Google X merupakan salah satu bahagian khusus dibawah Google (atau Alphabet) yang membangunkan pelbagai projek yang sukar dicapai atau futuristik. Terkini, bahagian berkenaan menerima nafas baru melalui pengenalan logo baru – dan turut diumumkan adalah dimana bahagian robotik Google kini beroperasi dibawah Google X.
Bahagian robotik telah dimulakan oleh Andy Rubin sebelum ini (pengasas Android), tetapi beliau telah meninggalkan Google sejak 2014 yang lepas. Sejak daripadanya, tiada fokus yang menyeluruh diberikan kepada bahagian robotik Google ini.
Kini, dengan era robotik menjadi fokus kembali, dilihat Google ingin memberikan perhatian mereka kepada arena robotik – apatah lagi dengan Alphabet yang sedia melabur dalam arena pemanduan automatik, pembelajaran mesin, kepintaran buatan, dron dan sebagainya.
Kebiasaannya, sesuatu projek dibangunkan dibawah X, sebelum ia mencapai tempoh matang dan mula beroperasi sendiri. Mungkin kita akan melihat projek dan perkembangan robotik Google tidak lama lagi.