Google Camera atau GCam adalah satu aplikasi yang popular sejak Pixel 2 diperkenalkan. Ia menyokong mod potret untuk lensa depan dan belakang tanpa memerlukan tetapan dwi-lensa. Kini melalui Chromebook, Google turut bakal menyertakan GCam pada peranti tersebut dengan sokongan mod potret.
Sebelum ini, pada Pixelbook – Google dikatakan telah pun bercadang untuk menyertakan GCam. Selain itu, HP Chromebook X2 adalah antara Chromebook yang sedang diuji dengan GCam ini. Di dalam commit pembangun ChromeOS, barisan kod GCam telah pun hadir.
Tetapi apabila beberapa pengguna dan pembangun cuba mengaktifkannya – ia dilihat tidak boleh berfungsi. Berkemungkinan besar adalah, GCam hanya akan hadir pada Pixelbook dan HP Chromebook X2 terlebih dahulu – sebelum hadir ke Chromebook lain.
Menarik sekali, sedikit info mengenai Pixelbook 2 turut hadir dengan kod nama “Nocturne“. Ia dikatakan adalah peranti hibrid yang boleh bertukar dari mod tablet ke mod komputer riba, hadir dengan sensor Sony IMX355 dan IMX319, mempunyai pengimbas cap jari, papan kekunci dengan lampu LED, storan NVME, serta paparan skrin resolusi yang tinggi. Ia juga dikatakan adalah Chromebook pertama dengan GCam yang mod potret yang terbaik. Google mungkin juga akan mengintegrasi Pixel Visual Core pada Pixelbook 2 ini.