penampilan.

Pilihan warna disediakan juga mampu menarik perhatian ramai. Contohnya seperti Ancora Red yang menggunakan warna menonjol menjadikannya sesuai untuk mereka yang ingin menonjolkan personality masing-masing. Purple Mist pula menimbulkan kesan yang lembut dan berkelas, manakala Satin Black menjadi pilihan utama bagi mereka yang meminati gaya tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.
Bahagian kanan peranti dilengkapi dengan butang kuasa, dan laras audio yang boleh diakses dengan mudah. Bahagian kiri pula direka cukup minimalis tanpa sebarang butang dan port. Sementara itu, bahagian bawah menempatkan port USB-C bersama kekisi pembesar suara.


V50 menggunakan sistem audio stereo yang sepatutnya mampu memberikan lontaran audio dari dua saluran pembesar suara sebaiknya untuk pengalaman bunyi yang lebih seimbang. Namun cubaan saya mendapati kualiti audio tidak begitu memuaskan dengan bass yang tidak begitu kedengaran. Keadaan ini menyebabkan pengalaman audio menjadi kurang mendalam terutamanya sewaktu memainkan muzik di Spotify.
Peranti turut dilengkapi dengan pengimbas cap jari di skrin yang boleh berfungsi dengan pantas, selain itu sistem imbasan wajah turut disediakan yang memberikan pilihan tambahan untuk sekuriti. Selain itu mempunyai penarafan kalis air IP68/69 sebagai pelindungan tambahan terhadap air dan habuk.
Perkakasan Dan Perisian
V50 dilengkapi degan cip Snapdragon 7 Gen 3, memori sebesar 12GB RAM dan storan sehingga 512GB. Gabungan kesemua ini boleh memastikan prestasi yang stabil dan lancar untuk tugasan harian sama ada melayari media sosial, menonton video atau multi-tugas. Ciri RAM Maya disediakan walaupun pilihan ini terbina dan tidak boleh diubah seperti beberapa peranti Android lain. Terdapat juga ciri Compressed Storage boleh bantu menjimatkan ruang storan sekali gus membolehkan lebih banyak fail disimpan.

Untuk melihat perbezaan prestasi, saya membandingkan telefon ini dengan Nothing Phone 3(a) Pro (Snapdragon 7s Gen 3), Poco X7 Pro (Mediatek Dimensity 8400 Ultra) dan Oppo Reno13 Pro 5G (Mediatek Dimensity 8350).
AnTuTu 3D
| Cip Pemprosesan | Skor |
| Snapdragon 7 Gen 3 | 1,524,100 |
| Snapdragon 7s Gen 3 | 788,110 |
| Mediatek Dimensity 8400 Ultra | 686,014 |
| Mediatek Dimensity 8350 | 115,0560 |
Geekbench 6
| Cip Pemprosesan | Skor |
| Snapdragon 7 Gen 3 | 1137/3130 |
| Snapdragon 7s Gen 3 | 1146/3123 |
| Mediatek Dimensity 8400 Ultra | 1026/2936 |
| Mediatek Dimensity 8350 | 1319/4143 |
3DMark Wildlife Extreme
| Cip Pemprosesan | Skor |
| Snapdragon 7 Gen 3 | 5,334 |
| Snapdragon 7s Gen 3 | 1,037 |
| Mediatek Dimensity 8400 Ultra | 850 |
| Mediatek Dimensity 8350 | 2880 |
Pengalaman penggunaan menunjukkan V50 mampu berfungsi dengan baik. Prestasinya lancar dan stabil sewaktu digunakan untuk sebahagian besar aktiviti harian seperti manatal media sosial, menonton Netflix, dan menangkap gambar. Bagi tujuan permua, peranti turut mampu mengendali beberapa permua seperti Call of Duty: Mobile dan Honor of Kings dengan baik. Dengan sistem penyejukan terbina yang efisien menjadikan masalah pemanasan atau frame drop tidak begitu ketara.



