Carian
ASUS Memperlihatkan Komponen Dan Aksesori Komputer Baru Dengan Tema Hatsune Miku
April 14, 2025 Nazrin

ASUS baru-baru ini telah memperlihatkan sejumlah komponen dan aksesori komputer baru yang hadir dengan tema idola digital Hatsune Miku, yang terdiri daripada papan induk, kad grafik, penyejuk CPU, rangka komputer, papan induk, papan kekunci, tetikus dan fon kepala.

Komponen dan aksesori ini hadir dengan tema warna putih, biru sian dan merah jambu yang merupakan warna-warna utama untuk watak ini.

Tetapi apa yang paling menarik mengenai pengumuman ini ialah kehadiran kad grafik yang diperlihatkan, yang dipercayai berasaskan NVIDIA GeForce RTX 5060 Ti. Model kad grafik yang diperlihatkan dalam video Bilibili oleh Tony Yu, Pengurus Besar ASUS China dilaporkan ialah model dengan memori 8GB.

Jika anda ingat sebelum ini, kami telah melaporkan bahawa model kad grafik ini akan hadir dengan dua penawaran memori, iaitu 16GB GDDR7 dan 8GB GDDR7. Model yang lebih mampu milik ini nampaknya hadir dengan sambungan kuasa 8-pin, dan akan menggunakan spesifikasi sambungan PCIe 5.0 x8, dimana kad-kad grafik GeForce RTX 5070 dan keatas semuanya menggunakan jalur x16.

Sayangnya seperti banyak produk kolaborasi bersama-sama jenama-jenama antarabangsa ini, siri produk ASUS x Hatsune Miku ini hanya akan dijual di pasaran China sahaja buat masa ini. Terdapat kebarangkalian bahawa ia akan dibawa masuk ke pasaran tempatan seperti kolaborasi bersama Neon Genesis Evangelion, tetapi ia nampaknya masih belum disahkan buat masa ini.

Kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5060 Ti dan GeForce RTX 5060 dijangka akan dilancarkan dalam masa beberapa hari lagi.

Komen