Rasmi – Langganan Piala Dunia 2026 Unifi TV Ditawarkan Bermula RM50 Untuk Pas Musim
Effi Saharudin
Sudah hampir sebulan Radio TV Malaysia (RTM) dan Unifi TV diumumkan menjadi penyiar rasmi sah untuk Piala Dunia 2026. Dengan temasya bola sepak terbesar dunia akan berlangsung dari 11 Jun hingga 19 Julai, ramai masih menantikan apakah bayaran langganan yang akan dikenakan oleh Unifi TV kepada mereka yang ingin menonton.
Selepas aplikasi Unifi TV terlalu awal meniriskan harga langganan beberapa hari yang lalu. Sebentar tadi harga langganan sebenar yang rasmi akhirnya diumumkan dalam aplikasi. Ia adalah RM50 untuk Season Pass bagi pelanggan Unifi TV sedia ada dan RM60 untuk bukan pelanggan Unifi TV. Terdapat juga pas menonton 24 jam yang dijual pada harga RM20.

Mereka yang berminat hanya perlu pergi ke https://unifi.com.my/fifaworldcup2026 untuk melanggan. Unifi TV mengesahkan penstriman hanya ditawarkan pada resolusi HD (1080p) sahaja tapa penawaran 4K UHD. Piala Dunia boleh ditonton menggunakan telefon pintar, tablet dan TV pintar. Pelanggan Unifi TV boleh mentsrim pada dua peranti serentak sementara bukan pelanggan pula pada satu peranti sahaja pada satu-satu masa.
Langganan Season Pass ini memberikan akses kepada kesemua 104 perlawanan perlawanan secara langsung menerusi 3 saluran khas Unifi FIFA World Cup 2026. Turut disertakan dalam berkas ini ialah akses kepada 73 saluran Premium Channel seperti HBO, Cinemax, AXN, SPOTV dan banyak lagi.
Siaran Piala Dunia 2026 turut boleh dinikmati menerusi TV percuma, TV digital MyTV, aplikasi RTM Klik dan laman MyGOV. Sebagai penyiar rasmi, kesemua 104 perlawanan akan disiarkan secara langsung menerusi Unifi TV. RTM pula akan menyiarkan sebahagian besar perlawanan secara langsung dan juga tertunda.