Cari @ Amanz

Selain Oppo R15, sebuah lagi peranti di bawah payung BBK Electronic telah dilancarkan semalam iaitu Vivo X21. Kedua-dua peranti mempunyai rekaan skrin bertakuk yang sama tetapi perbezaan terletak pada X21 yang ditawarkan dengan versi pengimbas cap jari terbina dalam skrin.

Dari segi spesifikasi Vivo X21 dilengkapi skrin 6.28 inci AMOLED Fullview  Display, dijana pemproses Snapdragon 660, memori sebesar 6GB RAM dan storan 64/128 GB.Sistem dwikamera pada bahagian belakang menggunakan sensor 12+5 Megapixel  f/1.8+f/2.4 dan kamera hadapan pula sebesar 12-Megapixel f/2.0 dengan pemancar infra merah.

Ini adalah bagi membolehkan nyahkunci menggunakan wajah lebih pantas pada waktu malam serta kemampuan mengimbas wajah secara tiga dimensi. Bateri sebesar 3200 mAh disertakan dengan sokongan pengecasan pantas. Peranti ini juga menggunakan sistem operasi Android 8.1 dengan pelancar Funtouch OS 4.0.

Versi dengan storan 128GB adalah satu-satunya dengan pengimbas cap jari terbina dalam skrin. Ia adalah teknologi yang sama seperti yang digunakan pada Vivo X20 Plus UD. Sistem imbasan cap jari yang ditemui pada Vivo Apex masih belum sedia digunakan. Harga jualan ialah RMB 2898 (~RM 1792) untuk storan 64Gb dan RMB 3598 (~RM 2226) untuk storan 128GB serta pengimbas cap jari terbina dalam skrin.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd