Cari @ Amanz

Xiaomi Redmi Note 2 adalah phablet yang paling mampu milik di pasaran dengan harga sekitar RM600. Pesaing lain menjual phablet mereka pada harga melebihi tiga kali ganda. Kerana harganya yang amat mampu milik sebanyak 800 000 Redmi Note 2 berjaya dijual di China dalam masa 12 jam. Kini muncul berita pemilik peranti di China mendakwa Xiaomi tidak menggunakan komponen seperti yang diiklankan. Dua komponen yang dimaksudkan ialah skrin Sharp/UOA dan sensor kamera 13 Megapixel Isocell buatan Samsung

Redmi Note 2

Menurut laporan media China, pemilik menyedari dua komponen di atas tidak digunakan pada Redmi Note 2. Sebaliknya komponen berbeza dan lebih murah pula digunakan. Mereka juga merungut Xiaomi berbohong mengenai skim insurans yang akan menukar komponen yang rosak secara percuma. Sebaliknya apabila peranti dibeli mereka hanya akan menerima servis percuma tetapi masih perlu membayar harga komponen yang digantikan.

Pihak Xioami mengeluarkan kenyataan mereka tidak pernah berjanji akan menggunakan skrin Sharp/UOA pada Redmi Note 2. Iklan yang mendakwa komponen ini digunakan menurut Xiaomi dihasilkan oleh pesaing ataupun individu yang iri hati dengan jenama mereka. Tentang sensor kamera pula mereka berkata kesemua Redmi Note 2 akan menggunakan sensor Samsung dan tiada yang dijual dengan komponen berlainan. Dari laman rasmi Redmi Note 2 kami menyedari memang Xiaomi tidak pernah mendakwa peranti ini menggunakan skrin buatan Sharp. Tetapi logo Sharp ada dipaparkan ketika pengumuman Mi4i April lalu seperti imej di bawah. Kami berharap dakwaan pengguna di China ini tidak benar kerana ia pasti menggugat kepercayaan pengguna untuk membeli peranti Xiaomi di masa hadapan.

Xiaomi Mi4i components Samsung Sharp Sony

 

 

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd