Cari @ Amanz

Lebih seminggu sudah berlalu sejak Samsung Galaxy S10+ dilancarkan secara rasmi di acara Unpacked yang berlangsung di San Francisco. Buat pertama kalinya di dalam sejarah Galaxy S, sistem tri-kamera utama digunakan. Ini mengikut jejak pesaing mereka Huawei memperkenalkannya tahun lalu.

Selain itu Galaxy S10+ juga dilengkapi skrin Infinity-O yang membolehkan kamera diletakkan di belakang skrin. Hasilnya ialah sebuah peranti yang mempunyai bahagian dahi dan dagu yang paling kecil pernah digunakan dalam sejarah Samsung.

Selepas menggunakan peranti ini lebih daripada seminggu, kini tiba masanya untuk kami mengulasnya. Adakah ia peranti yang berbaloi untuk dimiliki dan akan memastikan Samsung berada persada peranti mercu untuk tahun 2019? Berikut ialah ulasan lengkap dari kami untuk Samsung Galaxy S10+.

Spesifikasi

Samsung Galaxy S10+
Skrin 6.4″ QHD+
Dynamic AMOLED HDR10+
Pemproses Exynos 9820 (Malaysia)
Cip 2.7 X 2 GHz Custom
2.3 X 2 GHz Cortex A75
1.9 X 4 GHz Cortex A55
Cip Grafik Mali-G76 MP12
RAM 8 Gigabyte LPDDR4X
Muatan Dalaman Sehingga 512GB
(mikro SD sehingga 512GB)
Kamera Utama 12+12+16 Megapixel.
f/1.5+f/2.4+f/2.2, OIS, HDR
Kamera Depan 10+8 Megapixel f/1.9
Bateri 4100 mAh
(Pengecasan pantas + Tanpa wayar)
SIM/Telefoni Dwi SIM Nano (Talam Hibrid)
NFC Ya/ Samsung Pay
Infra Merah Tiada
Kalis Air IP68
Sistem Imbasan Cap jari terbina dalam skrin dan wajah
Harga Jualan Bermula dari RM 3699

Hanya satu Samsung Galaxy S10+ telah kami terima untuk sesi ulasan uni. Ia dilengkapi skrin sebesar 6.4″ Adaptive AMOLED dengan resolusi sehingga QHD+. Ini ialah saiz skrin yang sama seperti yang ditemui pada Galaxy Note 9 tahun lalu. Ini sekaligus menjadikan Galaxy S10+ peranti pertama dalam keluarga Galaxy S yang mempunyai saiz sama dengan sebuah peranti Galaxy Note. Seperti biasa skrin hanya ditetapkan pada FHD+ pada awalnya dan pengguna perlu menukarnya ke QHD+ secara manual.

Teknologi skrin Dynamic AMOLED yang menggantikan skrin Super AMOLED ini memberikan kemampuan untuk memaparkan kandungan HDR10+. Sebelum ini HDR10+ hanya disokong pada televisyen QLED keluaran Samsung.  Menurut mereka HDR10+ memberikan imej yang lebih terang dan jelas berbanding HDR10 biasa. Ini adalah menerusi penggunaan datameta dinamik yang berubah mengikut babak berbeza video yang ditonton dan bukannya datameta statik yang tidak berubah dari awal. Pada waktu yang sama format HDR10 masih lagi disokong. Skrin terkini ini mampu memaparkan keterangan maksimum 1200 nits.

Dengan penggunaan skrin Infinity-O ini, bahagian dahi Galaxy S10+ adalah lebih nipis berbanding Galaxy S9+. Dagu juga turut menjalani proses yang sama dengan beberapa milimeter berjaya dicukur bagi memberikan peratusan permukaan skrin kepada bahagian hadapan yang tinggi sekitar 93.1%. Galaxy S10+ mempunyai saiz fizikal yang lebih kecil berbanding Galaxy Note 9 sungguhpun mempunyai saiz skrin yang sama.

