Awal minggu ini Microsoft mengesahkan Windows 10 Mobile bukan lagi fokus utama bagi pihak Microsoft. Ini memadamkan impian peminat tegar platform yang kali terakhir menerima peranti utama dari Microsoft pada tahun 2015. Kegagalan sistem operasi ini pastinya mengecewakan mereka yang tidak meminati Android dan iOS. Tetapi apakah agaknya faktor yang menyebabkannya jatuh tersungkur? Berikut ialah pada hemat kami lima faktor dengan impak paling besar.
Kekurangan Sokongan Aplikasi
Sejak dari tahun pertama pelancaran Windows Phone 7, jumlah aplikasi yang ditawarkan adalah sedikit berbanding untuk Android dan iOS. Dua iterasi sistem operasi selepas itu masalah yang sama berterusan. Aplikasi popular seperti Instagram hanya muncul secara rasmi pada tahun 2013, setahun selepas ia tiba di Android dan tiga tahun selepas iOS. Sementara itu satu demi satu aplikasi rasmi tidak lagi disokong seperti Waze. Peranti pintar di pasaran memerlukan aplikasi rasmi yang menjaminkan sokongan kesemua fungsi terkini. Apabila tiada sokongan aplikasi, pengguna akan mula mencari alternatif. Mengapa perlu kekal menggunakan peranti WP sedangkan peranti Android kelas permulaan mempunyai senarai aplikasi yang lebih banyak.
Terlalu Lambat Ke Pasaran Yang Didominasi iOS Dan Android
Windows Phone 7 dilancarkan pada tahun 2010, Ini ialah dua tahun selepas Android dan tiga tahun selepas iOS dilancarkan. Kelewatan Microsoft untuk menghasilkan sistem operasi untuk telefon ialah antara kagagalan terbesar di dalam sejarah mereka. Walaupun mereka adalah syarikat perisian yang ternama dengan poket yang tebal, mereka masih gagal untuk mengatasi Google dan Apple di dalam arena ini. Walaupun pada awalnya mereka mempunyai momentum untuk berjaya, ketiadaan aplikasi menrencatkan pertumbuhan Windows Phone.
Peningkatan penggunaan Android adalah terlalu pantas dengan bantuan peranti yang dijual pada harga juah lebih mampu milik berbanding apa yang ditawarkan untuk Windows Phone. Apabila tiada lagi momentum, Windows Phone menjadi hidup segan mati tak mahu.
Perisian Yang Bermasalah
Perisian WP terkenal dengan beberapa masalah pada awalnya. Yang kami alami sendiri ialah penggunaan data yang amat tinggi kerana integrasi buku alamat dengan media sosial. Setiap kali buku alamat dibuka peranti akan melakukan segar semula bagi meletakkan status Facebook terkini yang dimuat naik individu di dalam senarai. Pada tahun 2010 pelan data masih lagi mahal berbanding sekarang dan akibatnya kami terpaksa membayar beberapa ratus ringgit kerana terlebih menggunakan kuota data.
Peranti Lumia 950XL dengan Windows 10 Mobile pula mempunyai masalah gagal berfungsi, mati secara tiba-tiba dan skrin yang tidak responsif. Bagi sebuah peranti utama yang dijual pada harga hampir RM3000. Harus diingat pada tahun 2015, ini ialah harga yang amat mahal bagi peranti utama. Galaxy Note 5 dijual pada harga RM2699 ketika dilancarkan pada tahun yang sama.
Masalah aplikasi yang perlahan dan sistem multitasking yang memerlukan segar semula selepas diaktifkan semula wujud pada setiap generasi WP. Pengoptimasian aplikasi seperti tidak dilakukan. Kerana masalah perisian ini, kami menjadi tawar hati untuk menggunakan WP.
Rekaan Peranti Dan Antaramuka Yang Membosankan
Cuba bandingkan antaramuka Windows Phone 7 dengan Windows 10 Mobile. Apakah perubahan yang berlaku selepas tiga generasi ia dilancarkan? Perubahan paling ketara hanyalah saiz jubin aplikasi yang lebih besar dan boleh diletakkan dengan lebih banyak pada muka hadapan. Dalam tempoh yang sama antaramuka Android berubah untuk kelihatan semakin minimalis (Marshmallow) dan dengan pelbagai fungsi baru.
Rekaan peranti yang agak membosankan juga menyebabkan ia gagal menarik minat pengguna. Kita gunakan Lumia 950Xl sebagai contoh sekali lagi. Ia masih menggunakan panel polikarbonat yang terasa “murah” apabila dipegang. Peranti pesaing seperti iPhone dan Galaxy S kesemuanya diperbuat daripada bahan kaca dan logam. Di tahun 2015, peranti utama dengan bahan yang tidak premium tidak lagi dapat dimaafkan. Secara peribadi peranti WP terakhir yang kelihatan menarik ialah Lumia 1020 yang harus diakui masih lagi kelihatan seksi sekarang empat tahun selepas dilancarkan.
Kekurangan Sokongan Pengeluar
Ketika dilancarkan pada tahun 2010, peranti WP7 dikeluarkan oleh Samsung, HTC, Nokia, Dell dan LG. Tetapi apabila Windows 10 Mobile dilancarkan, peranti dari pengeluar terkemuka tidak lagi kelihatan. Platform Windows Phone tidak lagi dipandang sebagai menguntungkan dengan jumlah jualan peranti yang amat rendah.
Sejak setahun kebelakangan ini peranti WP hanya dihasilkan oleh pengeluar PC seperti HP dan Acer. Kedua-dua syarikat ini bukanlah nama besar dalam arena pembuatan telefon pintar. Apabila Microsoft tidak lagi menggunakan nama Nokia pada peranti mereka, brand recognition di kalangan majoriti pengguna semakin berkurangan. Realitinya di sini ialah NAMA amat memainkan peranan dalam penjualan peranti di dalam pasaran semasa. Apabila nama besar tidak lagi mempunyai kepercayaan terhadap WP, kepercayaan dari pengguna juga sedikit sebanyak akan terjejas.
Kegagalan Windows Phone sebenarnya sedikit mengejutkan kerana Microsoft ialah nama yang cukup besar dalam dunia sistem operasi. Ini membuktikan sekiranya anda pakar di dalam bidang anda, ia bukan penjamin kejayaan akan berterusan apabila mencuba bidang baru.
Kami masih ingin berterima kasih kepada mereka memperkenalkan semula pengecasan tanpa wayar pada telefon pintar (Lumia 920), imbasan wajah (Lumia 950XL) dan kemampuan berubah menjadi desktop (Continuum). Kami tahu terdapat ramai kipas susah mati Windows Phone di Amanz oleh tu beritahu kami apakah agaknya penyebab kegagalan sistem operasi ini?