Carian
7 Perkara Baharu Yang Kami Pelajari Mengenai Netflix Di Acara See What’s Next Asia 2018
November 14, 2018 Effi Saharudin

Terdapat banyak perkhidmatan penstriman yang boleh diakses pengguna di seluruh dunia. YouTube di tangga teratas kerana ia antara yang paling awal dilancarkan dan boleh digunakan secara percuma. Bagi yang ingin menonton rancangan bersiri dan filem pula, Netflix ialah pilihan paling popular dan kini mereka mempunyai lebih 130 juta pelanggan berbayar.

Sungguhpun begitu Netflix bertanggungjawab ke atas 15% trafik muat turun internet dunia sepanjang 2017. Penstriman ialah masa depan kandungan video diakses oleh pengguna. Di acara See What’s Next minggu lalu, kami sempat menghadiri sesi bersama Todd Yellin, Timbalan Presiden bahagian produk di Netflix, Ted Sarandos CCO Netflix dan Reed Hastings pengasas Netflix yang berkongsi beberapa perkara menarik mengenai perkhidmatan penstriman ini.

Imej Prebiu Kandungan Netflix Berbeza Mengikut Pengguna

Netflix StoriesApabila anda membuka aplikasi Netflix, imej prebiu akan dipaparkan bagi menarik minat anda untuk menonton kandungan yang ditawarkan. Ramai mungkin tidak mengetahui imej yang dipaparkan ini berbeza mengikut pengguna. Algoritma Netflix menganalisa pola tontonan setiap pengguna.

Berdasarkan tabiat tontonan ini, imej yang dirasakan akan lebih mampu menarik perhatian pengguna akan dipaparkan. Setiap kandungan siri dan filem di Netflix mempunyai sehingga 10 imej prebiu berbeza. Sekiranya imej pertama tidak menarik minat anda, imej akan diubah sehinggalah anda mengklik untuk menonton.

Di mana Pengguna Tinggal Tidak Lagi Penting Di Netflix

Setiap kali filem dan siri dihasilkan pelbagai kajian dilakukan mengenai demografi. Filem berbentuk serius misalnya tidak laku di Malaysia kerana rakyat yang lebih gemar menonton karya yang ringan. Ini adalah sebab mengapa hampir kesemua filem di Malaysia kerap memaparkan kandungan cinta, rempit dan gangster yang sama. Pembikin filem tidak boleh dipersalahkan kerana filem kerana pelaburan perlu mendapat pulangan dan kandungan sebegini menjamin ia berlaku.

Tetapi di Netflix sebaliknya berlaku. Mereka mendapati di mana pengguna tinggal tidak menghalang mereka untuk menonton genre yang klise. Sebagai contoh 2/3 penonton siri Sacred Games yang dihasilkan di India dalam bahasa Hindi adalah di luar India. Tiada sempadan yang mengalang kandungan dalam bahasa asing ditonton di Netflix. Oleh sebab inilah kandungan yang ditawarkan oleh Netflix lebih global, pelbagai dan tidak datang hanya dari barat semata-mata. Dan sebabnya adalah di bawah.

Sarikata/Alih Bahasa Membuka Mata Pengguna Untuk Mencuba

Ketika dilancarkan pada tahun 2013, House of Cards hanya hadir dengan pilihan 7 sarikata bahasa berbeza. Pada tahun 2018, Chilling Adventure of Sabrina hadir dengan pilihan 28 sarikata bahasa. Sejak menawarkan kandungan secara global dua tahun yang lalu, sari kata ialah “jambatan” yang membenarkan penonton mencuba kandungan yang selama ini sukar diakses kerana masalah bahasa (dan sarikata DVD yang tidak tepat).

Di Malaysia siri La Casa de Papel adalah amat popular walaupun ia dalam bahasa Sepanyol. Sacred Games juga popular walaupun dalam bahasa Hindi. Pada masa yang sama audio alih bahasa yang ditawarkan juga membuka telinga pengguna barat yang terkenal dengan alergi menonton dengan sari kata. Ini bukan masalah bagi penduduk Asia yang sudah terbiasa dengan sari kata sejak kecil.

Antara data menarik yang dikongsi ialah di barat kandungan Anime lebih banyak ditonton dengan audio alih Bahasa Inggeris. Di Asia pula kandungan Inggeris ditonton dengan sari kata bahasa ibunda penonton. Dalam kedua-dua kes pengguna boleh menikmati kandungan yang selama ini sukar atau lambat dilihat ke kaca TV kerana masalah bahasa.

