Cari @ Amanz

Xperia XZ_005Saya ingin memulakan ulasan ini dengan sebuah pengakuan. Saya peminat peranti Sony sejak mengulas Xperia Z beberapa tahun yang lalu. Kemuncak kehebatan rekaan Sony pada hemat saya ialah Xperia Z3 yang menerima antara markah ulasan paling tinggi di dalam sejarah Amanz. Kombinasi tubuh ergonomik, antaramuka hampir stock, kemampuan kamera yang baik, ketahanan bateri yang menakjubkan serta kemampuan kalis air menjadikannya peranti paling saya gemari untuk tahun 2014.

Dua tahun telah berlalu dan peranti yang dikeluarkan oleh Sony sejak Z3 adalah mengecewakan. Xperia Z5 misalnya terlalu mudah panas dengan kemampuan kamera yang tidak setanding harga jualan. Dengan Xperia XZ, Sony kembali ke meja rekaan untuk mengembalikan zaman kegemilangan mereka.

Spesifikasi

Sony Xperia XZ
Skrin 5.2″ IPS LCD 1080P (424 ppi)
Pemproses Snapdragon 820
Cip Grafik Adreno 530
RAM 3 Gigabyte LPDDR3
Muatan Dalaman 32/64 Gigabyte (MikroSD sehingga 256 GB)
Kamera Utama 23 Megapixel f/2.0, OIS,PDAF Laser, RGB-IR
Kamera Depan 13 Megapixel f/2.0, Flash
Kalis Air IP 68
Bateri 2900 mAh (Pengecasan Pantas)
SIM/Telefoni Dwi SIM Nano
Jalur LTE 1/2/3/4//5/7/8/12/13/17/19/20/

26/28/29/32/38/39/40/41

NFC Ya
Infra Merah Tiada

Sony Xperia XZ ialah peranti yang memperbaiki beberapa kelemahan Xperia X Performance. Dari segi rekaan ia masih mengekalkan skrin 5.2″ IPS LCD dengan resolusi 1080P. Setelah bereksperimen dengan 4K pada Z5 Premium, Sony menyedari skrin UHD bukanlah keperluan pengguna. Malahan bagi majoriti 1080P adalah lebih dari memadai. Dari apa yang kami lihat skrin yang digunakan adalah terang, tajam dengan penghasilan warna yang cukup hidup.

Pemproses Snapdragon 820 dipadankan dengan RAM 3 Gigabyte dan storan 32/64 Gigabyte. Kad MikroSD sehingga 256 Gigabyte. Tiada perubahan dilakukan di sini.

Kamera utama juga masih 23-Megapixel f/2.0 tetapi kali ini mempunyai sokongan OIS dan pemfokusan laser. Menurut Sony penggunaan sistem laser, PDAF dan RGB-IR (infra merah) akan memastikan pemfokusan lebih pantas. Pada waktu yang sama white balance gambar yang diambil juga lebih tepat. Kamera hadapan pula sebesar 13-Megapixel f/2.0. Rakaman video sehingga 4K dapat dilakukan menggunakan kamera utama.

Bateri 2900 mAh disertakan sebagai sumber kuasa. Pada hemat saya ini adalah terlalu kecil bagi sebuah peranti utama. Boleh dikatakan hampir semua peranti utama di pasaran sekarang dilengkapi bateri dengan kapasiti melebihi 3000 mAh. Kami kurang yakin Xperia XZ mampu bertahan sehari suntuk walaupun pada penggunaan sederhana. Sistem pengecasan pantas Qnovo disokong dan menurut Sony akan memastikan bateri boleh dicas dengan lebih banyak sepanjang hayatnya berbanding sistem pengecasan pantas lain di pasaran.

Pembesar suara stereo masih dikekalkan pada bahagian hadapan peranti. Begitu juga dengan kemampuan kalis air IP68. Pengimbas cap jari yang agak besar diletakkan pada butang kuasa dan sokongan NFC disertakan. Seperti pada Xperia X, NFC diletakkan pada bucu atas sebelah kiri peranti dan ini adalah lokasi yang amat aneh.

Tambah aneh lambang NFC yang menunjukkan kedudukannya tidak digunakan. Mengapa rekaan aneh ini digunakan tidak pula diketahui. Pada Xperia X Compact ia diletakkan pada kedudukan biasa di bahagian belakang lengkap dengan logo kecil yang telah digunakan sejak Xperia Z1.

Xperia XZ_006

 

Rekabentuk

Xperia-XZ-TripleSeperti yang telah saya katakan pada awal artikel ini saya peminat tegar Sony. Setiap peranti di bawah keluarga Xperia Z pernah saya guna dan ulas sejak bekerja di Amanz. Setiap iterasi terkini Xperia membawakan rekaan yang unik dari Sony. Rekaan signature look ini membezakan Xperia dari Lumia, Galaxy dan Moto sejak bertahun lamanya.

Dengan Xperia XZ, Sony mengubah rekaan dengan terlalu drastik. Bahagian atas peranti adalah leper. Tubuh logam, kaca dan bucu polikarbonat tidak lagi digunakan. Sebaliknya bingkai logam kini dipadankan dengan panel belakang dari bahan Alakaloid. Sisi bulat kini juga lebih leper.

Peranti masih selesa dipegang tetapi terasa lebih ringan berbanding Xperia X yang kami ulas sebelum ini. Bahagian penutup belakang juga diperbuat dari dua panel berasingan. Ini membuatkan peranti kelihatan kurang tegap.

