Vivo telah melancarkan model baharu V50 Lite 5G di Malaysia. Ia direka dengan tumpuan terhadap bateri yang tahan lama lantas menjadikannya sesuai untuk penggunaan sepanjang hari. Selain daripada bateri, ia juga dilengkapi dengan ciri-ciri memadai yang boleh memenuhi keperluan harian pengguna. Untuk ketahui lanjut tentang prestasinya dalam penggunaan harian biasa dikongsikan ulasan penuh peranti melalui artikel di bawah.
Spesifikasi Dan Penggunaan
Vivo V50 Lite 5G | |
---|---|
Skrin | AMOLED, 120Hz 1800nits 6.77″ (1080 x 2392 piksel) (~388 ppi) |
Pemproses | Mediatek Dimensity 6300 (6 nm) |
Cip | 2 x 2.4 GHz Cortex-A76 6 x 2.0 GHz Cortex-A55 |
Cip Grafik | Mali-G57 MC2 |
RAM | 12GB RAM LPDDR4X 12GB RAM Maya |
Muatan Dalaman | 256GB UFS 2.2 |
Kamera Utama | 50 MP, f/1.8, (lebar) 8 MP, f/2.2, 120° (ultra-lebar) |
Kamera Depan | 32 MP, f/2.5, (lebar) |
Bateri | 6500 mAh Si/C Li-Ion 90W berwayar 6W berbalik |
SIM/Telefoni | Dwi SIM Nano |
NFC | Ya |
Infra Merah | Ya |
Kalis Air | IP69 |
Sistem Imbasan | Imbasan cap jari Imbasan wajah |
Harga Jualan | RM 1,299 (8/128GB) RM 1,499 (12/256GB) RM 1,699 (12/512GB) |
Vivo V50 Lite 5G hadir dengan reka bentuk yang lebih moden dan premium berbanding V40 Lite 5G dengan perubahan yang jelas dari segi dimensi dan kemasan Peranti ini memiliki bonggol kamera tebal yang menyerupai gaya Samsung Galaxy A56. Walaupun perubahan ini mungkin kurang selesa bagi sesetengah pengguna, ia tidak sehingga menjejaskan pengalaman penggunaan dan masih mengekalkan rupa yang moden serta premium.

Selain itu, walaupun saiz Aura Light lebih kecil, ia tidak menjejaskan pencahayaan semasa mengambil gambar. Kamera masih dapat menghasilkan gambar yang jelas dan terang, memberikan pengalaman fotografi yang baik.
Susunan lensa masih dalam posisi menegak, tetapi kini setiap lensa mempunyai saiz berbeza dan tidak lagi seragam seperti sebelum ini. Walaupun kelihatan kurang seimbang, reka bentuk kamera ini tetap mengekalkan gaya khas peranti Vivo yang sudah dikenali.
Dari segi pengalaman penggunaan, peranti ini selesa kerana reka bentuknya yang ergonomik serta permukaan yang sesuai untuk genggaman tangan. Ia mudah dikendalikan dalam tempoh yang lama tanpa menyebabkan ketidakselesaan.

Selain itu, dengan ketebalan hanya 7.8 mm, V50 Lite 5G masih dianggap nipis, menjadikannya senang dipegang dengan satu tangan serta mudah disimpan dalam poket atau beg kecil. Namun, bagi pengguna yang gemar memakai seluar jeans skinny, peranti mungkin sedikit terkeluar apabila disimpan dalam poket bergantung pada ketebalan fabrik dan saiz poket masing-masing.
V50 Lite 5G hadir dengan reka bentuk belakang dengan kemasan pusam untuk rasa lebih selesa di tangan. Berbanding dengan V40 Lite 5G yang mempunyai kemasan berkilat, V50 Lite 5G lebih tahan terhadap kesan minyak dan cap jari menjadikannya lebih mudah dijaga.
Walaupun diperbuat daripada plastik, peranti ini mempunyai binaan yang kukuh. Apabila ditekan, ia tidak melentur atau menghasilkan bunyi rongga kosong, malah memberikan pengalaman penggunaan yang selesa dalam kegunaan harian.

