Cari @ Amanz

MWC 2018 tiba dan pergi. Tahun ini Samsung Galaxy S9 dan S9+ telah dilancarkan dua bulan lebih awal berbanding tahun lalu. Ia mungkin peranti yang amat dinantikan kemunculannya kerana status Samsung sebagai pengeluar telefon pintar nombor satu di dunia.

Sekilas pandang kedua-dua generasi telefon pintar Samsung ini tidak menunjukkan perbezaan yang ketara. Perubahan paling drastik yang dilakukan ialah kedudukan pengimbas cap jari yang lebih ergonomik serta sistem dwi kamera akhirnya pada Galaxy S9+.

Seperti biasa apabila muncul model baru, ramai yang tertanya-tanya adakah berbaloi untuk memilikinya? Situasi yang dihadapi oleh S9 ini unik kerana S8 baru dijual secara rasmi di Malaysia selama lapan bulan. Ulasan komprehensif ini berharap dapa memberikan jawapan kepada persoalan ini.

Spesifikasi

Samsung Galaxy S9+
Skrin 6.2″ QHD+ SAMOLED HDR (529 PPI)
Pemproses 2.7 x 4 + 1.8 x 4 GHz Exynos 9810
Cip Grafik Mali-G72 MP18
RAM 6 Gigabyte
Muatan Dalaman 64/128/256 Gigabyte UFS 2.1 (Mikro-SD sehingga 400 GB)
Kamera Utama 12+12 Megapixel , (f/1.5+f/2.4) + /2.4, OIS, Zoom Optikal
Kamera Depan 8 Megapixel f/1.7, Fokus Auto.
Bateri 3500 mAh (Pengecasan Pantas + Tanpa wayar)
SIM/Telefoni Dwi SIM Nano (Talam Hibrid)
NFC Ya
Infra Merah Tiada
Kalis Air IP 68
Sistem Imbasan Jari, Wajah, Anak Mata
Harga Jualan Bermula dari RM 3799
Tempoh Ulasan 4 hari

Skrin 6.2″ QHD+ SAMOLED digunakan semula pada peranti ini. Seperti S8+, skrin ini menyokong paparan HDR. Teknologi skrin Diamond Subpixel pada iPhone X kini digunakan pada kedua-dua model Galaxy S9. Dengan penggunaan teknologi baru ini, skrin S9 adalah lebih terang dengan penghasilan semula warna yang lebih tepat. Ketika artikel ini ditulis, skrin Samsung Galaxy S9 telah dinobatkan sebagai peranti telefon pintar terbaik oleh DisplayMate.

Harus diingatkan sejurus selepas peranti dihidupkan, resolusi yang digunakan ialah FHD+ sahaja. Pengguna perlu menukar resolusi ke QHD+ secara manual menerusi menu tetapan skrin. Apabila diletakkan bersebelahan Galaxy S8 dan Note 8, perbezaan keterangan skrin hanya boleh disedari apabila menonton video HDR. Warna yang terpapar pada Galaxy S9 memang lebih hidup begitu juga skrin yang sedikit lebih terang.

Perbezaan prestasi skrin di antara ketiga-tiga peranti tidak drastik seperti melihat skrin S7 Edge dan S8 secara sebelah menyebelah tahun lalu. Buat masa ini penstriman HDR hanya disokong pada aplikasi YouTube. Sokongan HDR pada Netflix dan Amazon Video masih belum diumumkan semasa tempoh ulasan.

Satu kelebihan menggunakan skrin SAMOLED ialah ia masih boleh dibaca walaupun di bawah cahaya matahari yang terik. Ini adalah fungsi yang perlu kerana Malaysia ialah negara tropika dengan cahaya yang terik hampir sepanjang tahun. Sisi melengkung yang suatu ketika dahulu (Samsung Galaxy S7 Edge) mempunyai masalah palm rejection yang ketara sudah berjaya diselesaikan. Jika ada komen negatif yang ingin diberikan ialah ia memerangkap kotoran dengan mudah. Ini memang tidak dapat dielakkan.

Yang dapat dielakkan ialah skrin besar meningkatkan kebarangkalian kerosakan sekiranya peranti terjatuh. Samsung berkata mereka meningkatkan ketebalan kaca Gorilla 5 pada Galaxy S9 bagi mengurangkan risiko ia pecah. Tetapi kami menyarankan anda berbelanja sedikit untuk membeli kerangka tahan lasak sebagai insurans. Kaca King Kong sekalipun jika terjatuh berulang kali akan retak juga akhirnya.

