Cari @ Amanz

Playstation VR014

PlayStation VR akan mula dijual di Malaysia pada 13 Oktober hadapan. Pra tempahan boleh dilakukan minggu ini dan peranti realiti maya ini dijual pada harga bermula RM1849. Sempena pelancaran peranti realiti maya pertama mereka, Sony meletakkan beberapa reruai demo PS VR yang boleh dicuba oleh pengguna di sekitar Lembah Klang. Kami berjaya menghabiskan selama sejam mencuba beberapa demo yang disertakan dan berikut ialah pandangan kami mengenainya.

Rekaan

Keseluruhan PS VR diperbuat daripada plastik berwarna putih dan komponen getah berwarna hitam. Secara iklas kami rasakan pemilihan warna ini adalah kurang menarik kerana kami mempunyai konsol PS3 berwarna yang sama sebelum ini. Selepas dua tahun ia kini kelihatan kekuningan kerana terdedah kepada udara. Apabila menggunakan PS VR kami berpeluh pada bahagian mata. Kami yakin warna putih ini juga akan berubah selepas digunakan selama beberapa tahun. Alangkah baiknya jika PS VR wujud dalam warna hitam seperti Vive. Warna putih ini mungkin dipilih bagi memudahkan PlayStation Eye menjejak pergerakan lampu-lampu motion tracking berwarna biru yang terletak pada bahagian hadapan dan belakang PS VR.

 

Terdapat dua sistem pelarasan disertakan bagi memastikan keselesaan ketika sesi permainan. Laras pertama pada bahagian belakang yang mencengkam bahagian atas kepada. Terdapat sebuah butang yang perlu ditekan bagi membolehkan saiz cengkaman dilaraskan. Sebuah lagi butang melaras kedudukan bahagian skrin PS VR dengan bahagian mata. Ini juga bergerak ke hadapan dan ke belakang. Tidak seperti Gear VR, tidak terdapat sistem pelarasan pemfokusan pada PS VR. Kami sudah biasa menggunakan Gear VR bagi memfokuskan imej. Ketiadaan sistem ini membuatkan kami mengambil masa beberapa minit untuk mendapatkan imej yang tajam pada paparan PS VR.

Bercakap tentang skrin paparan, kami sedikit kurang selesa dengan sistem penutup getah yang digunakan bagi menghalang cahaya menerjah masuk ke kawasan paparan PS VR. Getah yang digunakan agak nipis dan tidak berjaya mengalang cahaya sepenuhnya. Harus diingatkan ini adalah masalah yang hanya akan dialami mereka yang memakai kaca mata. Sekiranya anda tidak bermata empat sistem penghalang cahaya diperbuat daripada getah ini berfungsi dengan baik. Kami rasakan sistem kusyen yang wujud pada Gear VR dan Vive adalah sistem lebih efektif menghalang cahaya dari memasuki ruang paparan.

Penggunaan

Playstation VR008Selepas ia dipasang dan dilaraskan dengan betul kami akan terikat kemas pada kepala. Kami tidak mengalami sebarang masalah untuk menggerakkan kepada dengan pantas. Ia terletak kemas di atas kepala dan tidak bergegar.

Selepas menghabiskan masa selama sejam (melalui dua sesi berbeza) kami tidak mengalami sebarang kesakitan pada leher. Malahan ketika memakainya PS VR langsung tidak terasa berat. Sungguhpun begitu terdapat satu masalah yang tidak dapat dielakkan ialah masalah peluh. Kawasan kulit yang bersentuhan dengan penghalang cahaya getah akan berpeluh dan berminyak. Mungkin pemilik PS VR perlu membeli topeng VR yang sudah terjual di pasaran bagi mengelakkan peluh mengotori peranti realiti maya ini.

Kabel yang disertakan untuk menyambungkan bahagian helmet ke PlayStation 4 adalah cukup panjang. Kami tidak merasakan kabel yang digunakan menghalang pergerakan kepala. Sebuah fon kepala yang dipasang di berasingan di atas PS VR juga terasa selesa.

Grafik

Hanya demo untuk PlayStation VR World, Playroom VR, Ocean Descent dan Gunjack dapat dimainkan oleh kami. Secara keluhuran kualiti grafik yang dipaparkan adalah agak rendah. Majoriti permainan menggunakan grafik cell shaded seperti demo Battle Zone dan Playroom VR. Dua permainan ini berjalan dengan lancar dan berjaya menjejak pergerakan kepala kami dengan tepat. Tiada sela masa dapat kami sedari.

Battle Zone ialah permainan kereta kebal yang amat popular dekad 80an. Kami masih ingat bermain permainan ini pada komputer Commodore 64 pada tahun 1987. Grafik dipertingkatkan untuk versi PS VR dan senjata kereta kebal dikawal menggunakan Dual Shock 4. Pergerakan kepala hanya hanya mengawal pemandangan di dalam Battle Zone. Sekiranya anda seorang gamer old school seperti kami, Battle Zone edisi 2016 ini akan mengembalikan nostalgia zaman kanak-kanak dahulu.

Ocean-Descent-PS-VR

Demo lain yang dicuba ialah Ocean Descent yang meletakkan sebagai seorang penyelam laut dalam yang berada di dalam sebuah sangkar besi. Apabila tiba di dasar laut sangkar ini diserang seekor ikan yu gergasi. Sekali lagi kualiti grafik adalah hanya memuaskan. Kualiti tekstur demo ini juga tidak terlalu terperinci tetapi apabila kami diserang ikan yu ia masih mendebarkan.

Gunjack-PlayStation-VR

Demo kegemaran yang dicuba ialah Gunjack. Di dalam demo ini kami mengawal sebuah pesawat angkasa dan harus mempertahankan markas dari serangan makhluk asing. Gunjack terasa seperti Galaga versi realiti maya. Sistem bidikan meriam laser dan mesingan dikawal dengan pergerakan kepala. Kerana sistem head tracking yang tepat, kami merasakan Gunjack mungkin akan menjadi permainan yang popular di PlayStation VR. Ini memberikan kami harapan bahawa di masa hadapan permainan FPS PS VR akan menggunakan sistem yang sama. Sistem membidik musuh menggunakan pergerakan kepala terasa lebih selesa dan mudah berbanding kayu analog yang digunakan di dalam Battle Zone.

Kesimpulan

Demo yang dicuba memberikan beberapa petunjuk mengenai kemampuan grafik PlayStation VR. Buat masa ini kualiti grafik yang dipaparkan adalah rendah dari apa yang dilihat pada HTC Vive dan Oculus Rift. PlayStation 4 ialah konsol yang kurang berkuasa dan harapan kami kualiti grafik akan dipertingkatkan apabila PlayStation 4 Neo mula dijual. Kami juga berharap sistem penghalang cahaya yang diperbuat daripada getah ini akan dapat diperbaiki kerana ia tidak berfungsi dengan baik bagi pemain yang berkaca mata.

Playstation VR011

Adakah kami akan membeli PlayStation VR apabila ia dijual kelak? Buat masa ini masih belum ada killer app yang membuatkan kami terasa mahu membelinya (seperti MGSV yang berjaya memaksa kami membeli PS4). Kami mungkin mengambil langkah tunggu dan lihat sebelum membelinya. Ini adalah kerana sejak menggelar diri kami sebagai seorang gamer lebih 30 tahun yang lalu, kami sudah melihat dua kegagalan sistem VR. Oleh itu kami masih belum bersedia untuk melabur ribuan ringgit pada peranti realiti maya selagi tiada bukti kukuh ia berbaloi untuk dimiliki. Bagaimana pula dengan anda?

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd