Cari @ Amanz

Satu, banyak-banyak. Dua, sedikit-sedikit. Tiga, jarang-jarang. Empat, kadang-kadang. Apa itu? Ini ialah dialog legenda dari filem Nujum Pak Belalang karya Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Putih. Tetapi kini boleh digunapakai dalam penggunaan kamera utama pada sebuah telefon pintar. Samsung mempelopori penggunaan empat kamera dengan pelancaran Galaxy A9 2018 baru-baru ini.

Tetapi LG mempunyai perancangan lebih menakjubkan setelah mempatenkan telefon dengan enam belas kamera. Peranti dengan kamera seakan mata lalat ini boleh mengambil gambar dari pelbagai arah secara serentak. Pengguna kemudian boleh memilih gambar terbaik untuk digunakan. Sudut pandangan gambar juga boleh diubah selepas ia diambil. Terdapat juga sebuah cermin pada bahagian belakang bagi memudahkan proses mengambil swafoto.

Penggunaan 16 kamera pada satu peranti bukanlah idea yang baharu. Sebelum ini Light L16, sebuah kamera kompak turut hadir dengan 16 kamera dan syarikat ini telah menerima pelaburan dari Leica dan SoftBank untuk meneruskan sistem multi-lensa pada kamera.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd