Carian
Intel Dilaporkan Akan Membuang Lebih 20,000 Pekerja Minggu Ini
April 23, 2025 Effi Saharudin

Intel dilaporkan akan membuang 20% pekerja mereka minggu ini menurut laporan Bloomberg. Pada ketika ini Intel mempunyai sekitar 108,00 pekerja dan ini bermakna sekitar 21,600 pekerja akan dibuang. Langkah diambil sebagai sebahagian daripada strategi untuk menyelaraskan pengurusan dan memfokuskan semula pada budaya syarikat yang dipacu kejuruteraan di bawah pimpinan CEO baharu Lip Bu Tan.

Sebelum ini Lip Bu Tan telahpun mengambil langkah melakukan rombakan di peringkat pengurusan bagi mengurangkan birokrasi. Ini ialah pusing kedua pembuangan kerja dalam jumlah besar dilakukan oleh Intel bagi mengembalikan semula keuntungan.

Ogos tahun lalu lebih 15,000 telah dibuang dengan sekitar 2000 kakitangan di Malaysia terkesan. Beberapa pembinaan faundri turut dibatalkan di Eropah dengan skala pengembangan operasi kilang di Pulau Pinang turut dikecilkan.

Kegagalan Intel untuk bersaingan dalam dunia cip kecerdasan buatan (AI) yang kini didominasi oleh NVIDIA, dan isu pada cip Gen-13 serta Gen-14 menyebabkan kedudukan kewangan syarikat terjejas terus. Ia turut menyebabkan CEO Pat Gelsinger dipaksa meletakkan jawatan secara mengejut pada Disember tahun lalu.

Komen