Pandang Pertama Xiaomi Redmi Note 5 – Peranti Redmi Pertama Di Malaysia Dengan Sistem Dwi Kamera

Pandang Pertama Xiaomi Redmi Note 5 – Peranti Redmi Pertama Di Malaysia Dengan Sistem Dwi Kamera

Diterbitkan pada Apr 24, 2018 oleh .

Xiaomi Redmi Note 5 dilancarkan di Malaysia hari ini dan merupakan peranti pertama dari keluarga Redmi yang dilengkapi sistem dwi-kamera. Ia memulakan hidup sebagai Redmi Note 5 Pro untuk pasaran India sebelum dilancarkan di China dan Indonesia dengan beberapa spesifikasi diubah. Terdapat banyak peranti kelas pertengahan di pasaran sekarang jadi bagaimana pula dengan Redmi Note 5 Pro? Ini ialah pandang pertama kali untuk peranti ini.

Spesifikasi

Xiaomi Redmi Note 5
Skrin 5.99″ IPS LCD FHD+ (403 PPI)
Pemproses Qualcomm Snapdragon 636
CPU 4 x 1.8 GHz Kryo 260
4 x 1.6 GHz Kryo 260
Cip Grafik Adreno 509
RAM 3/4 Gigabyte
Muatan Dalaman 32/64 Gigabyte (MikroSD sehingga 128GB)
Kamera Utama 12+5 Megapixel, f/1.9+f/2.0, Dual Pixel
Kamera Depan 13 Megapixel, f/2.0
Bateri 4000 mAh (Quickcharge 2.0 5V/2A)
SIM/Telefoni Dwi SIM Nano
Jalur LTE 1,3,4,5,7,8,20,38,50
NFC Tiada
Infra Merah Ya
Kalis Air Tiada
Sistem Imbasan Jari, Wajah
Harga Jualan RM 799/ RM 999

Skrin 5.99″ IPS LCD digunakan dengan resolusi FHD+ sahaja. Ini ialah skrin yang sama seperti yang ditemui pada Redmi 5 Plus sebelum ini. Ia mempunyai nisbah memanjang 18:5 dengan bahagian dagu dan dahi yang lebih kecil berbanding peranti berskrin 16:9 sebelum ini. Bahagian sisi dibulatkan menggunakan teknologi kaca 2.5D bagi memastikan keselesaan jari bergerak dari skrin ke sisi peranti.

Paparan skrin adalah baik dan tajam dengan paparan warna yang memuaskan. Tetapi seperti sedia maklum skrin IPS LCD agak sukar dibaca di bawah sinaran matahari yang terik. Ia juga menggunakan lebih banyak kuasa bateri berbanding skrin OLED yang kini kian popular.

Peranti dijana pemproses Qualcomm Snapdragon 636, memori sebesar 3/4 GB RAM dan storan sebesar 32/64GB. Dua model yang ditawarkan ini menyokong penambahan memori dalaman menggunakan kad mikro-SD sehingga 128GB. Slot kad mikro-SD berkongsi dengan talam SIM nano kedua. Pemproses Snapdragon 636 yang digunakan ini adalah lebih berkuasa dan menjimatkan bateri jika dibandingkan dengan Snapdragon 625 yang digunakan pada Redmi 5 Plus. GPU yang disertakan pula adalah Adreno 509 yang merupakan peningkatan dari Adreno 506 pada Snapdragon 625.

Sistem dwi-kamera menggabungkan sensor 12+5 Megapixel f/1.9+f/2.0 dengan teknologi pemfokusan Dual-Pixel. Sistem dwi-kamera yang digunakan adalah gabungan sensor warna dan sensor mengesan kedalam. Tiada sokongan zoom optikal disertakan seperti pada Mi A1 dan Mi MIX 2S. Ini tidak mengejutkan kerana peranti dalam keluarga Redmi memang tidak pernah diberikan kemampuan yang sama dengan kamera peranti keluarga. Pengelasan dan perbezaan fungsi pada peranti Xiaomi adalah lebih jelas berbanding yang dilakukan oleh Huawei dengan subjenama Honor mereka.

Dari segi kemampuan merakam video pula, Redmi Note 5 boleh merakam pada tetapan maksimum 1080P 30FPS sahaja. Fungsi yang disokong ialah mod Potret, Panorama, Tilt Shift, Beautify dan Hand Held Twilight. Terdapat juga mod HDR yang membolehkan rakaman gambar yang lebih baik. Kamera hadapan pula sebesar 13-Megapixel f/2.0 dengan sokongan flash terbina.  Kamera hadapan pula mempunyai sokongan Depth Effect yang membolehkan latar belakang dikaburkan. Ia mengingatkan kami kepada mod Potret Pixel 2.

Membekalkan kuasa kepada peranti ini ialah bateri sebesar 4000 mAh dengan sokongan pengecasan QuickCharge 2.0 (5V/2A) melalui port mikro-SB. Ini ialah saiz bateri yang besar dan setanding dengan yang ditemui pada Redmi 5 Plus.

Jadi berdasarkan spesifikasi, jelaslah Xiaomi Redmi Note 5 ini ialah sebuah Redmi 5 Plus yang diberikan penambahbaikan pada pemproses dan sistem kamera.

Rekabentuk

Kesuluruhan peranti diperbuat daripada logam dengan bahagian sisi yang dibulatkan. Ini menjadikannya peranti yang amat selesa di dalam genggaman tangan. Ini dipadankan dengan kaca 2.5D pada bahagia hadapan.

Kemasan peranti adalah cukup baik bagi sebuah peranti mampu milik. Seperti pada Redmi 5 yang baru sahaja kami ulas beberapa minggu yang lalu, kualiti peranti Xiaomi kini memang banyak berbeza berbanding  dahulu. Walaupun mampu milik ia tidak lagi terasa atau kelihatan murah.

Dari segi kemasan, kualiti binaan Redmi Note 5 ini setanding dengan kemasan peranti utama Xiaomi yang lain. Tiada lagi panel plastik yang berbunyi aneh apabila diketuk atau sambungan kaca dengan tubuh yang tajam.

Pada sisi kanan peranti terdapat butang kuasa dan suara dari jenis rocker. Kedua-dua butang tercantum kemas pada tubuh dan tidak bergoyang. Sebuah talam dwi-SIM hibrid terletak pada sisi kiri. Talam ini perlu dicucuk dengan jarum untuk dikeluarkan dari tubuh peranti.

Sebuah port pengecasan mikroUSB, kekisi audio dan bicu audio 3.5 mm terletak pada bahagian bawah peranti. Akhir sekali sebuah pemancar infra merah terletak pada bahagian atas.

Sebuah pengimbas cap jari berbentuk bulat terletak pada bahagian belakang. Lokasi pengimbas cap jari ini ergonomik kerana mudah diakses dengan jari bagi melakukan proses nyahkunci. Panel belakang logam ini mempunyai kemasan yang tidak berkilat dan tidak licin. Peranti sekaligus tidak licin di dalam tangan tetapi masih lagi memerangkap kotoran dengan agak mudah.

Bercakap tentang panel belakang, satu lagi perkara negatif yang boleh kami sentuh ialah rekaan dwi-kamera yang terkeluar dari tubuh. Ini menjadikan peranti tidak boleh diletakkan rata pada permukaan meja. Pihak Xioami menyertakan sebuah kerangka silikon dengan setiap pembelian tetapi ia mengekalkan bonjolan kamera bagi mengelakkan lensa kamera tercalar. Secara peribadi kami lebih menyukai kerangka yang tidak mempunyai bonjolan kerana lebih selesa dengan peranti yang boleh diletakkan rata pada permukaan meja.

Bagi sebuah peranti yang dijual di bawah harga RM1000, rekaan dan kemasan Redmi Note 5 adalah amat memuaskan. Zaman peranti mampu milik yang “cap ayam” kini sudah boleh dikuburkan. Pengguna lebih bijak memilih dan ia memaksa pengeluar untuk tidak lagi mengambil jalan pintas dengan peranti bertubuh plastik seperti dahulu.