V50 Lite 5G hadir dalam tiga warna menarik, iaitu Titanium Gold yang memberikan gaya mewah dan sesuai untuk mereka yang ingin kelihatan lebih eksklusif. Phantom Black sebagai pilihan klasik dengan reka bentuk minimalis untuk pengguna yang mengutamakan penampilan professional. Fantasy Purple pula menampakkan warna moden yang sesuai bagi mereka yang mahu tampil lebih menonjol.
Sisi kanan peranti mempunyai butang kuasa dan laras audio di bahagian atas, manakala sebelah kiri terdapat slot SIM dengan sokongan dwi SIM Nano. Selain itu, peranti ini turut dilengkapi dengan sensor infra merah serta pembesar suara di bahagian atas. V50 Lite 5G juga menyokong sistem audio stereo, dengan satu lagi pembesar suara di bahagian bawah berhampiran port USB-C.

Dari segi bunyi, V50 Lite 5G mempunyai masalah biasa dalam sistem stereo, di mana bunyi dari pembesar suara atas lebih perlahan berbanding bahagian bawah. Masalah ini sering berlaku pada banyak telefon. Namun, keupayaan peranti ini untuk meningkatkan bunyi sehingga 400% memberikan pengalaman audio yang lebih kuat dan jelas. Selain itu, peranti ini mempunyai pengimbas cap jari pada skrin yang cepat dan responsif.
V50 Lite 5G membawa beberapa peningkatan menarik dalam aspek skrin berbanding V40 Lite 5G. Peranti ini menggunakan skrin OLED bersaiz 6.77 inci, sedikit lebih besar daripada AMOLED 6.67 inci pada V40 Lite 5G. Dengan nisbah skrin-ke-badan mencapai 94.2% telah memberikan paparan lebih luas dan pengalaman tontonan yang lebih imersif. Ini menjadikannya sangat sesuai untuk menonton video, bermain permainan, dan membaca kandungan digital dengan lebih selesa.
Dari segi kadar segar semula, kedua-dua peranti menyokong 120Hz bagi memastikan animasi dan pergerakan skrin yang lancar. Namun, kelebihan V50 Lite 5G terletak pada teknologi skrin V50 Lite 5G yang menawarkan kontras warna lebih jelas dan tahap kecerahan lebih tinggi berbanding V40 Lite 5G.

Ini menjadikan V50 Lite 5G lebih menyerlah dalam keadaan pencahayaan yang berbeza untuk paparan yang lebih terang dan jelas. Perbezaan ini mungkin tidak begitu ketara dalam penggunaan harian, tetapi bagi pengguna yang mementingkan ketepatan warna, V50 Lite 5G memberikan pengalaman yang lebih baik.
Satu lagi kelebihan V50 Lite 5G ialah teknologi perlindungan cahaya biru rendah yang sepatutnya bantu mengurangkan ketegangan mata menjadikannya lebih selesa digunakan dalam tempoh yang lama. V40 Lite 5G juga mempunyai ciri yang sama tetapi menurut Vivo teknologi yang digunakan pada V50 Lite 5G lebih terkini untuk memberikan keselesaan tambahan.
Perkakasan Dan Perisian

V50 Lite 5G hadir dengan cip MediaTek Dimensity 6300, yang sepatutnya mampu menawarkan prestasi yang memadai untuk penggunaan harian seperti menatal media sosial, menonton video, dan menjalankan aplikasi asas.
Peranti ini hadir dengan 12GB RAM LPDDR4X serta storan dalaman 256GB UFS 2.2 yang boleh menyediakan ruang mencukupi bagi aplikasi dan fail. Namun, ia tidak menyokong kad mikroSD menjadikan storan dalaman sebagai satu-satunya pilihan yang tersedia. Selain itu, terdapat RAM Maya sebanyak 12GB yang terbina secara automatik dan tidak boleh diubah oleh pengguna.