Skrin “terbaik di dalam kelasnya” Ini dipadankan dengan pemproses lapan teras Exynos 9810 untuk pasaran Malaysia, RAM sebesar 6 GB dan storan 64/128/256 GB dari keluarga UFS 2.1 yang pantas. Bagi yang memerlukan storan tambahan, kad Mikro-SD sehingga 400GB kini boleh digunakan berbanding hanya had maksimum 256GB pada peranti Samsung yang lain. Penggunaan pemproses Exynos pastinya menggembirakan pengguna di Malaysia kerana ujian penanda aras yang dilakukan menunjukkannya lebih berkuasa berbanding model dengan Snapdragon 845.

Pada kamera penambahbaikan yang besar telah dilakukan. Sistem dwi-kamera akhirnya digunakan pada peranti keluarga Galaxy S. Satu sensor 12-Megapixel f/2.4 dengan zoom optikal 2X dipadankan dengan sensor 12-Megapixel dengan bukaan boleh laras f/1.5-f/2.4. Kedua-dua kamera disusun menegak bukannya mendatar seperti pada Note 8. Bukaan boleh laras ini membolehkan S9+ mengambil gambar yang lebih baik di dalam situasi pencahayaan yang kurang baik.

Pengenalan sistem bukaan boleh laras ini mungkin jawapan Samsung kepada rungutan pengguna tahun lalu yang mengatakan kamera S8 tidak menunjukkan peningkatan berbanding S7 Edge.

Samsung ialah satu-satunya pengeluar yang menyertakan pengimbas nadi pada peranti mereka. Tahun ini ia dipertingkatkan kerana turut mampu mengesan tekanan darah. Pengimbas cap jari yang menerima cemuhan tahun lalu kini diubah kedudukannya di bawah lensa dwi-kamera. Ia kini lebih mudah digunakan kerana tiada lagi akrobatik jari bagi mencari pengimbas. Rekaan baru ini sebenarnya meminjam rekaan yang ditemui pada Galaxy A8 (2018) yang dilancarkan Januari yang lalu

Sebagai pengguna S8+ sebelum ini, kedudukan pengimbas yang baru ini sebenarnya mendatangkan sedikit masalah kerana sejak lapan bulan yang lalu kami telah melatih jari telunjuk untuk mencari pengimbas yang terletak bersebelahan lensa. Kini kami perlu melatih semula jari untuk mencari pengimbas di bahagian bawah lensa.

Bagi yang kurang yakin dengan imbasan jari, sistem nyahkunci menggunakan wajah dan anak mata turut boleh digunakan. Perbezaan di antara dua sistem ini ialah sistem imbasan mata tidak mesra mereka yang berkaca mata. Kadar kejayaan nyahkunci menurun dengan mendadak apabila memakai cermin mata.

Bateri “sebesar” 3500 mAh disertakan dengan sokongan pengecasan pantas berwayar dan tanpa wayar. Tiada penambahan saiz bateri dilakukan begitu juga teknologi pengecasan berbanding Galaxy S8. Pengecasan pantas Adaptive Fast Charging dilakukan menerusi port USB-C dan format pengecasan tanpa wayar yang disokong pula ialah PMA serta Qi.  Akhir sekali ialah terdapat sokongan NFC dan MST untuk Samsung Pay.

Terdapat peribahasa Inggeris yang berbunyi “everything but the kitchen sink” dan ia sesuai sekali digunakan untuk menggambarkan jumlah fungsi yang dimasukkan ke dalam Galaxy S9. Peranti ini menyertakan hampir kesemua fungsi wajib yang diperlukan pada sebuah peranti utama.

Yang tidak disertakan hanyalah dwi-kamera hadapan, pemancar infra merah, bateri boleh ditanggalkan dan skrin bertakuk. Terpulang kepada pengguna untuk merasakan sama ada fungsi yang tidak disertakan ini mencacatkan Galaxy S9 ataupun tidak.

Rekabentuk

Galaxy S9+ mengekalkan rekaan bucu yang bulat. Skrin Infinity Display tahun ini mempunyai bezel yang lebih nipis sebanyak beberapa milimeter. Seperti kami katakan beberapa perenggan di atas, kaca hadapan Gorilla 5 peranti ini 20% lebih tebal. Bingkai peranti juga dikemaskini dengan aluminium AL7003 yang 0.2mm lebih tebal. Hasilnya ialah S9 menjadi sedikit gemuk.

Ini sebenarnya bukanlah sesuatu yang negatif kerana tubuh yang lebih “thicc” ini lebih selesa dipegang. Dalam kegilaan pengeluar menghasilkan peranti yang semakin nipis, mereka seakan terlupa keselesaan di dalam genggaman berkurangan secara berkadar terus dengan tubuh peranti yang semakin nipis. Kami tergolong di dalam kumpulan yang lebih mementingkan keselesaan dari tubuh yang nipis.