Sebuah lagi fungsi baharu pada skrin ini ialah pengimbas cap jari terbina dalam skrin. Pengimbas ini adalah dari jenis ultrasonik yang dikatakan lebih selamat kerana mengimbas alur pada hujung jari secara tiga dimensi. Ini juga membolehkan ia mengimbas cap jari walaupun ia basah ataupun kotor. Kekurangan utama pengimbas cap jari optikal yang ditemui pada peranti seperti OnePlus 6T dan Mate 20 Pro ialah gagal mengimbas cap jari sekiranya ia kotor ataupun basah. Kerana penggunaan pengimbas ultrasonik ini, pelindung skrin telah terpasang pada setiap Galaxy S10+ yang dijual. Pengguna tidak perlu risau pelindung pihak ketiga yang dibeli akan menyebabkan pengimbas gagal berfungsi.

Proses menyahkunci adalah amat pantas jika dibandingkan dengan pengimbas optikal. Jari hanya perlu menyentuh skrin dan anda akan terus dibawa ke muka utama. Pengimbas jenis optikal memerlukan jari ditekan sebelum imbasan dapat dilakukan dengan sempurna. Nyata sekali selepas ini pengimbas jenis ultrasonik ini perlu dijadikan standard pada peranti mercu kerana kepantasannya.

Dengan pengenalan pengimbas cap jari dalam skrin, sistem imbasan anak mata (iris-scanner) infra-merah tidak lagi disertakan. Ini kerana tiada lagi ruang untuk dua sensor besar yang semalam ini ditemui pada bahagian dagu. Galaxy S10+ hanya menyokong imbasan wajah dua dimensi. Memandangkan tiada lagi pemancar infra merah, sistem pengecaman wajah ini tidak berfungsi di dalam gelap. Bagi peminat sistem imbasan wajah, ini pastinya mengecewakan. Tetapi satu berita baik yang boleh kami berikan ialah ia boleh digunakan ketika peranti di dalam kedudukan landskap.

Pemproses terkini Exynos 9820 ditawarkan untuk pasaran Malaysia manakala pasara lain menggunakan cip Snapdragon 855. Pemproses Exynos 9820 ini dihasilkan menggunakan teknologi FinFET 8nm. Buat pertama kali juga konfigurasi 2+2+4 teras digunakan. Dua teras utama teras custom dengan kelajuan 2.7 GHz dipadankan dengan dua teras Cortex-A75 dengan kelajuan 2.3GHz dan empat teras kuasa rendah Cortex-A55 dengan kelajuan 1.9 GHz. Cip grafik yang digunakan pula ialah Mali-G76 MP12 yang sedikit lebih pantas berbanding Mali-G76 MP10 pada HiSilicon Kirin 980.

Ini dipadankan dengan memori sehingga 12GB RAM dan storan sehingga 1TB. Model paling asas dilengkapi memori sebesar 8 GB RAM yang masih lagi adalah amat besar bagi sebuah telefon pintar. Nampaknya era RAM sebesar 6GB telah berakhir. Bagi yang merasakan storan yang diberikan masih tidak mencukupi, terdapat sokongan penambahan storan menggunakan kad mikro SD sehingga 512GB. Ini menjadikannya peranti pertama dengan kombinasi storan sehingga 1.5TB.

Model dengan Pilihan memori 12GB RAM dan storan sebesar 1TB buat masa ini tidak ditawarkan untuk pasaran Malaysia. Pihak Samsung Malaysia belum mempunyai perancangan membawa masuk model yang turut hadir dengan kemasan yang diperbuat daripada seramik ini.

Bercakap mengenai kamera pula, tri-kamera utama kini menggabungkan sensor 12+12+16 Megapixel. Sensor 12-Megapixel dipadankan dengan lensa bukaan boleh laras f/1.5-f/2.4. Sensor 12-Megapixel f/2.4 digunakan pada kamera sekunder dengan kemampuan zoom optikal 2X dan akhir sekali sensor 16-Megapixel f/2.2 untuk lensa sudut ultra lebar 123 darjah. Terdapat sokongan penstabilan imej optikal pada dua sensor sebesar 12-Megapixel. Lensa sudut ultra-lebar pada Galaxy S10+ adalah lebih lebar (12mm) berbanding yang ditemui pada Mate 20 Pro (16mm).