Mengapa Aplikasi Netflix Tidak Menyokong Paparan Landskap

Ini ialah soalan yang saya sendiri ajukan kepada Todd Yellin. Sebagai pengguna yang gemar menonton di dalam kereta, tiadanya sokongan landskap amat menjengkelkan kerana untuk melayari katalog kandungan, hanya mod menegak disokong. Peranti kemudian perlu di pusing pada pendakap peranti (kerana memandu sambil memegang telefon adalah salah di sisi undang-undang) dan ini adalah tidak mesra pengguna.

Menurut Todd, ini disengajakan kerana antaramuka katalog yang telah dioptimumkan untuk dilihat pada posisi menegak. Sebarang perubahan akan mengakibatkan imej prebiu yang kami sentuh beberapa perenggan di atas direka semula bagi menarik perhatian pengguna. Jadi buat masa terdekat, sokongan menggunakan aplikasi Netflix pada posisi mendatar tidak akan disokong.

Pada waktu yang sama mereka masih bereksperimentasi dengan pemain video menegak. Hanya beberapa bulan yang lalu ujian pemain video menegak pada telefon pintar diaktifkan tetapi dihentikan selepas dua minggu. Apabila disoal, pihak Netlix berkata mereka sentiasa mengumpul input dari pengguna dan oleh kerana fungsi ini tidak digunakan dengan meluas ia dihentikan sementara mencara cara yang lebih baik sebelum diaktifkan sebelum diberikan kepada semua pengguna.

Netflix Tiada Perancangan Hanya Menawarkan Kandungan Terbitan Sendiri

Sebanyak 17 rancangan bersiri dan 7 filem terbitan sendiri dari Asia diumumkan di acara See What’s Next. Ini menimbulkan persoalan adalah ia  petanda awal Netflix akan hanya menawarkan kandungan terbitan sendiri selepas ini. Ini adalah persoalan yang berasas kerana perkhidmatan penstriman Disney+ telah diumumkan dan mungkin menyebabkan kandungan Marvel di Netflix dihentikan bagi mengelakkan pertindanan.

Reed Hasting yang merupakan CEO Netflix walau bagaimanapun mengatakan ini bukan hala tuju syarikat beliau buat masa ini. Netflix masih ingin dilihat sebagai platform pengedaran kandungan yang sebelum ini tidak ditawarkan secara global. BBC menurut beliau menggunakan Netflix sebagai platform penyebaran kandungan kepada pengguna di luar UK yang tidak boleh mengakses pemain iPlayer kerana halangan geolokasi.

Penerbit filem dari studio kecil juga boleh menggunakan Netflix untuk menayangkan filem yang mungkin tidak ditayangkan di Malaysia misalnya.

Kandungan semakin dioptimasikan untuk pengguna peranti mudah alih

Majoriti pengguna Netflix masih lagi menikmati kandungan menerusi televisyen tetapi jumlah pengguna yang mengaksesnya menerusi peranti pintar semakin meningkat terutamanya di Asia. Untuk pengguna di negara seperti India dan Filipina misalnya, pengoptimasian codec telah dilakukan bagi membolehkan lebih banyak kandungan boleh ditonton dengan kuota data yang kecil.

Sebagai contoh pada tahun 2015, dengan 4GB data pengguna boleh menonton Netflix selama 7 jam. Pada tahun 2018, data yang sama memberikan tempoh tontonan sehingga 26 jam. Dengan pengoptimasian yang berterusan, Netflix mensasarkan tempoh tontonan sehingga 33 jam dengan data yang sama dalam masa terdekat.

Netflix menyambut baik persaingan dari Disney+

Disney PlusPerkhidmatan penstriman Disney+ telahpun diumumkan minggu lalu dan ia dilihat sebagai pesaing kepada Netflix. Pihak Disney telahpun mengesahkan kandungan mereka akan tidak lagi ditawarkan di Netflix sejurus selepas Disney+ dilancarkan. Ini adalah antara sebab mengapa beberapa sisi Marvel dibatalkan di Netflix sejak dua bulan yang lalu.

Reed Hastings apabila disoal mengenai kewujudan Disney+ memberikan jawapan yang diplomatik. Menurut beliau terdapat pasaran yang cukup besar untuk lebih dari satu perkhidmatan penstriman video. Setiap satunya menawarkan kandungan yang unik untuk demografi berbeza. Sebelum Disney+, HBO turut mempunyai perkhidmatan penstriman mereka. Tahun lalu jumlah pelanggan HBO Go bertambah selari dengan jumlah pengguna Netflix.

Persaingan yang sengit tambah Hastings akan saling memberikan motivasi kepada pelbagai perkhidmatan penstriman untuk menawarkan kandungan terbaik kepada pelanggan. Di akhir hari ini akan menguntungkan pengguna.

Komen