Bagi menghalang China daripada memintas mereka sebagai kuasa besar dalam dunia kecerdasan buatan (AI), Amerika Syarikat telah mengenakan sekatan teknologi sejak empat tahun kebelakangan ini. Akses kepada cip AI terkini NVIDIA dan AMD telah dihalang dengan NVIDIA hanya dibenarkan menjual cip dengan kuasa dikurangkan sahaja di China. Dengan perang perdagangan semakin hangat antara kedua-dua negara, Huawei dilaporkan telah melancarkan sistem komputer CloudMatrix 384 sebagai pesaing kepada sistem NVIDIA GB200 NVL72.

Sistem CloudMatrix 384 terdiri daripada 384 cip Huawei Ascend 910c dengan Huawei mengatakan sistem mereka mampu menawarkan kuasa pemproses hampir dua kali ganda lebih baik iaitu 300 petaFLOPS berbanding 180 petaFLOPS. Tetapi pada waktu yang sama CloudMatrix 384 memerlukan 560 kW kuasa berbanding GB200 NVL72 yang memerlukan hanya 145 kW kuasa.

Ini dilakukan dengan meletakkan lima kali kanda lebih banyak cip AI dalam CloudMatrix 384. Sebagai perbandingan satu sistem NVIDIA GB200 NVL72 dilengkapi 36 CPU Grace dan 72 GPU Blackwell. Keperluan tenaga yang tinggi dilihat bukanlah isu yang besar kerana China mempunyai infrastruktur tenaga yang mampu menanggungnya serta tiada tekanan untuk menggunakan perkakasan AI yang lebih mesra alam seperti di Amerika Syarikat.

Tetapi dengan situasi China berhadapan bekalan cip yang boleh dihalang bila-bila masa sahaja oleh Amerika Syarikat, CloudMatrix 384 ialah alternatif buatan tempatan yang terbaik ketika ini.
Penggunaan kuasa elektrik yang tinggi sudah memaksa Microsoft dan Meta mula menggunakan sumber kuasa nuklear bagi memenuhi keperluan pusat data mereka dalam masa terdekat. Disamping itu Google juga dikritik kerana pusat data menggunakan bekalan air yang tinggi untuk penyejukan.