Carian
Apple Dilaporkan Menggunakan Kerangka iPhone 6S Yang Lebih Kukuh Dan Tidak Mudah Bengkok
August 12, 2015 Ikhwan Nazri

Tinggal kurang dari satu bulan sebelum pengumuman iPhone terbaru yakni iPhone 6S dan makin banyak perkara mengenainya timbul dan tertiris. Pada hari ini Unbox Therapy telah menerbitkan video berkenaan apa yang dikatakan sebagai badan telefon iPhone 6S yang mempunyai ciri-ciri berbeza dan lebih kukuh berbanding iPhone 6 / 6 Plus yang mudah terbengkok.

Bagi anda yang telah melupakan kontroversi iPhone bengkok atau pada istilahnya ‘Bendgate’, iPhone 6 / 6 Plus dikatakan mudah dibengkokkan malah terdapat kes pengguna meletakkan telefon tersebut di poket seluar bahagian belakang dan bengkok hanya kerana dari tekanan tersebut. Bahagian bengkok tersebut berlaku di sekitar butang kawalan suara dimana tekanan yang dikenakan tidak tertahan, sekaligus membengkokkan telefon tersebut. Mungkin solusi untuk permasalahan ini adalah dengan menggunakan bekas atau cesi perlindungan namun ia tidak seharusnya terjadi dengan mudah.

Menerusi video yang diterbitkan Unbox Therapy, badan telefon iPhone 6S bakal membawakan ciri-ciri yang berbeza, terutama dari segi saiz bagi menambah ketahanan iPhone 6S. Ukuran iPhone 6S mempunyai kepanjangan 138.2 mm dan ketebalan 67.16mm berbanding iPhone 6 dengan kepanjangan 138.09mm dan ketebalan 66.91mm. Ketebalan dinding dalamannya juga ditambah dari 1.14mm pada iPhone 6 menjadi 1.90mm pada iPhone 6S. Meskipun saiznya bertambah, berat badan iPhone 6S ini adalah lebih ringan dari iPhone 6 dengan perbezaan 2 gram.

Antara spesifikasi lain yang akan dibawakan oleh iPhone 6S termasuklah kelajuan LTE yang lebih pantas, penggunaan bateri yang lebih efisien dan bakal menyokong rakaman video 4K. Sama-sama kita nantikan pengumumannya yang dijangka akan berlaku 9 September ini.

Komen