Awal minggu ini Wall Street Journal melaporkan syarikat dari China melatih model kecerdasan buatan (AI) mereka menggunakan pusat data di Malaysia. Sebanyak 15 buah cakera keras yang setiap satunya mengandungi 80TB data untuk melatih AI didakwa diseludup dari China untuk dilatih menggunakan mesin pelayar AI di Kuala Lumpur. Ia dilihat sebagai usaha memintas halangan akses cip NVIDIA yang dikenakan ke atas China oleh Amerika Syarikat.
The Edge kini melaporkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sedang dalam proses mengesahkan laporan WSJ. MITI berkata mesin pelayan yang menggunakan cip NVIDIA tidak diklasifikasikan sebagai barangan terkawal di dalam negara. Sungguhpun begitu, Malaysia akan bekerjasama dengan mana-mana kerajaan yang memerlukan bantuan dalam memantau perdagangan barangan yang dianggap sensitif di bawah kawalan eksport masing-masing

Tambah MITI lagi, perniagaan yang beroperasi di Malaysia bebas membuat keputusan komersial mereka selagi mereka mematuhi undang-undang dan peraturan Malaysia. Sekiranya dakwaan WSJ terbukti benar, ia akan mendatangkan risiko ke atas impian negara menjadi pusat data rantau Asia Tenggara kerana sebelum ini pelayar NVIDIA bermilai RM 1.7 bilion diseludup ke China dari Singapura juga menerusi Malaysia.
Selepas sekatan membeli cip NVIDIA dan AMD dikenakan oleh Amerika Syarikat ke atas China, syarikat China melatih model AI mereka menerusi perkhidmatan pusat data awanan. Ini kemudiannya turut disekat Amerika Syarikat.
Seterusnya saintis dari China melakukan pembangunan AI di Emiriah Arab Bersatu yang menyebabkan Amerika Syarikat mengenakan kuota pembelian cip AI untuk negara-negara tertentu. Halangan ini telah dibatalkan oleh pentadbiran Trump pada Mei lalu dengan UAE dan Arab Saudi dibenarkan membeli cip AI tanpa had untuk membina pusat data AI bernilai ratusan bilion dolar.