Carian
Masalah Pemanasan Dan Gagal Mengecas Dilaporkan Sebab Mengapa Apple AirPower Masih Belum Dilancarkan
September 19, 2018 Effi Saharudin

Apple AirPower diumumkan lebih setahun yang lalu sebagai pengecas nirwayar pertama keluaran syarikat yang berpangkalan di Cupertino ini. Ia mampu mengecas sebuah iPhone, Apple Watch dan AirPods serentak menerusi beberapa imej promosi yang dikongsi. Namun sehingga kini ia masih belum dipasarkan dan langsung tiada khabar mengenainya ketika pelancaran iPhone XS dan XR minggu lalu.

Apple AirPowerMenurut laporan Sonny Dickson, AirPower dilanda masalah pemanasan dan kegagalan mengecas dalam ujian yang dilakukan oleh Apple. Tidak seperti pengecas lain yang hanya mampu mengecas sehingga dua peranti serentak (seperti Samsung Wirless Charger Duo), Apple menggunakan sehingga 24 gegelung kuasa untuk melakukan pengecasan secara nirwayar. Gegelung ini bertindan bagi memberikan pengecasan yang konsisten kepada ketiga-tiga peranti yang akan dicas. Ini menyebabkan masalah pemanasan kerana saiz AirPower yang padat serta nipis.

Tahap pengecasan menjadi tidak optimum apabila pemanasan berlaku. Pada waktu yang sama terdapat masalah pengecasan terhenti kerana gangguan yang berlaku antara gegelung apabila cuba mengecas serentak. Pada pengecas pengeluar lain, peranti perlu diletakkan pada zon pengecasan yang khusus. Kerana Apple ingin menghasilkan sistem pengecasan yang menyeluruh pada permukaan AirPower, masalah ini masih belum dapat diselesaikan.

Komen