Penggunaan V50 Lite 5G terasa lancar ketika menatal media sosial, dengan animasi dan pergerakan skrin yang stabil tanpa gangguan ketara. Namun, terdapat sedikit kelewatan respons semasa menaip mesej, terutama ketika beralih antara aplikasi atau semasa input teks yang panjang. Walaupun lengah masa ini tidak terlalu mengganggu dalam penggunaan biasa, ia mungkin kurang sesuai bagi pengguna yang mengutamakan kelajuan dalam komunikasi dan produktiviti.
AnTuTu 3D
Cip Pemprosesan | Skor |
Dimensity 6300 | 437,831 |
Dimensity 7300 Ultimate | 688,532 |
Snapdragon 7s Gen 2 | 741,709 |
Dimensity 7300 Energy | 613,504 |
Geekbench 6
Cip Pemprosesan | Skor |
Dimensity 6300 | 616/1643 |
Dimensity 7300 Ultimate | 1017/3079 |
Snapdragon 7s Gen 2 | 921/2127 |
Dimensity 7300 Energy | 899/2763 |
3DMark Wildlife Extreme
Cip Pemprosesan | Skor |
Dimensity 6300 | 1,355 |
Dimensity 7300 Ultimate | 870 |
Snapdragon 7s Gen 2 | 855 |
Dimensity 7300 Energy | 809 |
Dari segi permainan, prestasi V50 Lite 5G bergantung kepada jenis permainan yang dijalankan. Honor of Kings boleh dimainkan pada kadar maksimum 60FPS, namun prestasi tidak sepenuhnya stabil, dengan kadar bingkai turun kepada 57–59FPS dalam situasi tertentu. Terdapat juga sedikit kelewatan respons (latency) dan permainan kadangkala tersekat-sekat, terutamanya semasa serangan berskala besar. Keadaan ini boleh menjejaskan pengalaman permainan, terutama bagi pemain yang mengutamakan kestabilan kadar bingkai.


Untuk Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), permainan berjalan lancar pada kadar 60FPS, dengan sedikit penurunan bingkai dalam julat 57–59FPS. Saranan permainan hanya pada tahap High/High, menunjukkan bahawa peranti ini mampu menjalankan permainan pada tetapan tinggi tetapi masih mempunyai batasan tertentu. Sementara itu, Genshin Impact hanya boleh dimainkan pada tetapan grafik rendah (Lowest) dengan kadar 30FPS, memperlihatkan bahawa cip pemprosesannya kurang sesuai untuk permainan berat yang memerlukan kuasa pemprosesan tinggi.

Walaupun terdapat beberapa isu prestasi dalam permainan, V50 Lite 5G tidak mengalami masalah pemanasan yang serius, dan membuktikan bahawa sistem penyejukannya berfungsi dengan baik dalam mengawal suhu semasa penggunaan yang berat.
Funtouch OS 15 berasaskan Android 15 disediakan juga menawarkan navigasi yang lancar dengan animasi serta peralihan skrin yang stabil. Penggunaannya terasa selesa dan hampir setanding dengan model terkini Vivo. Dari segi reka bentuk, warna dalam antara muka mungkin kurang menarik bagi mereka yang suka gaya lebih ceria dan berwarna-warni kerana elemen visualnya agak minimalis.


Dengan ciri seperti Circle to Search, proses pencarian maklumat menjadi lebih cepat dan mudah hanya dengan membuat bulatan pada teks atau imej. Sementara itu, teknologi AI Photo Enhancer dan AI Eraser pula membantu dalam proses suntingan gambar ringkas secara automatik, serta menghasilkan imej yang lebih jelas dan berkualiti tinggi tanpa memerlukan aplikasi pihak ketiga.

