Siri Vivo V sememangnya terkenal dengan reka bentuk yang menarik dan pelbagai jenis kemasan. Vivo banyak berinovasi dengan pelbagai jenis kemasan, dari yang jenis berkilat hingga yang mampu berubah warna, serta telefon yang nipis. Inovasi-inovasi ini juga memberikan pelbagai pilihan kepada pengguna untuk memilih telefon yang sesuai dengan gaya dan keperluan mereka.
Sebagai contoh, vivo V50 boleh menjadi salah satu contoh menarik dalam siri V yang mempamerkan konteks menarik dari segi rekaan dan kemasan. Peranti ini menawarkan beberapa pilihan warna premium terutamanya Ancora Red bersama tubuh yang nipis. Berikut dikongsikan pandang pertama untuk Vivo V50, yang pada masa ini lebih menumpukan perhatian kepada aspek reka bentuk dan kamera.
Reka bentuk Dan Warna
Memegang sebuah V50 memberikan pengalaman yang hampir sama seperti menggunakan V40 Pro. Dari segi reka bentuk, V50 menonjolkan dengan elemen ergonomik yang baik lalu menjadikannya selesa untuk dipegang. Gabungan reka bentuk yang nipis dan tepi melengkung memberikan keselesaan tambahan, menjadikan pengalaman penggunaan lebih menyenangkan.

Selain itu material binaan premium yang digunakan menambah lagi nilai estetika peranti ini. Ia tidak hanya memberikan rasa mewah tetapi juga berkualiti. Secara keseluruhan, V50 menggabungkan gaya elegan dan fungsi praktikal, menjadikannya pilihan yang menarik bagi mereka yang mengutamakan gaya dan fungsi.

Kemasan pusam V50 benar-benar menyerlahkan keunikannya. Gabungan tekstur pusam yang lembut dan kilauan halus mencipta keseimbangan yang menjadikan rekaannya tampak ringkas, moden, dan bergaya. Tidak dinafikan, ia memang menarik perhatian. Pilihan warna yang tersedia cukup menarik seperti Ancora Red, Mist Purple dan Satin Black.
Warna kegemaran saya? Sudah tentu Ancora Red. Merahnya menyerupai maroon atau merah pekat, memberikan sentuhan elegan dan mewah. Ia juga mampu tampil menonjol dengan gaya minimalis. Namun, Mist Purple dan Satin Black tidak kurang menariknya.

Satin Black, dengan rona semula jadinya, memberikan kesan moden dan minimalis—sesuai untuk mereka yang ingin kelihatan ringkas tetapi tetap bergaya. Sementara itu, Mist Purple memberikan gabungan elemen yang memikat, seperti romantik, tenang, dan santai. Semua pilihan ini mempunyai daya tarikannya yang tersendiri.

AI Aura Light Portrait 2.0
Modul kamera di bahagian kiri peranti ini sekali lagi menjadi perhatian kerana bonggol kamera yang menonjol dan LED besar di bawahnya. Ada yang menyangka LED besar itu adalah pengimbas cap jari kerana saiznya, tetapi sebenarnya ia adalah LED flash. LED flash ini juga lebih besar daripada model sebelumnya, menjadikannya lebih menonjol dan menarik.

Vivo turut memperkenalkan teknologi baharu, AI Aura Light Portrait 2.0 yang boleh bantu menghasilkan gambar potret lebih cantik, terutamanya dalam keadaan kurang cahaya. Selain itu, LED ini juga boleh berfungsi sebagai lampu notifikasi untuk deringan, mesej, dan muzik.
Selain itu, LED ini juga boleh berfungsi sebagai lampu dinamik untuk deringan, mesej, dan muzik. Walau bagaimanapun, ia tidaklah setanding dengan ciri Glyph pada peranti Nothing yang menawarkan lebih banyak pilihan pencahayaan dan boleh diubahsuai.

Vivo sekali lagi mencuri perhatian dengan teknologi kamera mereka, kali ini menerusi kerjasama dengan ZEISS yang diperkenalkan pada model V50. Langkah ini adalah kesinambungan usaha mereka sejak siri V30 dan menunjukkan komitmen dalam meningkatkan pengalaman fotografi pengguna terutamanya dalam kategori kelas pertengahan.
Pendekatan ini juga diharap mampu memenuhi keperluan dan kehendak pengguna yang mengutamakan kualiti tanpa berkompromi dengan nilai peranti.
Tiga Kamera 50MP ZEISS
V50 hadir dengan tiga kamera 50MP yang menggunakan teknologi ZEISS. Dua kamera diletakkan pada bahagian belakang, manakala satu lagi adalah kamera swafoto. Peranti juga menyokong rakaman video berkualiti 4K menjadikannya pilihan yang sesuai untuk mereka yang ingin merakam video dengan hasil yang jelas.

Antara ciri menarik V50 ialah ZEISS Multifocal Portrait yang menawarkan tiga pilihan panjang fokus iaitu 23 mm, 35 mm, dan 50 mm. Ciri ini memudahkan pengguna merakam potret dari pelbagai sudut pandang, sama ada sudut lebar mahupun jarak dekat. Di samping itu, kamera peranti ini dilengkapi dengan tujuh pilihan latar belakang yang menampilkan kesan bokeh khas daripada ZEISS. Kesan ini bukan sahaja mencipta latar belakang yang menarik malahan menjadikan subjek dalam gambar lebih menonjol.

Vivo V50 turut dilengkapi dengan Film Camera Mode yang membolehkan pengguna mengambil gambar dengan efek menyerupai kamera filem klasik. Ciri ini boleh menghasilkan tangkapan bergaya retro yang menjadikannya pilihan ideal bagi mereka yang gemar menonjolkan elemen estetik berbeza dalam karya fotografi masing-masing.

Selain itu, AI Image Studio menawarkan pelbagai ciri menarik termasuk AI Eraser yang memudahkan pengguna memadam objek yang tidak diingini daripada gambar. Fungsi AI Cutout pula membolehkan latar belakang digantikan dengan pantas dan mudah.
Tidak ketinggalan, ciri Suggest Review menyediakan cadangan automatik untuk meningkatkan kualiti gambar, menjadikan proses suntingann lebih lancar serta mesra pengguna. Berikut adalah beberapa hasil gambar menarik yang diambil menggunakan Vivo V50.











Setakat ini, V50 dilihat menarik sebagai peranti serba baik dengan reka bentuk yang nipis, pilihan warna premium, serta bahan binaan berkualiti. Kamera 50MP dengan ZEISS menawarkan ciri seperti ZEISS Multifocal Portrait dan Film Camera Mode seakan memberi nilai tambahan menarik. Selain itu, AI Image Studio turut memudahkan proses suntingan dengan ciri seperti AI Eraser dan AI Cutout. Bagaimanapun, masih terdapat banyak aspek prestasi peranti ini yang perlu diuji dengan lebih lanjut. V50 akan dilancarkan di Malaysia pada 13 Mac 2025 nantikan ulasan lengkapnya dalam masa terdekat.