Ulasan Honor Magic V6 – Peranti Lipat Paling Lengkap
Effi Saharudin
Peranti dengan skrin lipat pada peringkat awal mempunyai pelbagai kekurangan berbanding telefon candybar. Skrin mempunyai garis lipatan ketara, pemproses kurang berluasa, tiada aplikasi menggunakannya dengan betul, kamera kelas kedua dan bateri yang kecil. Selepas lima kitara bumi mengelilingi matahari, peranti skrin lipat telah dikemas kini dengan kekurangan yang ada telah ditambah baik.

Tahun lalu Magic V5 dilancarkan sebagai antara peranti lipat terbaik di pasaran. Dengan Magic V6, kesempuraamn yang ingin dicapai kini semakin hampir menjadi realiti.
SPESIFIKASI
| Honor Magic V6 | |
|---|---|
| Skrin | Luar – 6.52″ LTPO2 AMOLED, 120Hz Dalam – 7.95″ LTPO2 AMOLED 120Hz Dolby Vision, HDR10+ |
| Pemproses | Snapdragon 8 Elite Gen 5 (3nm) |
| Cip | 2x Oryon V3 Phoenix L 4.6 GHz 6x Oryon V3 Phoenix M 3.62 GHz |
| Cip Grafik | Adreno 840 |
| RAM | 16 GB LPDDR5x |
| Muatan Dalaman | 512GB UFS 4.1 |
| Kamera Utama | 50MP f/1.6, OIS (Sudut Lebar) 50MP f/2.2 (Ultra Lebar) 64MP f/2.5, OIS (Telefoto 3X) 4K 60p |
| Kamera Depan | 20 MP f/2.2 (Depan) 20 MP f/2.2 (Dalam) 4K 60p |
| Bateri | 6600 mAh Pengecasan berwayar 80W Pengecasan nirwayar 66W |
| SIM/Telefoni | Dwi SIM Nano /5G |
| NFC | Ya |
| Infra Merah | Ya |
| Kalis Air | IP69 |
| Sistem Imbasan | Cap jari terbina sisi |
| Harga Jualan | RM 7,699 (16/512GB) RM 8,899 (16/1000GB) |
SKRIN
Skrin luar 6.52″ adalah dari keluarga LTPO2 AMOLED dengan sokongan kadar segar semula 120Hz. Skrin luar ini cukup lebar memudahkan ia digunakan untuk menaip. Ia masih lagi memanjang berbanding skrin peranti candybar namun jauh lebih baik berbanding nisbah skrin peranti lipat generasi terdahulu. Dari segi saiz ia sama dengan V5 tetapi dengan bezel yang lebih nipis.

Di bahagian dalam pula skrin oleh 7.95″ LTPO2 AMOLED 120Hz disertakan. Kesan lipatan semakin kurang ketara sama dengan Oppo Find N6 yang saya ulas beberapa bulan lalu. Skrin nampak terang dengan paparan warna yang baik.

Kedua-dua skrin luar dan dalam menyokong paparan kandungan HDR10+ dan juga Dolby Vision. Saya dapat memaparkan kandungan HDR daripada Netflix, Prime Video, HBO Max dan YouTube tanpa sebarang isu. Sokongan stylus Honor Magic Pen juga diteruskan pada kedua-dua skrin memberikannya kelebihan berbanding sir Z Fold yang tidak lagi menyokongnya.
BIOMETRI
Pengimbas cap jari sisi yang digunakan mengesan cap jari pantas dan konsisten cuma kerana ia terbina pada butang kuasa saiz kawasan imbasan adalah agak kecil. Kadang kala jari gagal dikesan. Maka saya rasakan nyahkunci dengan wajah adalah lebih pantas asalnya dalam kawasan bercahaya. Tiada sistem imbasan wajah secara 3D seperti Magic8. Saya rindukan sistem ini kerana ia konsisten tak kira terang ataupun gelap.

