DJI Turut Mengacah Osmo Pocket 4P Dengan Dwi-Kamera
Effi Saharudin
DJI melancarkan Osmo Pocket 4 lewat malam semalam dengan ia dijual di Malaysia bermula RM1999 sebuah. Tetapi selepas pelancaran, kewujudan DJI Osmo Pocket 4P pula diacah dengan ia dilengkapi sistem dwi-kamera. Apabila dilancarkan kelak, ia akan menjadi kamera gimbal kompak pertama dengan sistem dwi-kamera.

Sistem kamera Osmo Pocket 4P ini mirip dengan yang digunakan pada DJI Air 3S yang dilancarkan pada tahun 2024. Tiada maklumat mengenai kamera pada Osmo Pocket 4P tetapi pada DJI Air 3S sistem dwi-kamera menggabungkan sensor 50MP+48MP, satu dengan sensor CMOS 1-inci dan satu lagi dengan sensor telefoto 70mm.
Tidak tahun mengapa Osmo Pocket 4P tidak dilancarkan serentak dengan Osmo Pocket 4 kerana kedua-duanya tertiris serentak sejak beberapa bulan lalu. Besar kemungkinan kekurangan komponen memori – Osmo Pocket 4 mempunyai storan terbina buat pertama kali – membuatkan pelancaran model dengan dwi-kamera ditangguh terlebih dahulu.