Butang kuasa terletak pada sisi kanan manakala butang suara jenis rocker serta butang Bixby terletak pada sisi kiri. Seperti model-model terdahulu butang diperbuat daripada logam.  Binaan butang adalah kukuh. Seperti kata MKBHD, “clickability” butang adalah perlu kerana sebuah peranti utama dengan butang yang longgar adalah tidak boleh dimaafkan.

Sekeping talam dwi-SIM nano dan kad MikroSD dari jenis hibrid terletak pada bahagian atas peranti. Talam hanya menyokong dwi-SIM bersaiz nano. Bagi yang ingin menggunakan kad mikro-SD, peranti menyokong kad dengan kapasiti maksimum 400 GB.

Bercakap mengenai SIM, peranti tidak perlu melakukan reboot apabila SIM dikeluarkan atau dimasukkan. Terdapat beberapa peranti Android yang perlu dihidupkan semula sebelum ia dapat melakukan sambungan selular dan ini melambatkan proses menggunakan peranti.

Satu pembesar suara terletak pada bahagian bawah dengan rekaan kekisi yang lebih besar. Pembesar suara ini apabila dipadankan dengan gagang telefon pada bahagian atas skrin menyokong audio stereo dengan Dolby Atmos. Sistem baru ini memastikan kelemahan S8 yang hanya menyokong audio mono akan menjadi sejarah. Kepakaran AKG digunakan untuk menala pembesar bagi memberikan audio yang paling optimum. Ulasan lebih lanjut pembesar suara ini kami sertakan di segmen khas audio di bawah.

Oh seperkara lagi bicu audio masih disertakan. Bagi insan yang masih belum berhijrah ke dunia aksesori audio tanpa wayar kewujudan bicu ini amat diperlukan. Di MWC Sony menjadi sebuah lagi pengeluar yang tidak lagi menyertakan bicu audio pada peranti utama mereka.

Walaupun dengan kekisi pembesar suara yang lebih besar serta bicu audio, Galaxy S9 masih mempunyai ketahanan kalis air IP68.  Ini ialah fungsi tambahan yang kami secara peribadi merasakan sepatutnya menjadi standard dan bukannya pembuangan bicu audio atau skrin bertakuk.

Kesemua yang kami tulis di atas adalah positif belaka tetapi Galaxy S9 bukanlah peranti yang sempurna. Penggunaan skrin Infinity Display, sisi logam dan panel kaca di bahagian belakang sekali membuatkannya menjadi peranti yang amat licin untuk dipegang.

Juga seperti yang mungkin sudah boleh diagak oleh pembaca semua, peranti menarik kotoran seperti Magneto menarik Adamantium dari Wolverine. Apabila berhadapan dengan dua masalah turun temurun ini kami amat menyarankan pembelian kerangka tahan lasak. Anda tidak mahu menghabiskan sepanjang hari membersihkan permukaan yang berminyak atau dompet berlubang jika terpaksa menggantikan skrin yang mahal.

Antaramuka

Android 8.0 digunakan dengan pelancar Samsung Experience 9. Ini ialah versi terkini antaramuka Samsung yang mula menyokong fungsi pelancar Google seperti App Shortcut. Dari ikon aplikasi, pelbagai fungsi boleh dilancarkan dengan lebih pantas. Antaramuka kini terasa lebih lancar berbanding Samsung Experience 8.5. Dengan penggunaan Android Oreo, fungsi lain seperti Picture in Picture juga disokong secara terbina.

Tidak ada perkara negatif boleh kami katakan mengenai antaramuka ini kerana ia masalah sela masa sudah lama tidak wujud pada peranti Samsung. Talam aplikasi boleh dilancarkan dengan menatal dari bahagian tengah skrin ke atas.

Bagi yang tidak selesa dengan sistem ini, anda masih boleh menukar antaramuka untuk mempunyai butang melancar talam aplikasi. Anda juga boleh menggunakan antaramuka seperti iPhone dimana kesemua aplikasi terpapar pada muka hadapan skrin. Berikut ialah beberapa fungsi tambahan yang disertakan oleh Samsung pada peranti ini.

Always On Display – Paparan notifikasi dan masa yang sentiasa terpasang apabila peranti dikunci.

Direct Call – Peranti melakukan panggilan telefon secara automatik apabila ia diletakkan ke telinga pengguna.

Disable – Menyahaktifkan aplikasi sementara. Tidak lagi menggunakan data atau memberikan notifikasi apabila diaktifkan.