REKAAN
Rekaan tubuh masih 4.1mm dalam keadaan terbuka dan 8.8mm dalam keadaan ditutup. Honor sudah mencapai tahap tubuh paling nipis boleh digunakan tetapi sisi kini lebih berkotak menjadikannya lebih selesa di dalam tangan.

Tubuh memang nipis jika bonggol kamera tidak diambil kira. Bonggol kamera Magic V6 sangat besar sehingga membuatkan peranti tidak boleh diletakkan rata di atas meja. Bonggol mengekalkan rekaan bersegi oktagon seperti tahun lalu.
Sisi Magic V6 yang nipis mendatangkan isu sedikit sukar untuk dibuka. Saya sudah menggunakan Find N6 dan Z Fold7 maka saya sudah membiasakan diri dan mempunyai cara untuk membuka skrin dengan lebih mudah. Tetapi jika anda tidak mempunyai pengalaman, proses membuka skrin V6 dalam beberapa minggu awal pemilikan akan menjadi sedikit mencabar,

Engsel skrin teguh dan tahan lasak dengan tahun ini di ditunjukkan cukup tahan lasak untuk menahan tekanan apabila digunakan untuk menarik kapal terbang. Gimik yang cukup berani kerana tahun lalu ketahanan hanya diuji dengan hanya menampung berat sebuah sofa.
Tahun lalu tubuh nipis menyebabkan pemancar infra merah tidak disertakan. Pada V6, pemancar IR kembali dan ia diletakkan pada bonggol kamera seperti pada Xiaomi 17. Terima kasih kepada Honor kerana mengembalikan semula ciri ini. Saya perlukan pemancar IR untuk kipas, penyaman udara, TV dan speaker di rumah yang tidak mempunyai sokongan ekosistem pintar.

Lubang kekisi audio masih diletakkan pada pintu skrin yang berbeza menjadikan rekaan tidak simetri. Tubuh melepasi piawaian IP69 di Malaysia dan ini adalah lebih baik berbanding V5 (IP59), Find N6 (IP59) dan Z Fold7 (IP48). Magic V6 ialah peranti lipat dengan kemampuan kalis debu serta air terbaik di pasaran sekarang.
Bonggol besar di belakang diperbuat daripada bongkah logam yang terasa ampuh apabila diketuk dengan panel kaca besar menutupi tiga lensa kamera utama. Honor menyertakan kombinasi sensor 54+50+64 MP dalam bonggol lengkap dengan sistem zoom telefoto 3x. Dua kamera swafoto pula sebesar 20MP. Spesifikasi kamera yang disertakan sama sahaja dengan V5 dengan tiada perubahan pada sensor digunakan.

Saya mengulas versi Ferghana Red dengan kemasan baldu pada panel belakang. Pilihan yang sangat unik kerana saya tidak pernah melihat ia digunakan pada telefon. Memang lembut dengan tekstur berbulu tetapi saya cuma sedikit risau ketahanan jangka panjang panel baldu ini.
Saya katakan ini sebagai seorang bekas pemilik LG G4 yang diperbuat daripada kulit asli. Selepas setahun kulit terkopak sehingga menjadikan peranti nampak sangat tidak menarik. Honor memberikan kerangka tetapi ia juga menggunakan bahan baldu yang sama.

Bateri pula sebesar 6600 mAh yang adalah terbesar pada sebuah peranti lipat melangkaui bateri V5(5820 mAh) dan Find N6 (6000 mAh). Pengecasan juga amat pantas 80W secara berwayar dan 66W secara niwayar.
PERISIAN DAN PENGALAMAN PENGGUNAAN
Peranti yang kami terima menggunakan MagicOS 10 berasaskan Android 16. Ia memberikan pengalaman setanding seperti menggunakan Magic8 Pro beberapa bulan lalu dan ini bermakna semua terasa lancar, pantas, responsif dan memang terasa seperti sebuah peranti mercu. Skema warna antaramuka lebih segar pada MagicOS 10 membuatkannya tidak lagi nampak kurang bermaya.