Pengalaman perisian pula masih sama seperti kebanyakan peranti terkini vivo melalui FuntouchOS 15. Meskipun tidak banyak perubahan ketara tetapi sistem kelihatan konsisten dengan pelbagai ciri yang mampu memenuhi keperluan pengguna harian. Vivo turut melengkapi peranti ini dengan ciri berasaskan AI seperti Circle to Search, AI Call Translation, AI Transkrip Assist, AI Notes Assist dan AI Erase 2.0.
Kamera Dan Kualiti Gambar
Kamera pada V50 menjadi tumpuan dengan pelbagai ciri yang dinaiktaraf. Misalnya seperti V50 dilengkapi dengan tiga kamera 50MP ZEISS dengan masing-masing berfungsi untuk lebar dan ultra-lebar di bahagian belakang, dan swafoto di hadapan. Kedua-dua kamera boleh merakam video 4K yang menyediakan nilai tambahan menarik khususnya digunakan bagi tujuan vlog.

Sistem ZEISS turut dikekalkan dengan pelbagai penuras khas seperti Distagon pada 23mm (1X) untuk bokeh berbentuk heksagon, B-Speed pada 35mm (1.5X) dengan bokeh segi tiga, dan Biotar pada 50mm (2X) untuk kesan bokeh berpusing. Sistem Aura Light juga lebih besar lalu memberikan pencahayaan yang lebih terang bagi memudahkan proses mengambil gambar dalam situasi pencahayaan rendah.

Ia juga boleh menyala secara automatic apabila digunakan bersama penuras ZEISS tertentu dengan kesan pencahayaan menarik. Selain itu, LED ini juga boleh berfungsi sebagai lampu untuk deringan, mesej, dan muzik. Namun begitu, ia tidaklah setanding dengan Glyph pada peranti Nothing yang menawarkan lebih banyak pilihan pencahayaan dan boleh diubahsuai. Sebabnya, tiada kemampuan seperti itu disediakan pada peranti ini.

V50 turut dilengkapi Film Camera Mode yang membolehkan pengguna mengambil gambar dengan efek menyerupai kamera filem klasik. Ciri ini boleh menghasilkan imej bergaya retro dan vintage menjadikan ia pilihan ideal bagi mereka yang gemar menonjolkan elemen estetik berbeza dalam fotografi masing-masing.




Dalam aspek kualiti gambar, V50 memberikan hasil yang memuaskan terutamanya dalam pencahayaan mencukupi. Warna-warna kelihatan terang, hidup dan tajam, manakala butitan gambar juga dihasilkan dengan jelas. Ciri pintar terbina seperti pemberitahuan untuk menukar mod fotografi, contohnya mod makanan untuk gambar makanan dirasakan berguna untuk menghasilkan gambar terbaik.
Bagi perbandingan dengan V40 Pro pula sebenarnya berlaku perbezaan warna yang jelas. Saya katakan seperti ini kerana warna yang dihasilkan oleh kamera V40 Pro dilihat lebih terang dan jelas. Kamera V40 Pro sememangnya berusaha untuk memberi hasil yang sama seperti apa yang dilihat melalui mata sendiri.




V50 pula menghasilkan warna yang lebih ke arah terlalu saturated. contohnya gambar awan biru yang pekat tetapi dalam masa sama menampakkan tona warna kuning bersama-samanya. Keadaan ini bagaimanapun dikatakan subjektif kerana bergantung pada minat masing-masing, mungkin ada yang menyukainya dan juga sebaliknya.












V50 juga mempunyai kekurangan, terutamanya dalam aspek zum pada waktu malam. Apa yang saya perasan adalah kamera V50 bergantung sepenuhnya pada pemproses untuk membaiki kualiti gambar, dan ini mungkin menjadi penyebab gambar akhir mengambil masa agak lama untuk dihasilkan. Meskipun begitu, hasilnya masih boleh digunakan tetapi mungkin kurang standing dengan beberapa model lain dalam segmen yang sama.