Dual Messenger – Menggunakan dua aplikasi yang sama seperti WhatsApp dengan dua akaun berbeza.

Easy Mute – Mematikan nada dering dengan meletakkan tangan di atas skrin atau menelangkupkan peranti.

Edge Panel – Sama seperti tahun lalu tetapi kini lebih banyak pilihan panel. Yang paling kami minati ialah Smart Select yang membolehkan GIF beranimasi dihasilkan terus dari skrin peranti.

Game Launcher – Kemudahan merakam video aplikasi permainan serta mematikan kesemua notifikasi apabila ia diaktifkan.

Grid – Menetapkan saiz grid susunan ikon. Terdapat pilihan 4×4, 4×5, 5×5 atau 5X6.

Intelligent Scan – Sistem nyahkunci peranti yang menggabungkan sistem imbasan wajah dan anak mata secara serentak. Pengguna masih boleh memilih untuk hanya mengimbas anak mata sahaja untuk tahap keselamatan yang lebih tinggi.

Mengakses Talam Notifikasi Dengan Pengimbas Cap Jari – Skrin yang memanjang pasti menyukarkan akses kepada talam notifikasi. Dengan mod ini talam boleh ditarik ke bawah dan ke atas dengan tatalan pada pengimbas jari seperti pada peranti Google Pixel.

Muka Hadapan Berorientasi Landskap – Muka hadapan kini boleh berubah mengikut orientasi landskap.

Navigation Bar – Mengubah susunan tiga butang navigasi pada bahagian bawah skrin.

One Handed Mode – Mengecilkan paparan skrin bagi memudahkan penggunaan sebelah tangan dengan menekan butang home sebanyak tiga kali dengan pantas atau menatal dari bucu bawa ke atas.

Palm Capture – Menangkap gambar paparan skrin dengan menggunakan telapak tangan.

Quick Launch Camera – Melancarkan kamera dengan pantas dengan menekan butang kuasa sebanyak dua kali. Ini menggantikan fungsi menekan butang home fizikal sebanyak dua kali yang tidak lagi wujud.

Scroll Capture – Menangkap  gambar paparan skrin secara memanjang.

Secure Folder – Menghalang akses kepada folder tertentu dengan menguncinya dengan cap jari, nombor pin atau paten.

Smart Stay – Skrin tidak akan terpadam selagi ia mengesan mata anda memandang skrin.

Themes – Mengubah tema antaramuka, latar belakang dan pek ikon.

Kamera

Kamera utama sebesar 12+12-Megapixel (f/1.7+f/2.4) + f/2.4 dilengkapi sistem pemfokusan pantas Dual Pixel dan Dual-OIS. Lensa sudut dilengkapi sistem bukaan yang boleh diubah mengikut tahap pencahayaan. Di dalam keadaan gelap, bukaan f/1.5 digunakan bagi menambah jumlah cahaya ke sensor kamera. Sistem bukaan kamera boleh ubah ini kali pertama ditemui Samsung W2018 yang merupakan sebuah telefon clamshell.

Lensa kedua pula digunakan untuk zoom optikal sebanyak 2 kali. Kedua-dua kamera belakang ini dilengkapi sistem OIS bagi menstabilkan gambar. Bergerak ke hadapan kamera hadapan 8-Megapixel f/1.7 disertakan.

Kamera utama kini menyokong rakaman video sehingga 4K 60FPS. Ini adalah peningkatan dari 4K 30FPS pada S8 dan Note 8 tahun lalu. Fungsi baru lain yang diperkenalkan ialah rakaman gerak perlahan 720P 960 FPS atau 1080P 240 FPS. Kamera hadapan masih kekal dengan tetapan rakaman tertinggi 1440P.

Antaramuka kamera masih lagi kemas tetapi diubah dengan agak drastik. Penukaran mod kini dilakukan dengan menatal skrin viewfinder. Ini adalah sama seperti yang ditemui pada iPhone dan Sony Xperia. Senarai mod-mod kamera dipaparkan pada sisi kiri skrin. Mod yang disertakan ialah Food, Panorama, Pro, Live Focus, Auto, Super Slow-Mo, AR Emoji dan Hyperlapse.

Pengguna diberikan pilihan untuk mengkustomasi senarai mod yang ingin dipaparkan pada siri ini. Hanya terdapat dua lagi mod tambahan yang boleh diaktifkan iaitu Slow Motion dan Sports. Tiada lagi pilihan untuk memuat turun mod tambahan seperti pada S8. Sisi kanan viewfinder pula mempunyai butang untuk mengakses fungsi kamera dan tetapan. Butang zoom optikal diubah ke bucu atas sebelah kanan dan Bixby Vision pula pada bucu bawah sebelah kiri.