Dalam mod tablet, terdapat satu palang pintasan pantas aplikasi yang sering digunakan bersama dengan tiga aplikasi terakhir dibuka untuk pertukaran pantas. Palang ini boleh dibuka dengan menatal dari bawah skrin ke atas secara perlahan-lahan. MagicOS 10 akhirnya mempunyai taskbar untuk memudahkan proses multi tugas. Sehingga 3 aplikasi boleh dibuka serentak dengan tetingkap disusun bersebelahan satu sama lain menerusi mod Multi-Flex. Ini sama dengan ciri Boundless View pada Oppo Find N6.

Ciri AI tidak ketinggalan kerana kita kini hidup di zaman pasca membuat kerja sendiri dan bergantung kepada AI sebagai ganti. Honor AI menawarkan ciri Magic Text, Magic Portal, AI Translate, Call Translation, AI Writing, AI Deepfake Detection dan banyak lagi. Malahan ciri melakukan animasi daripada gambar AI Image to Video kembali dengan lebih banyak pilihan seperti aksi Bullet Time, menukar baju dipakai, menari, santai dengan haiwan peliharaan dan banyak lagi.

Ciri ini boleh digunakan sebanyak 3 kali sahaja secara percuma sebelum dikenakan bayaran RM2.72 untuk setiap janaan video sepanjang 5 saat. Agak mahal tetapi hakikatnya pemproses video masih menggunakan model awanan dan bukan terus pada peranti.

Honor mengetengahkan sokongan ekosistem Apple dengan agak agresif pada Magic V6. Antara yang boleh dilakukan ialah mengakses iCloud, menggunakan AirDrop, mengakses fail telefon daripada sebuah MacBook dan memaparkan Magic V6 dalam MacBook. Ciri yang paling membuatkan otak saya meletup ialah menggunakan Magic V6 sebagai skrin sekunder MacBook Pro yang sama miliki. Ciri mirip Sidecar ini hanya disokong pada iPad sahaja sebelum ini.

Kesemua ciri ini menarik bagi mereka yang memiliki peranti iPhone. Saya tidak mahu menulis panjang kerana kesemua ekosistem Apple yang disokong Magic V6 telah disentuh dalam artikel di bawah. Ini dilakukan menerusi aplikasi Honor WorkStation yang perlu dipasang pada telefon dan MacBook.
Sumber – Honor Magic V6 — Jambatan Antara Dua Ekosistem
Honor menjanjikan sokongan kemas kini 7 versi Android dan 7 tahun tampalan sekuriti setanding yang diberikan Google, Oppo dan Samsung pada peranti mercu mereka di Malaysia.
PENANDA ARAS
Magic V6 ialah peranti lipat kedua dengan cip Snapdragon 8 Elite Gen 5 selepas Find N6. Maka di bawah saya senaraikan beberapa lagi peranti skrin lipat dan mercu di pasaran Malaysia bagi memberikan gambaran perbezaan prestasi antara peranti.
- Oppo Find N6 – Snapdragon 8 Elite Gen 5
- Samsung Galaxy Z Fold7 – Snapdragon 8 Elite for Galaxy
- Oppo Find X9 Ultra – Snapdragon 8 Elite Gen 5
- Samsung Galaxy S26 Ultra – Snapdragon 8 Elite Gen 5 for Galaxy
- Xiaomi 17T Pro – Dimensity 9500
- Honor Magic8 Pro – Snapdragon 8 Elite Gen 5
- Vivo X300 Pro – Dimensity 9500
- Apple iPhone 17 Pro – A19 Pro
Antutu 3D
| Peranti | Skor |
| Honor Magic V6 | 3,439,798 |
| Oppo Find N6 | 3,080,123 |
| Samsung Galaxy Z Fold7 | 1,747,012 |
| Oppo Find X9 Ultra | 4,120,640 |
| Samsung Galaxy S26 Ultra | 3,136,285 |
| Xiaomi 17T Pro | 3,530,586 |
| Honor Magic8 Pro | 3,424,247 |
| Vivo X300 Pro | 3,507,869 |
| Apple iPhone 17 Pro | 2,634,345 |

