OnePlus 5T Akan Dilengkapi Bicu Audio 3.5mm

OnePlus 5T Akan Dilengkapi Bicu Audio 3.5mm

Diterbitkan pada November 3, 2017 oleh .

Peranti tanpa bicu audio pertama kali muncul di pasaran pada tahun 2014 dengan Oppo R5. Tubuh yang terlalu nipis memaksa Oppo untuk tidak menyertakannya. Tahun lalu ia tidak diletakkan pada iPhone 7, HTC 10 dan beberapa peranti LeEco. Ramai pengguna masih merasakan bicu audio 3,5mm adalah penting. Bagi peminat peranti OnePlus. mereka boleh menghela nafas lega dengan berita pagi ini.

Pete Lau, CEO OnePlus telah mengesahkan model kemaskini OnePlus 5T akan mengekalkan penggunaan bicu audio 3.5mm. Beliau mengeluarkan kenyataan ini di dalam forum rasmi OnePlus. Pungutan suara yang dilakukan mendapati 80% pengguna OnePlus menggunakan bicu audio dengan kerap. Sebanyak 70% pula mengatakan kualiti audio adalah penting. Buat masa ini pengguna merasakan audio dari aksesori audio berwayar masih lebih baik berbanding bluetooth. Oleh itu OnePlus mendengar pendapat pengguna mereka.

Pada waktu yang sama Pete Lau turut mendedahkan pihak mereka pernah bercadang menyertakan dua port USB-C pada peranti. Ini adalah kerana penggunaan USB-C membolehkan mereka mereka peranti yang lebih nipis dari sedia ada. Bagi peminat OnePlus di kalangan pembaca Amanz, apakah pendapat anda tentang keputusan pengeluar ini?


TIPS & ULASAN