Zoom Optikal

Sistem zoom optikal sebanyak dua kali disertakan pada Galaxy S9+. Ini ialah sistem yang sama seperti pada Note 8. Tiada perubahan dilakukan pada lensa maupun sensor kamera. Di bawah ialah contoh gambar yang diambil dalam situasi yang cukup terang. Walaupun matahari berada di  belakang subjek, sistem Auto HDR pada S9 memastikan kedua-dua menara Petronas masih lagi kelihatan jelas. Gambar yang diambil amat tajam dan jelas walaupun pada dilihat pada skala 100% di skrin komputer. Penghasilan warna juga lebih baik jika dibandingkan dengan Galaxy Note 8.

Apabila fungsi zoom digunakan kualiti gambar masih lagi baik dengan penghasilan warna yang sangat hidup. Gambar yang kelihatan hiper-hidup ini memang sudah menjadi sinonim dengan Samsung. Bagi pengguna iPhone, gambar di bawah mungkin boleh dikatakan terlalu terang. Tetapi seperti yang anda boleh lihat walaupun pada tetapan zoom 2X, gambar masih lagi jelas dan tajam. Penggunaan sistem OIS pada kamera sekunder membolehkan gambar setajam ini diambil.

Sistem zoom juga telah diuji ketika waktu senja. Dua gambar di bawah diambil sekitar jam 7.30 malam dan masih kelihatan terang. Apabila zoom digunakan pada papan tanda di sebelah kiri bangunan, kualiti gambar menurun sedikit berbanding gambar dari kamera utama. Di dalam situasi pencahayaan yang kurang baik seperti ini, penggunaan lensa f/2.4 jelas memberikan impak ke atas ketajaman subjek dan warna gambar.

Analisis Gambar

Saiz sensor Galaxy S9+ adalah sama seperti yang ditemui pada Note 8. Apakah perbezaan sebenar kemampuan kamera kedua-dua peranti ini? Dalam situasi pencahayaan yang baik, kami menyedari perbezaan terletak pada warna gambar yang diambil. Ia kelihatan lebih hidup dengan warna yang lebih menyerlah berbanding  gambar yang ditangkap menggunakan kamera Note 8.

Jika anda lihat pada perbandingan S9+, Note 8 dan iPhone X di atas, anda boleh menyedari terdapat pantulan warna kuning pada menara Petronas pada gambar yang diambil menggunakan S9+. Bentuk matahari juga jelas kelihatan dan tidak hilang dari pandangan seperti pada Note 8 dan iPhone X. Bahagian bangunan yang gelap juga kelihatan terang pada gambar S9+. Fungsi auto-HDR pada S9+ ini menunjukkan peningkatan berbanding dua pesaing yang turut dilengkapi dwi-kamera.

Kekurangan pula masih terletak pada sistem Live Focus. Ia masih belum berfungsi dengan sempurna. Penambahbaikan yang dilakukan ialah kesan bokeh kini lebih realistik berbanding versi terdahulu namun masih belum menandingi bokeh pada kamera digital sebenar.

AR Emoji

AR Emoji ialah jawapan Samsung kepada Animoji iPhone X. Pengguna boleh mengimbas wajah sendiri untuk menghasilkan avatar tiga dimensi. Warna rambut, kulit, cermin mata, rambut dan pakaian avatar boleh diubah bagi menyerupai sebenar pengguna. Proses kustomasi avatar ini mengingatkan kami kepada proses penghasilan watak 3D di dalam The Sims. Usai proses kustomasi, Galaxy S9 secara automatik akan menghasilkan 18 GIF beranimasi yang memaparkan avatar pengguna dalam pelbagai situasi dan ekspresi wajah.

Avatar yang terhasil ini juga boleh diguna semula menerusi fungsi AR Emoji di dalam aplikasi kamera. Tiada had masa rakaman boleh dilakukan menggunakan AR Emoji. Pada Animoji, rakaman dihadkan selama 10 saat sahaja.

Ikhlas kami katakan AR Emoji bukanlah saingan kepada Animoji. Animasi tidak lancar dan pergerakan mulut langsung tidak tepat. Malahan kami menyedari mulut bergetar secara rawak walaupun ketika kami tidak bercakap. Ekspresi wajah yang dilihat pada GIF beranimasi tidak dapat dihasilkan semula.

Mahu avatar kelihatan marah atau tersenyum riang? Ini tidak dapat dilakukan kerana perisian AR Emoji dalam 80% gagal mengesan ekspresi wajah sebenar kami. Kami mungkin tersenyum besar seperti Joker tetapi mulut avatar hanya terbuka sedikit. Kami amat berharap AR Emoji boleh diperbaiki kerana versi semasa tidak ubah seperti aplikasi prototaip yang belum bersedia untuk digunakan secara meluas.