Antaramuka

Sistem operasi Android Nougat 8.1 digunakan dengan pelancar MIUI 9.5. Pelancar ini adalah antara yang paling popular di kalangan pengguna Android kerana rekaannya yang minimalis tetapi masih menyertakan perbagai fungsi tambahan yang tidak ditemui pada Android Asli. Peranti kami sedari berfungsi dengan lancar tanpa seberang sela masa.

Terdapat tiga butang navigasi (home, back, multi-tugas) atas skrin yang boleh diubah mengikut kehendak pengguna. Bagi mereka yang mahukan kawalan seakan iPhone X, terdapat Fullscreen Mode yang membolehkan peranti dikawal sepenuhnya menggunakan gesture.

Sungguhpun menggunakan Android 8.1, ada beberapa fungsi Android yang tidak disertakan. Tiada sokongan App Shortcut yang memberikan menu tambahan apabila ikon aplikasi ditekan. Turut tidak disertakan ialah fungsi gambar-dalam-gambar dan multi-tingkap natif. Untuk menggunakan multi-tingkap butang multi-tugas perlu ditekan terlebih dahulu sebelum butang Split Screen pada bucu atas sebelah kiri ditekan. Ini menambah beberapa langkap yang tidak wujud pada peranti Android lain.

Berikut ialah beberapa fungsi tambahan yang disokong oleh Xiaomi Redmi Note 5.

Dual Apps – Melancarkan dua aplikasi yang sama seperti WhatsApp menggunakan log masuk berbeza.

Fullscreen Gestures – Kawalan peranti sepenuhnya menggunakan gesture seakan iPhone X.

Melancarkan kamera dengan pantas – Menekan butang suara sebanyak dua kali bagi melancarkan aplikasi kamera dengan pantas.

Mi Remote – Menggunakan peranti sebagai alat kawalan jauh.

One-Handed Mode – Mengecilkan saiz paparan skrin bagi memudahkan kesemua bahagian skrin diakses. Ini dilakukan dengan menatal pantas dari butang home ke back atau home ke multi-tasking.

Quick Ball – Butang atas skrin yang boleh diubah kedudukannya. Fungsi ini adalah untuk mereka yang tidak menggemari navigasi atas skrin atau yang berasaskan gesture.

Security – Aplikasi yang membersihkan storan dan menganalisa tahap kesihatan peranti.

Second Space – Menyimpan data peribadi seperti gambar di dalam sistem yang hanya boleh diakses dengan menggunakan kata kunci.

Split Screen – Melancarkan dua aplikasi pada skrin serentak.

Themes – Bosan dengan tema yang disertakan? Pengguna boleh memuat turun pelbagai tema baru yang menggunakan aplikasi ini.

Kesimpulan

Xiaomi Redmi Note 5 ialah sebuah lagi peranti kelas pertengahan dengan spesifikasi yang baik dan harga yang mampu milik. Ia adalah alternatif kepada Redmi 5 Plus dengan sokongan dwi-kamera. Perkara positif pertama mengenai peranti ini ialah penggunaan sistem operasi Android 8.1 yang terkini dan MIUI 9.5 yang lancar. Pemproses Snapdragon 636 yang digunakan juga lebih berkuasa berbanding Snapdragon 625 yang digunakan pada peranti kelas pertengahan yang lain di pasaran.

Keseluruhan peranti diperbuat daripada logam dengan tubuh yang selesa di dalam genggaman tangan. Walaupun dijual pada harga mampu milik kemasan peranti cukup memuaskan. Sistem kamera yang disertakan pula menyokong mod potret yang kini boleh dikatakan mod wajib ada pada peranti Android.

Di Malaysia Xiaomi Redmi Note 5 dijual pada harga RM799 untuk versi 3GB RAM/32GB dan RM999 untuk versi 4GB RAM/64GB. Ini menjadikannya peranti dengan harga yang amat kompetitif untuk spesifikasi yang ditawarkan. Nantikan ulasan penuh peranti ini dalam masa terdekat.


TIPS & ULASAN