Teknologi Peningkatan Resolusi PSSR Akan Digantikan Dengan AMD FSR 4 Pada PlayStation 5 Pro Pada Tahun Hadapan
Nazrin
Pada tahun lepas, Sony telah melancarkan konsol Sony PlayStation 5 Pro sebagai penaiktarafan kepada konsol Sony PlayStation 5 asal mereka, yang memperlihatkan kebolehan untuk menggerakkan permainan dengan butiran grafik yang lebih hebat, dan resolusi tinggi dengan kadar segar semula yang lebih tinggi dan stabil, berterima kasih kepada penaiktarafan cip pemprosesan yang digunakan, dan juga teknologi peningkatan resolusi PlayStation Spectral Resolution (PSSR).
Terkini, melalui satu temubual bersama Tom’s Guide, Mark Cerny, ketua arkitek Sony PlayStation 5 telah mengesahkan bahawa PSSR akan digantikan dengan sebuah lagi teknologi peningkatan resolusi, iaitu AMD Fidelity Super Resolution 4 pada tahun hadapan.

Perkara ini secara teknikalnya sudahpun dilaporkan pada awal tahun ini, tetapi sebelum ini, kami mengatakan bahawa PSSR akan menerima kemaskini untuk sokongan teknologi FSR 4, dan bukan digantikan sepenuhnya oleh teknologi tersebut.
Perkara ini boleh dilakukan kerana kerjasama Project Amethyst yang dimulakan oleh AMD dan Sony, khususnya melalui cip RDNA 2 yang menyokong sepenuhnya teknologi grafik AMD, tidak seperti apa yang digunakan pada PlayStation 5.
Secara teknikalnya, peralihan daripada penggunaan teknologi PSSR ke FSR 4 bermakna bahawa PlayStation 5 Pro akan tampil memperlihatkan ciri-ciri peningkatan resolusi yang setaraf dengan apa yang diperlihatkan pada sebuah komputer yang memanfaatkan teknologi tersebut, seperti memain permainan pada resolusi 4K dan kadar segar semula tinggi, lengah masa input daripada alat kawalan yang lebih rendah dan olahan grafik yang lebih tajam.

Bukan itu sahaja, kenyataan Mark Cerny berkenaan implementasi FSR 4 pada PlayStation 5 Pro juga mungkin bermakna bahawa kad-kad grafik AMD Radeon sebelum ini, seperti AMD Radeon RX 7950XT dan sebagainya mungkin boleh menyokong teknologi RDNA 4 di masa hadapan, yang buat masa ini hanya disokong pada siri kad grafik AMD Radeon RX 9000.
Beliau juga mengatakan bahawa semua pemerhatian yang dibuat melalui Project Amethyst boleh dimanfaatkan oleh AMD pada siri kad grafik mereka akan datang, yang mungkin akan dinamakan RDNA 5 ataupun UDNA.
Buat masa ini, Mark Cerny belum mengesahkan lagi bilakah PlayStation 5 Pro akan menerima penaiktarafan teknologi FSR 4 ini, tetapi telah menjanjikan bahawa ia akan tiba pada tahun 2026.
[sumber]Tom’s Guide[/sumber]