Audio

Tahun lalu rungutan kami mengenai Galaxy S8 ialah ia sekadar mempunyai kemampuan audio yang sederhana. Dikala pesaing dilengkapi pembesar suara stereo, Samsung berkeras menggunakan pembesar suara mono. Hanya sepasang fon telinga AKG diberikan sebagai penawaran audio premium. Apabila dibandingkan dengan HTC U11 dan iPhone X, kualiti audio peranti Samsung adalah di bawah standard yang boleh dibanggakan.

Tahun ini pisang tidak berbuah dua kali. Pembesar suara stereo bukan sahaja disertakan tetapi turut hadir dengan sokongan Dolby Atmos. Kepakaran audio AKG digunakan untuk menala pembesar suara tahun ini. Hasilnya memang ketara kerana audio bukan sahaja lebih terang, ia juga lebih padu dan tidak pecah seperti pada S8 dan Note 8. Menonton video kini lebih menyeronokkan kerana audio tidak lagi flat. Bass berdentum dengan gegaran yang memuaskan manakala treble kedengaran gemersik.

Bicu audio masih disertakan bagi yang belum bersedia untuk dunia tanpa wayar. Jika anda sudah berpindah ke dunia tanpa wayar, kemampuan Bluetooth 5.0 yang disertakan juga baik. Penstriman Bluetooth dengan LDAC disokong secara terbina kerana ia disertakan dengan Android Oreo. Dari pemahahan kami tiada sokongan aptX HD untuk model di Malaysia kerana peranti tidak menggunakan pemproses Qualcomm. Hanya terdapat sokongan aptX, AAC, SBC dan Samsung HD biasa.

Apabila diuji dengan fon telinga berkualiti tinggi, kemampuan audio Galaxy S9 pada hemat kami adalah lebih dari memuaskan. Tidak banyak perkara negatif yang boleh kami tulis mengenai kemampuan audio tahun ini kecuali konfigurasi pembesar suara. Adalah lebih baik jika kedua-dua pembesar suara menembak ke hadapan seperti pada Pixel 2 XL. Mungkin tahun hadapan ini pula akan menjadi realiti. Kami hanya boleh berharap rungutan tahun ini akan didengari oleh Samsung.

Penanda Aras

Beberapa markah penanda aras untuk pemproses Exynos 9810 telah tertiris awal dan menunjukkan ia masih belum mampu menandingi Apple A11. Apabila aplikasi penanda aras digunakan pada S9+ yang diulas markah yang dicatatkan adalah seperti berikut.

Markah yang dicatatkan adalah yang tertinggi pernah dicatatkan oleh peranti Andoid di makmal Amanz. Tetapi seperti yang dapat anda lihat, dalam ujian Geekbench 4, iPhone X masih lagi di hadapan.

Bagaimana pula dengan kegunaan harian? Kami tidak menyedari sebarang masalah sela masa atau peranti gagal berfungsi dalam penggunaan biasa. Peranti hanya terhenti sekali ketika menggunakan mod rakaman gerak perlahan 960FPS di bawah mentari yang terik. Kombinasi cuaca panas dan aplikasi yang memerlukan kuasa yang tinggi menyumbang kepada masalah yang berlaku hanya sekali.

Kerana dilengkapi RAM sebesar 6 GB, lebih banyak aplikasi boleh dilancarkan tanpa perlu menjalani proses segar semula. Ini sebenarnya tidak mengejutkan kerana dari pengalaman menggunakan Note 8 yang dilengkapi saiz RAM sayang sama, masalah aplikasi segar semula hampir tidak pernah berlaku.

Kerana pemproses yang berkuasa pengguna juga tidak perlu risau untuk memuat turun permua yang bergrafik tinggi. Kesemuanya berjalan dengan lancar pada kadar FPS yang tinggi.

Bateri

Kami hanya mengulas peranti ini selama empat hari. Ini ialah tempoh ujian yang lebih pendek dari biasa. Akibatnya kami hanya menguji ketahanan bateri apabila peranti digunakan dengan berat sahaja. Hayat bateri terbaik setakat ini ialah 12 jam 15 minit dengan skrin terpasang selama 4 jam 6 minit pada tetapan FHD+. Ia menjunam ke 10 jam 25 minit dengan skrin terpasang selama 4 jam 25 minit jika skrin ditetapkan pada resolusi QHD+. Kami yakin jika resolusi diturunkan ke HD+, peranti dapat beroperasi dengan lebih lama.

Sepanjang tempoh ulasan peranti ditambat kepada jam tangan pintar Gear S3, ditambat kepada fon kepala Bluetooth, digunakan untuk mengambil ratusan gambar, menstrim Spotify serta Netflix dan aplikasi GPS Waze digunakan. Ini pada hemat kami ialah tahap penggunaan peranti yang jatuh ke dalam kategori berat untuk kebanyakan pengguna. Oleh itu hayat bateri Galaxy S9+ hanya boleh dikatakan sederhana sahaja.

Terdapat sokongan pengecasan pantas Adaptive Fast Charging yang setandang dengan format Qulacomm QuickCharge 2.0. Masa pengecasan purata ialah sekitar 89 minit. Terdapat juga pengecasan pantas tanpa wayar yang menyokong format pengecasan Qi dan PMA.

Pesaing

Tiga pengeluar terbesar telefon pintar tahun lalu ialah Samsung, Apple dan Huawei. Oleh itu perbezaan tiga peranti utama yang dikeluarkan mereka adalah perbandingan terbaik. Ketiga-tiga dilengkapi pemproses paling berkuasa, skrin OLED dengan HDR, kemampuan kalis air serta kemampuan kamera yang menakjubkan. Mari lihat perbandingan di antara Samsung Galaxy S9+, Huawei Mate 10 Pro dan Apple iPhone X.

Peranti Pesaing
Samsung Galaxy S9+ Huawei Mate 10 Pro Apple iPhone X
6.2″ SAMOLED QHD+ HDR (529 PPI) 6″ AMOLED, FHD+ HDR (402 qPPI) 5.8″ OLED, Super Retina HD (458 PPI)
2.7 x 4 + 1.8 x 4 GHz Exynos 9810 2.4 x 4 + 1.8 x 4 GHz Kirin 970 Apple A11 Bionic
Mali G72 MP18 Mali G72 MP12 Apple M11
6 Gigabyte 6 Gigabyte 3 Gigabyte
64/128/256 Gigabyte (400 GB MikroSD) 128 Gigabyte 64/256 Gigabyte
Kamera Utama 12+12 Megapixel (f/1.7+f/2.4) + f/2.4, Dual Pixel, Dual OIS Kamera Utama 12+20 Megapixel f/1.6+ f/1.6, PDAF, Laser, OIS, Kamera Utama 12+12 Megapixel, f/1.8+f/2.5, Focus Pixel, Dual OIS
Kamera Hadapan 8 Megapixel f/1.7 Kamera Hadapan 8 Megapixel f/2.0 Kamera Hadapan 7 Megapixel, f/2.2,
3500 mAh (Pengecasan Pantas) 4000 mAh (Pengecasan Pantas) 2716 mAh (Pengecasan Pantas)
RM 3799 RM 3099 RM 5149

Kesimpulan

Sepuluh bulan, ini ialah jarak di antara pelancaran Galaxy S8 dan Galaxy S9. Dalam jangka masa yang pendek ini berapa banyakkah penambahbaikan yang boleh dilakukan oleh Samsung ke atas peranti utama mereka ini?

Dari segi rekaan peranti kini lebih tebal dengan bahan binaan yang lebih tahan lasak bagi mengurangkan risiko kerosakan jika terjatuh. Bezel atas dan bawah dinipiskan sedikit tetapi sebenarnya tidak terlalu ketara. Perubahan paling mendadak ialah penggunaan dwi-kamera pada S9+ dan lokasi pengimbas cap jari yang kini lebih maakul.

Samsung nampaknya mendengar komen pengguna yang kurang selesa dengan lokasi pengimbas cap jari tahun lalu. Namun peranti masih lagi memerangkap kotoran dengan mudah serta amat licin untuk dipegang. Ini masih belum dapat dielakkan kerana keperluan menggunakan panel kaca bagi menyokong sistem pengecasan tanpa wayar.

Kuasa memproses meningkat sekitar dua puluh lima peratus. Skrin peranti juga kini melangkaui iPhone X (yang menggunakan panel OLED Samsung) sebagai yang terbaik untuk telefon pintar. Pilihan storan lebih pelbagai iaitu 64, 128 dan 256GB. Sokongan kad mikro-SD meningkat ke  400GB. Bateri yang sama dikekalkan begitu juga dengan pelbagai sistem pengecasan.

Tidak semua komponen ditambah baik secara mendadak tetapi perubahan yang dilakukan kami rasakan mencukupi bagi melayakkannya dilabel sebagai peranti versi baru. Tetapi ini bukanlah perkara baru dalam dunia peranti mudah alih. Perubahan secara sedikit demi sedikit ialah pendekatan yang dilakukan oleh kesemua pengeluar sekarang kerana hakikatnya tidak banyak inovasi baru boleh diperkenalkan setiap tahun.