Geekbench 6
| Peranti | Satu Teras | Multi Teras |
| Honor Magic V6 | 3529 | 9938 |
| Oppo Find N6 | 3450 | 9393 |
| Samsung Galaxy Z Fold7 | 2745 | 9060 |
| Oppo Find X9 Ultra | 3505 | 10277 |
| Samsung Galaxy S26 Ultra | 3651 | 10819 |
| Xiaomi 17T Pro | 3158 | 9766 |
| Honor Magic8 Pro | 3587 | 9853 |
| Vivo X300 Pro | 3507 | 10469 |
| Apple iPhone 17 Pro | 3560 | 8835 |

3DMark Wildlife Extreme
| Cip | Skor |
| Honor Magic V6 | 6481 |
| Oppo Find N6 | 6020 |
| Samsung Galaxy Z Fold7 | 5633 |
| Oppo Find X9 Ultra | 7391 |
| Samsung Galaxy S26 Ultra | 7375 |
| Xiaomi 17T Pro | 6939 |
| Honor Magic8 Pro | 7659 |
| Vivo X300 Pro | 7075 |
| Apple iPhone 17 Pro | 5873 |

Jika dilihat daripada skor penanda aras, Magic V6 ialah peranti lipat paling berkuasa di pasaran. Ia dengan mudah mengalahkan Find N6 dan Z Fold7 yang bersaing secara terus dengannya. Pengalaman penggunaan adalah mirip dengan Magic8 Pro yang sama ulas awal tahun ini. Lancar, pantas, tiada isu dan boleh diharapkan dalam pelbagai situasi.
Pelbagai aplikasi boleh dijalankan tanpa sebarang isu kerana cip mercu, saiz 16GB RAM LPDDR5x adalah amat besar serta memori pantas 512GB UFS 4.1. Memasang dan melancarkan aplikasi amatlah pantas lebih-lebih lagi jika anda mempunyai sambungan internet ultra laju.
Pelbagai permua turut mampu dijalankan pada tetapan tertinggi dan mod bateri diubah ke Performance. Secara lalai Balance digunakan dengan ia mengurangkan kuasa sehingga separuh. Dengan Snapdragon 8 Elite Gen 5, tiada permainan di Play Store tidak boleh dijalankan dengan lancar.
KAMERA
Tri kamera utama 50MP sudut lebar dengan OIS, 50MP ultra sudut lebar dan 64MP telefoto dengan OIS. Sementara itu di luar kamera 20MP digunakan sebuah lagi kamera 20MP diletakkan pada skrin boleh lipat. Terdapat pelbagai mod standard seperti potret, malam dan panorama yang boleh diakses oleh pengguna. Sebenarnya ini ialah sistem kamera yang sama dengan Magic V5 tanpa sebarang pertukaran sensor. Yang diubah hanya perisian kamera.

Pada Magic V5 saya merungut gambar yang diambil kekuningan dan walaupun sensor agak besar ia kelihatan kurang tajam. Pada Magic V6 perisian baharu melenyapkan semua isu ini. Penambahbaikan kamera yang saya lihat pada Magic8 Pro tahun lalu dibawa ke Magic V6.
Gambar nampak lebih tajam, terang dengan penghasilan semula warna yang tepat. Tiada isu gambar nampak agak suram dan gelap walaupun dalam situasi pencahayaan yang baik. Dalam situasi pencahayaan sedikit kelam pula, gambar menjadi sedikit kelam juga. Algoritma Honor masih belum sebaik Oppo, Vivo, Huawei, Samsung dan Xiaomi yang boleh menghasilkan gambar lebih terang dalam kegelapan.





Cuma mod potret mempunyai pepijat sukar membezakan objek utama dengan objek latar. Lihat dua gambar di bawah. Saya memberikan fokus kepada dua individu di sebelah kiri tetapi kamera tidak mengaburkan tiga individu di sebelah kanan. Kesan kabur latar belakang pada sudu juga nampak palsu.