Bercakap tentang fokus dan kejelasan, V50 kelihatan mampu menghasilkan gambar dengan fokus lebih baik berbanding V40 Pro. Edge detection pada V40 Pro sebelum ini nampak lembut, yang menjadikan gambar yang kompleks boleh dikatakan kurang jelas. Ia bagaimanapun telah diperbaiki melalui kamera V50 tetapi masih menunjukkan sedikit kesukaran untuk situasi gambar yang kurang cahaya.
Bateri Dan Pengecasan
Bateri V50 sebesar 6,000mAh di mana lebih besar daripada model sebelumnya. Dalam penggunaan harian, bateri ini mampu bertahan lebih daripada sehari. Bagi pengguna berat juga, peranti masih mampu memberikan prestasi bateri yang stabil untuk aktiviti seperti menonton video, memuat turun aplikasi, dan mengambil gambar. Selain itu, pengecasan pantas 90W turut disokong untuk memastikan pengguna tidak perlu menunggu lama untuk bateri kembali penuh.
Pesaing
| Vivo V50 5G | Nothing Phone (3a) Pro | Samsung Galaxy A56 |
| 6.77″ AMOLED HDR10+ 120Hz, 1300 nits | 6.77″ AMOLED FHD+, 120Hz, HDR10+, 3000 nits | 6.7″ Super AMOLED FHD+, 120Hz, HDR10+, 1900 nits |
| Snapdragon 7 Gen 3 (4 nm) 1×2.63 GHz Cortex-A715 3×2.4 GHz Cortex-A715 4×1.8 GHz Cortex-A510 | Snapdragon 7s Gen 3 (4nm) 1×2.5 GHz Cortex-A720 3×2.4 GHz Cortex-A720 4×1.8 GHz Cortex-A720 | Exynos 1580 (4nm) 1x 2.9 GHz Cortex-A720 3x 2.6 GHz Cortex-A720 4x 1.9 GHz Cortex-A720 |
| Adreno 720 | Adreno 810 | Xclipse 540 |
| 12GB RAM | 12GB RAM | 12GB RAM |
| 512GB | 256GB | 128/256GB |
| Kamera Utama 50MP (lebar), OIS 50 MP (ultra-lebar) ZEISS Camera | Kamera Utama 50MP (Lebar), OIS + EIS 50MP (Telefoto), OIS 8MP (Ultra Lebar), TrueLens Engine 3.0 | Kamera Utama 50MP (Lebar), OIS 50MP (Ultra Lebar) 12MP (Makro) |
| Kamera Hadapan 50 MP | Kamera Hadapan 32 MP | Kamera Hadapan 12MP |
| IP68/69 | IP64 | IP67 |
| Tiada bicu audio | Tiada bicu audio | Tiada bicu audio |
| Audio Stereo | Audio Stereo | Audio Stereo |
| 6000 mAh Berwayar 90W | 5,000 mAh Berwayar 50W | 5,000 mAh Berwayar 45W |
| RM 1,999 RM 2,399 | RM1,699 | RM1,999 RM2,199 |
Apa Di Dalam Kotak
Berikut ialah yang disertakan dalam kotak yang kami terima :
- 1 x Vivo V50.
- 1 x Kepala Pengecas 90W.
- 1 x Kabel USB-C ke USB-A.
- 1 x Kerangka Silikon.
- 1 x Manual Pengguna.
- 1 x Pencungkil SIM.
Kesimpulan

V50 adalah telefon pintar yang menawarkan gabungan rekaan elegan, prestasi stabil dan pengalaman fotografi yang baik dalam kelasnya. Dengan bateri besar dan pelbagai ciri AI yang berguna, telefon ini sesuai untuk pengguna yang mencari keseimbangan di antara gaya dan fungsi. Namun, peningkatan daripada model sebelumnya mungkin tidak begitu ketara untuk pengguna V40 atau V30. Harga jualan rasmi V50 di Malaysia bermula RM1,999 dan RM2,399 sebuah.
Pro
- Pemproses kelas pertengahan berkuasa.
- Sistem tri-kamera 50MP ZEISS.
- Kalis air IP68/69
- Saiz bateri besar.
- Pengecasan pantas 90W.
- Speaker stereo.
Kontra
- Tiada pengecasan berwayar.
- Tiada lagi bicu audio.
- Kamera praktikal tetapi sederhana.
- Lambakan aplikasi gendut dan iklan.