Kamera hadapan pada Gaalxy S10+ ia adalah gabungan 10+8 Megapixel f/1.9 dengan auto-fokus. Sensor sekunder digunakan untuk mengesan kedalaman ketika swafoto diambil. Dengan kata lain peranti ini menyokong pengambilan gambar swafoto dengan kesan bokeh.

Sebuah bateri sebesar 3400 mAh disertakan pada S10 dan 4100 mah pada S10+. Ini sekali lagi adalah saiz bateri yang lebih besar berbanding tahun lalu dan ini diharap dapat menyelesaikan masalah hayat penggunaan peranti yang kurang memuaskan. Sedikit mengecewakan S10 masih menggunakan format pengecasan Adaptive Fast Charging dengan output maksimum 18W sahaja. Ini ialah format pengecasan yang sudah digunakan sejak S7. Ini mungkin keputusan yang kurang bijak memandangkan pesaing mereka sudah menyokong format pengecasan yang jauh lebih pantas.

Penambahbaikan hanya dilakukan pada pengecasan secara nirwayar Wireless Charging 2.0 yang lebih pantas. Peranti ini juga mempunyai sokongan sistem pengecasan nirwayar peranti lain PowerShare. Ia boleh digunakan untuk mengecas telefon pintar lain atau fon telinga nirwayar Galaxy Buds yang turut dilancarkan hari ini.

Kesemua komponen ini tersimpan kemas di dalam tubuh peranti yang kalis air dengan piawaian IP68.

Rekabentuk

Walaupun kedua-dua peranti mempunyai saiz skrin yang lebih besar, saiz peranti tidak berubah dengan drastik berbanding S9. Ini adalah seperti yang kami katakan di atas kerana rekaan dahi dan dagu yang jauh lebih nipis. Apabila diletakkan bersebelahan sebuah Galaxy Note 9, Galaxy S10+ masih lagi lebih pendek.

Lubang kamera pada S10 tidak mengganggu penggunaan peranti kerana saiznya yang kecil. Pada S10+ harus kami akui ia adalah sedikit mengganggu kerana saiznya yang agak besar. Sebelum ini kami menggunakan iPhone XS Max dan Mate 20 Pro. Harus kami akui selepas menggunakan dua peranti ini selama beberapa hari kami tidak lagi menyedari kewujudan takuk yang agak besar. Kami yakin kewujudan lubang kamera yang agak besar ini juga mungkin akan tidak disedari pengguna selepas beberapa ketika. Namun begitu inilah kompromi yang perlu dilakukan bagi mendapatkan peranti yang hampir tiada bezel dan peratusan permukaan skrin hadapan yang besar tanpa penggunaan takuk.

Dengan dwi-sisi yang melengkung, peranti amat selesa dipegang. Bagi mereka yang pernah menggunakan S6 Edge, S7 Edge, S8 dan S9, rekaan S10 tidak akan mendatangkan kecanggungan di dalam tangan.

Panel belakang didominasi oleh kamera yang disusun dalam bentuk segi empat tepat. Tiga kamera, flash dan pengimbas nadi disusun mendatar dengan bonjolan yang kecil. Tiada lagi pengimbas cap jari fizikal menyelesaikan masalah lensa yang kotor kerana jari tersentuh lensa secara tidak sengaja. Bahagian belakang ini diperbuat daripada kaca dengan pilihan warna cerun. Seperti biasa ini membuatkan peranti menjadi sedikit licin dan mengumpul kotoran dengan mudah.

Pada sisi kanan terdapat butang kuasa yang diperbuat daripada logam dengan butang suara dan Bixby pada sisi kiri. Binaannya kukuh, tidak terasa terlalu lembut atau terlalu keras. Namun begitu kedudukan butang kuasa yang baharu ini adalah terlalu tinggi dan canggung untuk diakses. Pelik mengapa kedudukan butang kuasa sebelum ini yang telah sedia sempurna diubah.

Keseluruhan bingkai kini tidak lagi mempunyai warna yang sama seperti panel belakang. Ini kini mempunyai kemasan logam berkilat seperti yang ditemui pada sebuah iPhone XS. Secara peribadi kami lebih menyukai sekiranya bingkai mempunyai warna yang sama dengan panel belakang kerana ia membuatkan peranti kelihatan lebih teguh.

