Boeing Memperlihatkan Konsep Pesawat Konsep Haipersonik Yang Terbang Pada Kelajuan Mach 5

Boeing Memperlihatkan Konsep Pesawat Konsep Haipersonik Yang Terbang Pada Kelajuan Mach 5

Diterbitkan pada June 27, 2018 oleh .

Menggunakan teknologi sedia ada, kita boleh terbang mengelilingi bumi dalam masa 45 jam. Ini adalah masa yang mungkin dianggap perlahan tetapi jauh lebih pantas berbanding sebelum terciptanya kapal terbang. Pelayaran pertama mengelilingi bumi dilakukan oleh Ferdinand Magellan pada tahun 1522 dan mengambil masa tiga tahun untuk dilakukan. Yang pasti kita kini hidup di dunia di mana kepantasan adalah amat penting.

Oleh itu Boeing mempunyai perancangan menghasilkan pesawat haipersonik yang mampu terbang pada kelajuan Mach 5. Dengan pesawat ini, lautan Atlantik boleh direntasi dalam masa dua jam dan lautan Pasifik pula dalam masa tiga jam. Semalam, pesawat konsep haipersonik mereka telah diperlihatkan di Atlanta.

Pesawat ini hanya mampu membawa sekitar 30 orang penumpang dan saiznya lebih kecil berbanding sebuah Boeing 737. Ia mensasarkan kelajuan maksimum Mach 5 dan terbang pada ketinggian 95,000 kaki. Ini adalah 2.5 kali lebih pantas dan 30,000 kaki lebih tinggi berbanding pesawat Concorde yang dipurnakarya pada tahun 2003. Bagi mencapai kelajuan ini, enjin baru turboramjet diperlukan dan ianya masih sedang dibangunkan. Sekiranya semua berjalan dengan lancar, pesawat ujian pertama dijangka terbang pada pertengahan 2024.

Apa yang dilakukan oleh Boeing ini berbeza berbanding pesaing mereka Lockheed Martin dan Boom yang masih cuba membangunkan pesawat supersonik. Lockheed Martin percaya pesawat peribadi dengan kepantasan Mach 3.3 sudah memadai dan bekerjasama dengan Aerion. Boom pula ialah inisiatif menghasilkan pesawat penumpang supersonik yang mengisi vakum yang ditinggalkan oleh Concorde.


TIPS & ULASAN