Hanya beberapa minggu lalu kami laporkan Capcom meminta pendapat peminat Resident Evil 2 sama ada mereka berminat untuk melihat permainan ini dihasilkan semula. Selepas menerima ribuan maklum balas dari peminat di laman Facebook rasmi, mereka hari ini mengesahkan Resident Evil 2 Remake akan dihasilkan dalam masa terdekat. Buat masa ini mereka akan menumpukan seluruh tenaga untuk menghasilkan Resident Evil Zero HD Remastered yang akan dijual pada awal 2016. Hanya selepas RE Zero selesai mereka akan mengalih perhatian kepada RE 2. Tiada tarikh pelancaran ataupun platform manakah yang akan disokong. Tetapi bolehlah diandaikan ia akan sama seperti Resident Evil HD Remaster dan Resident Evil 0 HD Remaster sebelum ini ia akan hadir pada PlayStation 3, PlayStation 4, Xbox One, Xbox 360 dan PC.
Semakin banyak permainan klasik dihasilkan semula tahun ini. Ketika E3 yang lalu Final Fantasy VII disahkan akan dihasilkan semula dalam versi HD. Penghasilan semula ini mungkin baik untuk mereka yang bernostalgia tetapi adakah ini hanya akan menggalakkan pembangun untuk menghasilkan semula permainan lama dan bukannya permainan baru? Masalah reboot dan remake ini sudahpun merosakkan industri perfileman di Hollywood. Mungkin giliran industri permainan pula dilanda penyakit yang sama.
Sungguhpun begitu kami pernah menulis artikel 5 permainan video yang perlu dihasilkan semula sebelum ini. Setakat ini hanya FF7 menjadi realiti dan kami menunggu dengan tabah supaya Streets of Rage 2 dan Commandos Behind Enemy Line pula dihasilkan semula.