Ini pula hasil tangkapan kamera dalam mod zum 1x, 6X, 10x, 30x dan 100X. Hasil tangkapan adalah agak baik baik sehingga 10X kerana terdapat sistem OIS. Pada tetapan 30X gambar mula nampak kurang tajam dan warna nampak pudar. Kekurangan pada saiz sensor dapat dilihat. Untuk tangkapan zum terbaik anda masih memerlukan telefon dengan set kamera tambahan seperti yang ditawarkan Oppo Find X9 Ultra, Vivo X300 Ultra dan Magic8 Pro.





BATERI
Bateri 6600 mAh yang digunakan adalah yang terbesar digunakan pada sebuah telefon lipat. Ia lebih besar berbanding Find N6 (6000 mAh), Magic V5 (5820 mAh) dan Z Fold7 (4400 mAh). Magic V6 boleh bertahan sepanjang hari secara konsisten. SOT sehingga 11-12 jam adalah normal dalam penggunaan sederhana.

Saya berikan Magic V6 kepada anak dengan arahan gunakan skrin besar untuk bermain Roblox. Selepas 7 jam baru anak saya katakan bateri hampir habis. Lazimnya peranti skrin lipat hanya mempunyai SOT skrin dalam sekitar 4-5 jam.
Apabila bateri habis, pengecas 80W yang disertakan dengan setiap pembelian boleh mengecas semula bateri gergasi ini dalam masa 60 minit sahaja. Terdapat sokongan pegecasan 60W secara nirwayar. Untuk kapasiti bateri yang digunakan, waktu pengecasan ini amat pantas.
AUDIO
Kelantangan speaker fizikal adalah sekadar memuaskan dengan seperti yang saya nyatakan di beberapa perenggan di atas tidak seimbang. Satu speaker sisi di atas dan satu lagi di bawah. Apabila dipegang, salah satu kekisi audio akan ditutup tangan. Aneh sekali pilihan rekaan speaker Honor. Isu utama saya ialah pada tetapan paling tinggi ia masih tidak cukup lantang.