Namun seperti model Vivo lain, masih terdapat iklan dan aplikasi pra-pasang yang tidak boleh dibuang. Hal ini boleh menjejaskan penggunaan storan, seterusnya mengganggu pengalaman pengguna yang lebih lancar. Kehadiran iklan dalam kedai aplikasi dan menu tetapan juga sebenarnya menimbulkan perasaan kurang selesa semasa menggunakan peranti.
Kamera Dan Kualiti Gambar
Kamera V50 Lite 5G menawarkan prestasi yang memadai bagi pengguna yang mencari peranti dengan keupayaan fotografi asas. Dalam penggunaan biasa, kamera ini mampu menghasilkan gambar yang jelas, namun warna yang dihasilkan kelihatan kurang menyerlah dan tidak begitu hidup. Bagi mendapatkan hasil yang lebih menarik, pengguna boleh melakukan sedikit suntingan atau menggunakan penuras warna yang disediakan agar warna gambar kelihatan lebih tajam dan bermaya.





Dalam mod potret, edge detection pada kamera ini kadangkala kurang tepat dalam memisahkan subjek daripada latar belakang, terutamanya apabila subjek berada terlalu dekat dengan latar belakang, di mana masalah yang turut dialami oleh model V50 sebelum ini. Namun, dengan pencahayaan yang baik serta penggunaan penuras warna, pengguna masih dapat memperoleh hasil gambar potret yang memuaskan. Walaupun begitu, kesan kabur mungkin tidak begitu sempurna, terutama dalam situasi di mana latar belakang terlalu dekat dengan subjek.


Selain itu, cahaya yang terlalu terang boleh menyebabkan dedahan (exposure) berlebihan pada latar belakang, yang mengakibatkan ketidakseimbangan dalam hasil akhir gambar. Panjang fokus (focal length) pada V50 Lite 5G juga agak terhad berbanding V50, yang boleh mengehadkan kebebasan pengguna dalam menghasilkan komposisi gambar yang lebih menarik dan pelbagai.
V50 Lite 5G mampu menghasilkan gambar yang baik dalam pencahayaan rendah, termasuk waktu malam. Walau bagaimanapun, apabila terdapat sumber cahaya yang lebih terang, seperti papan tanda kedai, teks pada gambar cenderung kelihatan kurang tajam dan sedikit kabur.




Walaupun terdapat beberapa kelemahan, V50 Lite 5G tetap mempunyai kelebihan dari segi kemudahan penggunaan, dengan sistem kawalan kamera yang mudah difahami serta pelbagai pilihan mod untuk pengguna menyesuaikan hasil tangkapan mengikut keperluan mereka.
Tambahan pula, peranti ini ditawarkan pada harga yang lebih rendah berbanding model lain dalam siri V50 yang menyediakan kamera lebih premium. Walaupun begitu, ia masih merupakan pilihan yang menarik bagi pengguna yang mencari keseimbangan antara harga dan keupayaan fotografi.





Secara keseluruhannya, V50 Lite 5G sesuai untuk pengguna kasual yang mengutamakan kesederhanaan dan kemudahan dalam mengambil gambar. Walaupun kamera ini mungkin kurang sesuai bagi mereka yang mahukan prestasi fotografi lebih canggih, ia tetap menawarkan pengalaman fotografi asas yang memuaskan bagi kegunaan harian.



Bateri Dan Pengecasan
V50 Lite 5G dilengkapi dengan bateri 6,500mAh BlueVolt, direka khas untuk kegunaan jangka panjang tanpa perlu kerap mengecas. Dalam penggunaan biasa, skrin peranti mampu bertahan lebih daripada sehari, yang membuktikan kecekapan tenaga yang tinggi. Selain itu, dalam ujian ketahanan, peranti ini berjaya beroperasi selama hampir 22 jam menjalankan pelbagai aktiviti harian seperti melayari internet, menonton video, dan menggunakan aplikasi secara serentak. Apabila bateri habis, teknologi pengecasan pantas 90W FlashCharge menjadi penyelesaian terbaik. Dengan hanya 20 minit pengecasan, bateri dapat mencapai sehingga 50%.