Sebuah pembesar suara terletak pada bahagian bawah. Apabila dipadankan dengan gagang telinga yang kecil pada bahagian atas skrin, peranti menyokong audio stereo dengan Dolby Atmos. Penggunaan sistem pembesar suara dalam skrin yang diuar-uarkan nampaknya tidak berlaku.

Sebuah bicu audio 3.5mm turut disertakan bagi mereka yang masih belum bersedia berhijrah ke dunia aksesori bluetooth atau USB-C. Akhir sekali talam SIM terletak pada bahagian atas. Ia menyokong dwi-SIM nano dengan talam kedua turut boleh menyokong sebuah kad mikro SD sekiranya perlu.

Secara keseluruhan ini adalah rekaan Galaxy S9+ yang menerima penambahbaikan kecil dari input yang diberikan oleh pengguna. Satu perkara yang sedikit aneh ialah peranti kini lebih ringan berbanding Galaxy S9+. Ini membuatkannya terasa sedikit canggung kerana kami sudah terbiasa dengan peranti yang lebih berat sebelum ini.

Antaramuka

GalaxyS10+ menggunakan sistem operasi Android 9 Pie dengan pelancar Samsung One UI 1.1. Ini adalah antaramuka yang lebih terkini berbanding yang diberikan kepada Galaxy S9 dan Note 9 menerusi kemas kini Pie bulan lalu. Perbezaan terletak pada set ikon baharu yang lebih ceria dan kemas berbanding yang ditemui pada One UI 1.0.

Antaramuka One UI direka untuk memudahkan lagi penggunaan sebelah tangan tanpa perlu mengaktifkan mod sebelah tangan. Elemen antaramuka diletakkan pada bahagian bawah skrin. Rekaannya juga lebih minimalis berbanding Samsung Experience. Apa yang kami sedari sejak kebelakangan ini antaramuka pelancar Samsung semakin mengikut langkah Android Asli yang mudah difahami dan sedap mata memandang.

Masih terdapat tiga butang navigasi atas skrin iaitu multi tugas, home dan back. Susunan butang boleh diubah mengikut kehendak pengguna. Sistem gesture seakan Android Pie asli juga disertakan walaupun tanpa butang berbentuk pil pada bahagian bawah skrin. Pengguna boleh mengubah aplikasi dengan menggerakkan jari di atas butang home dan kemudian menatal ke kanan.

Terdapat satu lagi pilihan navigasi menerusi tatalan dari bawah skrin. Namun begitu kami merasakan sistem navigasi ini tidak intuitif untuk digunakan. Selari dengan One UI baharu, proses melakukan multi window juga diubah. Tiada lagi butang khas untuk melancarkannya tetapi pengguna menekan butang multi-tugas, tekan ikon aplikasi untuk membuka menu multi-window sebelum memilih aplikasi yang ingin digunakan. Proses pengaktifkan multi-window pada Samsung Experience pada hebat kami adalah jauh lebih baik.

Berikut adalah beberapa fungsi menarik yang disertakan pada Galaxy S10 dan S10+.

Always On Display – Skrin memaparkan notifkasi sepanjang masa tanpa menggunakan bateri yang tinggi.

Device Care- Pusat satu hentian yang membersihkan storan, virus dan juga penggunaan RAM.

Digital Wellbeing – Memantau penggunaan peranti bagi membolehkan pengguna mengurangkan penggunannya. Masa penggunaan setiap peranti boleh dilihat. Terdapat mod skrin monokrom yang disahkan boleh mengurangkan masa yang dihabiskan menggunakan telefon pintar.

Dual Messenger – Menggunakan dua aplikasi seperti WhatsApp secara serentak.

Edge Panels – Singkatan pantas untuk pelbagai aplikasi, lampu sulur, kalkulator, berita dan sebagainya yang boleh dikustomasi oleh pengguna.

Game Launcher – Mod permua yang menghalang gangguan ketika sedang bemain.

Kids Home – