Carian
Max Mula Mengenakan Bayaran Untuk Profil Tambahan
April 23, 2025 Effi Saharudin

Platform penstriman Max juga mula memperkenalkan bayaran untuk profil tambahan dengan ia kini diaktifkan di Amerika Syarikat terlebih dahulu. Seperti ciri sama di Netflix, sebuah lagi profil boleh ditambah kepada akaun dengan bayaran $7.99. Setiap akaun Max hanya menawarkan empat profil untuk pengguna dewasa dan satu profil untuk kanak-kanak. Ini mungkin tidak mencukupi bagi pengguna yang mempunyai keluarga yang besar.

Hanya satu profil boleh ditambah kepada setiap akaun dengan ia akan mempunyai emel dan kata laluan yang berbeza dengan pemilik akaun utama. Profil juga hanya boleh distrim pada satu peranti sahaja pada satu-satu masa. Dengan profil tambahan ini, seorang lagi pengguna dapat mengakses Max tanpa perlu membuka akaun baharu dengan harga langganan bulanan yang lebih tinggi.

Pada waktu ini ciri ini hanya diberikan kepada pengguna di Amerika Syarikat sahaja. Warner Bros Discovery tidak menyatakan sama ada ia akan turut ditawarkan ke pasaran lain. Di Malaysia Max boleh dilanggan pada harga RM34.90 sebulan untuk akaun Standard dan RM52.90 sebulan untuk akaun Ultimate.

Komen