Butang kuasa, kamera dan suara masih di bahagian kanan. Sebuah pegimbas cap jari terbina di dalam butang kuasa yang mempunyai saiz agak besar. Kedudukan butang suara masih lagi tidak ergonomik. Ia terlalu jauh ke bawah. Jari kelingking perlu digunakan untuk menekan butang suara dan ini adalah amat tidak selesa.

Kedudukan ini dipilih bagi membolehkan ia berfungsi sebagai butang zoom apabila mengambil gambar pada posisi mendatar. Tetapi di dalam kegunaan harian butang suara digunakan dengan lebih kerap untuk mengawal tahap kelantangan audio. Proses mengawal zoom boleh dilakukan dengan tatalan jari. Keputusan Sony mengekalkan lokasi butang suara jauh ke bawah sejak Xperia Z5 ini kurang kami senangi kerana amat bertentangan dengan rekaan OmniBalance yang kami nobatkan paling ergonomik pada peranti beberapa tahun yang lalu.

Talam SIM terletak di sisi kiri peranti. Ia terletak di belakang pintu khas yang menghalang air dari merosakkan komponen dalaman. Dua SIM bersaiz Nano disokong dengan slot SIM kedua merangkap slot untuk kad MikroSD. Pada bahagian atas terdapat sebuah bicu audio 3.5mm dan akhir sekali slot pengecasan USB-C terletak pada bahagian bawah. Xperia XZ ialah peranti pertama Sony yang menggunakan USB-C.

Secara ikhlas kami kurang menggemari hala tuju baru rekaan Xperia XZ. Ia tidak kelihatan seperti sebuah Xperia tetapi lebih menghampiri sebuah Lumia. Ia masih lagi kelihatan menarik tetapi sebagai peminat Sony perubahan yang mendadak ini sukar untuk diterima. Sebagai seorang purist, saya percaya setiap pengeluar perlu mempunyai rekaan tersendiri.

Sony mempunyai tradisi rekaan industri yang cukup terkenal. Rekaan sistem audio Sony menjadi inspirasi awal kepada Steve Jobs ketika beliau bersama NeXT. Sekiranya rekaan anda dianggap ikonik oleh mendiang, Sony pasti sudah melakukan sesuatu yang cukup bagus. Saya tahu ada ramai penulis yang mengatakan rekaan ini cantik tetapi dari pandangan peribadi ianya tidak mempunyai DNA Sony.

Antaramuka

Antaramuka XZ tidak diberikan nafas baru seperti rekaan fizikal tubuhnya. Android Marshmallow digunakan tanpa sebarang kustomasi berlebihan. Penambahan hanya dilakukan pada beberapa aplikasi Google digantikan dengan aplikasi Sony seperti Album, Music dan Camera. Tidak banyak penambahan fungsi disertakan.

Sungguhpun begitu kami menyedari sedikit sela masa ketika menatal. Pertukaran aplikasi juga kurang lancar. Peranti juga terasa agak panas ketika digunakan. Ini besar kemungkinan kerana skrin terpasang sepanjang masa di reruai Sony dan telah digunakan ribuan pengunjung. Tahap kelancaran sebenar hanya boleh diadili sekiranya kami berpeluang mengulas Xperia XZ di waktu yang lain.

Lifelog – Aplikasi menjejak kecergasan tubuh. Ia mengira langkah yang diambil pengguna dan mengira kalori yang dibakar. Ia turut boleh menjejak tabiat penggunaan peranti lengkap dengan jumlah masa yang dihabiskan.

Quick Search – Melancarkan carian aplikasi pantas dari skrin utama. Tatal skrin dari atas ke bawah anda paparan carian ini akan muncul. Turut dipaparkan ialah aplikasi yang kerap digunakan oleh pengguna.

Smart Backlight Control – Skrin akan sentiasa terpasang selagi peranti mengesan pengguna sedang melihat skrin. Sama seperti mod Always On pada peranti Samsung.

Theme  – Mengubah tema antaramuka. Terdapat puluhan tema dari filem keluaran Sony boleh dimuat turun. Sungguhpun begitu kebanyakan tema yang disediakan harus dibeli.

Xperia-XZ-UI-1 Xperia-XZ-UI-2

 

Kesimpulan

Tiada perubahan besar dari segi spesifikasi di antara Xperia XZ dan Xperia X Performance. Perubahan hanya berlaku dari segi luaran dan kemampuan kamera yang dipertingkatkan. Rekaan yang agak berkotak ini adalah berlainan dari apa yang biasa dilihat pada peranti Sony. Malahan ia lebih menghampiri sebuah Lumia. Bergantung kepada pengguna untuk merasakan sama ada ini langkah yang baik oleh Sony. Saya secara peribadi sedikit kecewa dengan hala tuju baru ini. Tetapi apa yang tidak boleh disangkal ialah peranti Xperia menggunakan antaramuka yang hampir stock. Tiada masalah aplikasi gendut dan secara keseluruhan sedap mata memandang.

Xperia XZ_003

Kemampuan kamera baru dengan sensor RGB-IR serta pemfokusan laser tidak dapat kami uji sepenuhnya di dalam reruai Sony. Dari beberapa keping gambar yang berjaya kami ambil tiada perbezaan kualiti dapat dilihat jika dibandingkan dengan yang diambil menggunakan sebuah Note 7. Ini petanda baik kerana kamera pada Note 7 dan S7 adalah yang terbaik di pasaran sekarang.

Tiada harga ataupun tarikh pelancaran diumumkan oleh Sony. Namun harga jualan dijangka sekitar € 550 (~RM 2504) dan mungkin akan mula dijual sekitar Oktober. Nantikan ulasan peranti ini di Amanz di masa hadapan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd