Apple Kini Disaman Kerana Mengaku Mengurangkan Prestasi iPhone Lama

Apple Kini Disaman Kerana Mengaku Mengurangkan Prestasi iPhone Lama

Diterbitkan pada Dis 22, 2017 oleh .

Semalam iPhone telah mengeluarkan kenyataan rasmi yang mengesahkan mereka mengurangkan prestasi iPhone lama mengikut tahap kesihatan bateri. Walau bagaimanapun, menurut mereka, ini dilakukan dalam usaha memberikan pengalaman yang baik kepada pengguna sekaligus serta memanjangkan hayat peranti mereka.

iPhone

Pengakuan ini menimbulkan kemarahan pengguna yang sudah lama menyedari prestasi peranti menjadi semakin perlahan selari dengan usia peranti. Stefan Bodganovich, seorang pemilik iPhone 7 dari Los Angeles telahpun memfailkan saman ke atas Apple kerana pengakuan mereka.

Beliau kini risau masalah peranti menjadi perlahan akan berlaku kepada iPhone 7 milik beliau. Tiada nilai saman dikemukakan tetapi memandangkan ini berlaku di Amerika Syarikat, ia mungkin akan dalam jumlah yang besar.

Apple mengurangkan prestasi peranti sedikit bagi mengelakkan peranti anda mati secara automatik kerana bateri yang tidak mampu lagi berfungsi pada prestasi asal. Ciri ini digunakan pada iPhone 6, iPhone 6S dan iPhone SE pada tahun lalu, dan ia turun diperkenalkan pada iPhone 7 melalui iOS 11.2. Apple turut mengatakan mereka akan terus melaksanakan perkara berkenaan pada produk akan datang mereka.

Dengan sistem ini iPhone lama masih boleh berfungsi tanpa masalah ia mati secara tiba-tiba tanpa perlu pengguna menukar bateri mereka yang pasti akan memerlukan kos yang agak tinggi. Sebelum ini kami laporkan penukaran bateri baru telah disahkan dapat mengembalikan iPhone lama kembali ke prestasi asal.


TIPS & ULASAN