PESAING
| Honor Magic V6 | Oppo Find N6 | Samsung Galaxy Z Fold7 |
| Skrin Luar 6.52″ LTPO2 AMOLED, 120Hz, Dolby Vision, 6000 nit Skrin Dalam 7.95″ LTPO2 AMOLED, 120Hz, Dolby Vision, 5000 nit | Skrin Luar 6.62″ LTPO AMOLED, 120Hz, Dolby Vision, 3600 nit Skrin Dalam 8.12″ LTPO AMOLED, 120Hz, Dolby Vision, 2500 nit | Skrin Luar 6.5″ LDynamic LTPO AMOLED 2X, 120Hz, HDR10+, 2600 nit Skrin Dalam 8.0″ Dynamic LTPO AMOLED 2X, 120Hz, HDR10+, 2600 nit |
| Snapdragon 8 Elite Gen 5 (3nm) 2x Oryon V3 Phoenix L 4.74 GHz 6 xOryon V3 Phoenix M 3.62 GHz | Snapdragon 8 Elite Gen 5 (3nm) 2x Oryon V3 Phoenix L 4.6 GHz 6x Oryon V3 Phoenix M 3.62 GHz | Snapdragon 8 Elite for Galaxy (3nm) 2X 4.47 GHz Oryon V2 Phoenix L 6X 3.53 GHz Oryon V2 Phoenix M |
| Adreno 840 | Adreno 840 | Adreno 830 |
| 16 GB LPDRR5X | 16 GB LPDDR5X | 12/16 GB LPDRR5X |
| 512/1000 GB UFS 4.1 | 512 GB UFS 4.1 | 256/512/1000 GB UFS 4.0 |
| Kamera Utama 50MP f/1.6, OIS (Sudut Lebar) 50MP f/2.2 (Ultra Lebar) 64MP f/2.5, OIS (Telefoto 3X) | Kamera Utama 200MP, f/1.8, OIS (Sudut Lebar) 50MP, f/2.0 (Ultra Sudut Lebar) 50MP, f/2.7, OIS (Telefoto 3x) Kamera Hasselblad | Kamera Utama 200MP f/1.7 OIS (Sudut Lebar) 12MP f/2.2 (Ultra Lebar) 10MP, f/2.4, OIS (Telefoto 3x) |
| Kamera Swafoto Depan 20 MP f/2.2 Kamera Swafoto Dalam 20 MP f/2.2 | Kamera Swafoto Depan 20 MP f/2.4 Kamera Swafoto Dalam 20 MP f/2.4 | Kamera Swafoto Depan 10 MP f/2.2 Kamera Swafoto Dalam 10 MP f/2.2 |
| IP69 | IP59 | IP48 |
| Tiada bicu audio | Tiada bicu audio | Tiada bicu audio |
| Audio Stereo | Audio Stereo | Audio Stereo |
| 6600 mAh SiC Berwayar 80W Nirwayar 66W Nirwayar Berbalik 10W | 6000 mAh SiC Berwayar 80W Nirwayar 50W Nirwayar Berbalik 10W | 4400 mAh Pengecasan berwayar 25W Pengecasan nirwayar 15W Pengecasan berbalik 4.5W |
| MagicOS 10, Android 16 Kemaskini 7+7 Tahun | ColorOS 16, Android 16, Kemaskini 5+6 Tahun | One UI 8.5, Android 16 Kemaskini 7+7 Tahun |
| Dilancarkan Jun 2026 | Dilancarkan Mac 2026 | Dilancarkan Julai 2025 |
| RM 7,699 (16/512GB) RM 8,899 (16/1000GB) | RM 8,699 (12/512GB) | RM 7,799 (12/256 GB) RM 8,399 (12/512 GB) RM 9,899 (16/1000 GB) |
DALAM KOTAK
Berikut ialah apa yang disertakan dalam kotak.
- 1x Honor Magic V6
- 1x Kerangka plastik bertongkat
- 1x Pengecas 80W USB-A
- 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C
- 1x Manual
- 1x Pin SIM
KESIMPULAN
Honor Magic V6 ialah peranti lipat paling lengkap di pasaran Malaysia setakat ini kerana cip berkuasa, pengalaman penggunaan lancar, kamera memuaskan, bateri gergasi tahan lama, bateri pantas dicas dan bonus sokongan ekosistem Apple terbaik pada sebuah peranti Android. Ia menyelesaikan majoriti isu yang saya ngomelkan dalam ulasan Magic V5.

Kekurangan ialah ia nipis sehingga proses membuka skrin menjadi sedikit leceh. Ini isu yang dihadapi saya dengan Find N6 dan juga Z Fold7. Speaker juga tidak cukup lantang seperti tersekat di tetapan 70% berbanding telefon lain di pasaran. Ini semua adalah kekurangan kecil.
Saya rasakan halangan terbesar bagi Magic V6 ialah harga jualan bermula RM 7,699 (16/512GB) yang jauh lebih tinggi berbanding RM 6,999 (16/512 GB) tahun lalu. Kerana krisis RAM semua peranti menjadi terlalu mahal. Jika anda mahukan peranti lipat dengan kompromi paling kecil, Magic V6 adalah untuk anda.
Pro
- Skrin lipat paling nipis. Selesa dipegang dan lebih ringan.
- Spesifikasi tinggi Snapdragon 8 Elite Gen 5, memori 16GB RAM dan storan UFS 4.1 pantas.
- Prestasi kamera yang memuaskan.
- Bateri besar6600 mAh tahan lama dengan pengecasan pantas 80W.
- Kalis air serta debu IP69.
- Sokongan 7 versi Android dan 7 tahun tampalan sekuriti.
- Sokongan ekosistem Apple.
Kontra
- Sedikit sukar dibuka kerana sisi terlalu nipis.
- Audio speaker tidak cukup lantang.
- Masih tiada Flex Mode.
