Misi Artemis II Yang Menghantar Manusia Mengelilingi Bulan Berjaya Dilancarkan
Effi Saharudin
Misi Artemis II yang akan mengembalikan manusia mengelilingi bulan buat pertama kali sejak 1972 telah berjaya dilancarkan pada jam 6.36 pagi tadi dari Cape Canaveral, Amerika Syarikat. Misi ini pada asalnya dijadualkan pada bulan Februari lalu tetapi dibatalkan kerana kebocoran pada tangki bahan api roket SLS.

Artemis II membawa empat krew terdiri daripada angkasawan NASA Reid Wiseman, Victor Glover dan Christina Koch serta angkasawan Agensi Angkasa Lepas Kanada Jeremy Hansen. Jika semua berjalan lancar misi akan mengambil masa 10 hari.
Pada ini kapsul angkasa Orion yang diberikan nama Integrity masih bersambung dengan Modul Angkasa Eropah (ESM) yang membekalkan kuasa menggunakan panel solar sedang mengelilingi bumi sementara menanti langkah seterusnya iaitu lentingan suntikan translunar (TLI)

Sistem sokongan hidup, kumbahan, komunikasi dan tujahan Integrity akan diuji dalam tempoh 24 jam sebelum proses TLI dilakukan untuk meneruskan perjalanan ke bulan selama 4 hari. Semasa artikel ditulis, krew Artemis II melaporkan isu dengan kipas peredaran udara pada sistem kumbahan sisa pejal Integrity. Ia sedang diselesaikan dan sekiranya tidak berfungsi sekalipun terdapat sistem sandaran untuk masih meneruskan misi.
Setibanya di bulan, Integriti akan mengorbitnya dengan pergi ke bahagian jauh bulan sebelum kembali semula ke bumi. Perjalanan ini sekali lagi akan mengambil masa empat hari sebelum kapsul melakukan pendaratan di permukaan Lautan Pasifik pada 10 atau 11 April bergantung kepada cuaca.

Artemis II sudahpun mencatatkan rekod sebagai misi dengan krew menggunakan roket paling berkuasa dalam sejarah aeroangkasa dan akan bakal mencatatkan lima lagi rekod baharu iaitu perjalanan paling jauh daripada bumi pernah dilakukan oleh manusia (lebih 400,000 km), wanita pertama mengelilingi bulan, individu bukan kulit putih pertama mengelilingi bulan, angkasawan bukan warganegara Amerika pertama mengelilingi bulan sertya krew pertama dibenarkan membawakan telefon pintar peribadi mengelilingi bulan.