Bulan akan menjadi koloni pertama manusia dalam tempoh satu generasi sahaja lagi. Amerika Syarikat, EU, China dan Rusia kesemuanya sudah memperlihatkan perancangan menggunakan bulan sebagai platform melancarkan misi ke Marikh dan juga perlombongan. Minggu lalu Honda mengumumkan mereka akan membangun sistem bahan api janaan semula (regenerative fuel cell system) yang membekalkan kuasa elektrik dan juga oksigen untuk angkasawan di permukaan bulan.
Sistem dibangunkan dengan kerjasama Sierra Space dan Tec-Masters. Pada waktu siang, kuasa elektrik akan dijana menggunakan panel solar yang kemudiannya akan disimpan di dalam bateri. Di waktu malam pula, bateri akan digunakan untuk mengubah air menjadi oksigen dan hidrogen menerusi proses elektrolisis.

Hidrogen yang terhasil akan digunakan untuk menjana tenaga elektrik yang diperlukan. Oksigen pula akan digunakan untuk bekalan pernafasan angkasawan. Ujian awal sistem ini akan dilalukan di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) terlebih dahulu untuk melihat prestasinya di dunia sebenar.
Sistem sel bahan api hidrogen dipilih Honda kerana mereka berpengalaman menggunakannya pada kenderaan. Ia berbeza dengan NASA yang ingin menggunakan reaktor nuklear mini untuk markas permukaan bulan mereka.
Walaupun Honda lebih terkenal sebagai syarikat automotif, mereka tidak dipilih untuk membina kenderaan di permukaan bulan. Agensi Angkasa Jepun (JAXA) dan NASA masing-masing telah memilih kenderaan yang direka oleh Toyota dengan ia mempunyai kabin membolehkan angkasawan melakukan eksplorasi.