Amerika Membatalkan Visa Pelajar Dari China Khususnya Dalam Bidang Kritikal
Effi Saharudin
Semalam Amerika Syarikat membatalkan proses permohonan visa untuk semua pelajar antarabangsa dan akan memperketatkan pemeriksaan kandungan media sosial pemohon. Ini ialah langkah drastik yang diambil pentadbiran Trump untuk memastikan pelajar yang “tidak mesra dengan polisi Amerika Syarikat” tidak akan dapat meneruskan pelajaran di institusi pengajian tinggi tempatan

Hari ini Setiausaha Negara A.S. Marco Rubio mengumumkan Amerika Syarikat akan lebih agresif membatalkan visa milik pelajar dari China khususnya dalam bidang-bidang pengajian kritikal dan yang mempunyai kaitan dengan Parti Komunis China. Selain itu juga akan menyemak semula kriteria visa untuk meningkatkan penelitian terhadap semua permohonan visa dari China dan Hong Kong.
Dua pengumuman yang dilakukan minggu ini akan mendatangkan impak yang besar bukan sahaja kepada institusi pengajian tinggi Amerika Syarikat tetapi juga syarikat teknologi utama tempatan yang mengambil graduan sebagai tenaga kerja. Dalam data yang dikongsi oleh Jabatan Perdagangan, India dan China menyumbang 54% jumlah pelajar antarabangsa di Amerika Syarikat. China sahaja menghantar hampir 300,000 ke Amerika Syarikat pada tahun 2024.
Jensen Huang, CEO NVIDIA sudahpun menyeru kerajaan Amerika Syarikat untuk meningkatkan pelaburan dalam pendidikan memandangkan lebih separuh penyelidik terbaik bidang kecerdasan buatan (AI) pada waktu ini berasal dari China.
Sekatan ke atas kemasukan pelajar antarabangsa bukan polisi baharu Amerika. Pada dekad 80an, pelajar dari Iran disekat daripada meneruskan pelajaran disebabkan Revolusi Iran dan pekerja kedutaan Amerika Syarikat dijadikan tebusan selama 444 hari.
Kemudian semasa penggal pertama Trump menjadi presiden, beliau menghalang kemasukan semua warga daripada beberapa negara Islam kerana risiko serangan pengganas. Malahan permohonan visa pelajar dari China turut dibekukan beliau pada tahun 2020 bagi menghalang aliran teknologi bagi tujuan ketenteraan.