Cari @ Amanz

Pihak Pos Malaysia hari ini berkongsi bahawa Pejabat Pos Jasin di Melaka kini hadir dengan sambungan internet selaju 900Mbps, melalui ujian rintis akses internet yang dilakukan mereka melalui sambungan terus kepada infrastruktur jalur-lebar daripada Tenaga Nasional – dan bukannya menggunakan talian biasa yang ditawarkan oleh penyedia seperti TM Unifi, Maxis Home, atau TIME.

Melalui apa yang diperlihatkan Pos Malaysia, mereka mempertontonkan Pejabat Pos Jasin kini menikmati internet berkelajuan mencapai 935Mbps untuk muat-turun, selain kadar muat-naik yang mencapai 735Mbps.

Apa yang lebih menarik lagi, Pos Malaysia turut berterima kasih kepada pihak kerajaan dan SKMM untuk menawarkan akses internet berkelajuan tinggi ini pada harga yang berpatutan – sekaligus seumpama memberikan petanda akses internet melalui TNB ini akan lebih kompetitif berbanding penawaran internet hari ini.

Buat masa ini kami masih tidak dapat kepastian samada Tenaga Nasional akan hadir dengan bisnes pembekal internet (ISP) mereka sendiri, ataupun hanya akan membina infrastruktur jalur-lebar berkelajuan tinggi dan akan melesenkannya kepada ISP lain. Untuk makluman, sebelum ini TNB telah mengambil-alih syarikat Cyberjaya Broadband, iaitu salah satu syarikat penyedia perkhidmatan internet di Cyberjaya.

TNB buat masa ini sedang melakukan ujian penawaran infrastruktur jalur-lebar mereka di Jasin, melibatkan Taman Merbau, Taman Maju, dan juga Felda Kemendor. Desas-desus turut mengatakan TNB akan memperluaskan penawaran mereka ke beberapa kawasan lain dalam masa terdekat ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd