Carian
Jepun Hasilkan Teknologi 6G Pertama Dunia Dengan Kelajuan 10 Kali Ganda 5G
May 6, 2024 Effi Saharudin

Malaysia baru sahaja menikmati rangkaian 5G komersial beberapa tahun yang lalu selepas tertangguh disebabkan oleh pandemik. Di Jepun mereka telah menikmati 5G sejak 2020 dan mereka kini telah memulakan langkah awal untuk memperkenalkan pula rangkaian 6G dan berjaya menghasilkan dan menguji teknologi 6G.

Dalam ujian yang dilakukan, kelajuan internet 100 Gbps berjaya dipancarkan dalam jarak 100 meter. Ini adalah sekitar 10 kali ganda lebih pantas berbanding kelajuan puncak 5G pada hari ini. Teknologi ini dihasilkan secara kerjasama oleh syarikat telekomunikasi DOCOMO, NTT Corporation, NEC Corporation, dan Fujitsu yang membentuk konsortium bagi membangunkan rangkaian 6G di Jepun.

Jepun menyasarkan untuk melancarkan rangkaian 6G menjelang 2030. Untuk makluman, Jepun menjadi negara keempat selepas China, Finland dan Korea Selatan yang sudah memulakan kajian untuk rangkaian selular generasi ke-enam.

Komen