Apa Di Dalam Kotak
Berikut ialah yang disertakan dalam kotak yang kami terima:
- 1 x Vivo V50 Lite 5G.
- 1 x Kepala Pengecas 90W.
- 1 x Kabel USB-C ke USB-A.
- 1 x Kerangka Silikon.
- 1 x Manual Pengguna.
- 1 x Pencungkil SIM.
Pesaing
Vivo V50 Lite 5G | Tecno Camon 40 Pro 5G | Oppo A5 Pro 5G |
6.77″ AMOLED FHD+, 120Hz | 6.78″ AMOLED FHD+, 144Hz | 6.67″ IPS LCD HD+ |
Dimensity 6300 (6 nm) 2 x 2.4 GHz Cortex-A76 6 x 2.0 GHz Cortex-A55 | Dimensity 7300 Ultimate (4nm) 4x Cortex-A78 2.6 GHz 4x Cortex-A55 2.0 GHz | Dimensity 6300 (6 nm) 2 x 2.4 GHz Cortex-A76 6 x 2.0 GHz Cortex-A55 |
Mali-G57 MC2 | Mali-G615 MC2 | Mali-G57 MC2 |
12GB RAM | 8GB RAM | 8GB RAM |
256GB (tiada kad mikroSD) | 256 GB UFS 2.2 (tiada kad mikroSD) | 256 GB UFS 2.2 (tiada kad mikroSD) |
Kamera Utama 50 MP (lebar) 8 MP (Ultra Sudut Lebar) | Kamera Utama 50MP f/1.9, OIS (Sudut Lebar) 8MP (Ultra Sudut Lebar) | Kamera Utama 50MP f/1.8 (utama) 2MP (kedalaman) |
Kamera Hadapan 32 MP, f/2.5 | Kamera Hadapan 50 MP f/2.5 | Kamera Hadapan 8MP f/2.0 |
IP69 | IP69 | IP69 |
Tiada bicu audio | Tiada bicu audio | Tiada bicu audio |
Audio Stereo | Audio Stereo | Audio Stereo |
6500 mAh Berwayar 90W | 5200 mAh Berwayar 45W | 5000mAh Berwayar 45W |
RM 1,299 (8/128GB) RM 1,499 (12/256GB) RM 1,699 (12/512GB) | RM 1,099 (8/256GB) | RM 1,099 (8/256GB) |
Kesimpulan
Secara keseluruhan, V50 Lite 5G menawarkan pengalaman penggunaan yang seimbang bagi mereka yang mencari peranti dengan prestasi sederhana tetapi ketahanan bateri yang memuaskan. Walaupun prestasi kamera dan beberapa ciri lain mungkin tidak setanding dengan versi V50 yang lebih premium, peranti ini masih boleh menjadi pilihan menarik kerana harga yang lebih berpatutan serta kemudahan penggunaan yang baik. Dengan bateri 6,500mAh dan teknologi 90W FlashCharge, V50 Lite 5G mampu bertahan lama dan dicas dengan pantas, menjadikannya pilihan sesuai bagi mereka yang memerlukan peranti yang boleh digunakan sepanjang hari tanpa perlu risau tentang pengecasan kerap.
KELEBIHAN
- Tubuh nipis dengan kemasan berkualiti tinggi.
- Kapasiti 6,500mAh dengan pengecasan pantas 90W.
- Paparan besar dengan kadar segar semula tinggi.
- Kamera 50MP dengan Aura Light.
KEKURANGAN
- Tiada OIS pada kamera.
- Prestasi kamera sederhana.
- Tiada bicu audio 3.5mm.
- Cip bukan yang terbaik dalam kelasnya.