Peningkatan kemampuan paling ketara pada hemat kami terletak pada kamera dan audio. Kamera tahun ini jauh lebih baik berbanding tahun lalu. Kemampuan mengambil gambar dalam situasi pencahayaan yang rendah amat menakjubkan. Perbezaan yang ketara dapat dilihat jika dibandingkan dengan Note 8 (yang turut dilengkapi sistem dwi-kamera). Kemampuan merakam video pada tetapan 4K 60 amat dialu-alukan bagi bersaing dengan iPhone X.

Bagi insan yang tidak berapa bijak mengambil gambar seperti kami, kamera Galaxy S9+ akan memastikan 80% gambar yang diambil akan memuaskan hati pengguna. Walaupun di dalam mod auto, hasil tangkapan kamera tidak mengecewakan.

Sungguhpun begitu kami merasakan antaramuka kamera tahun ini sedikit mengelirukan kerana meminjam antaramuka iPhone. Mengapakah antaramuka ini perlu diubah sedangkan pengguna Samsung (atau Android) sudah biasa dengan antaramuka kamera sebelum ini? Mempelajari semula lokasi butang dan cara mengaktifkan fungsi kamera adalah menyusahkan.

Audio bukan lagi kelemahan paling ketara S9. Sokongan pembesar suara stereo dan audio Bluetooth yang lebih baik akan menggembirakan peminat audio. Bunyi lebih padu dan tidak lagi kedengaran flat.

Satu aspek Galaxy S8+ yang tidak diperbaiki ialah ketahanan bateri masih lagi mengecewakan. Pada penggunaan paling berat SOT tidak mampu melangkaui 5 jam yang kami rasakan seharusnya menjadi jangka hayat minimum. Adanya pengecasan pantas mengurangkan kekecewaan peranti tidak mampu bertahan sepanjang hari.

Jadi adakah Samsung Galaxy S9+ peranti yang berbaloi dimiliki khususnya jika anda sedang menggunakan S8+ dan Note 8? Jawapan kami ialah ya jika anda mahu menikmati kemampuan kamera yang dipertingkatkan serta audio yang akhirnya bersesuaian untuk sebuah peranti utama. Samsung berjaya “menyumbat” lebih banyak fungsi menarik ke dalam Galaxy S9+ tanpa perlu mengorbankan fungsi model tahun lalu.

Dengan harga jualan bermula dari RM 3799 untuk model 64GB dan meningkat ke RM 4399 untuk model 256 GB, Galaxy S9+ bukanlah sebuah peranti yang mampu milik. Tetapi jika anda mahukan yang terbaik dengan fungsi paling pelbagai, ini ialah peranti yang akan memenuhi hampir semua keperluan harian anda.

Kelebihan Kekurangan
  • Skrin SAMOLED QHD+ ialah yang terbaik di dalam kelasnya. Paparan tajam, HDR dan dengan paparan warna yang baik.
  • Pemproses paling berkuasa untuk Android dipadankan dengan 6GB RAM memastikan kelancaran peranti dalam melakukan sebarang tugasan.
  • Kemampuan kamera dipertingkatkan berbanding S8 dan Note 8. Mungkin mempunyai mod waktu malam paling baik pada peranti pintar setakat ini.
  • Tubuh lebih tebal menjadikannya lebih selesa dipegang berbanding S8.
  • Kemampuan audio yang akhirnya memuskan. Pembesar suara stereo disertakan dan sokongan LDAC apabila menggunakan fon kepala Bluetooth.
  • Kedudukan pengimbas cap jari yang lebih ergonomik. Lebih selari dengan rekaan peranti lain di pasaran.
  • AR Emoji tidak berfungsi dengan sempurna. Belum mampu menyaingi Animoji.
  • Tubuh terlalu licin dan mudah memerangkap kotoran.
  • Hayat bateri hanya sederhana.
  • Antaramuka aplikasi kamera diubah dengan drasktik. Terlalu menghampiri iOS.
  • Mod gerak perlahan sukar digunakan.

  • Info
  • Sistem pemarkahan baru digunakan untuk tahun 2018 bagi memudahkan perbandingan dengan peranti-peranti lama. Markah boleh melebihi 10 jika ia melangkaui markah yang dicatatkan model terbaik sebelum ini. Sebagai contoh sebelum ini paparan iPhone X menerima 10 markah. Oleh itu paparan Galaxy S9+ yang lebih baik ia diberikan 11 markah dalam ulasan ini
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd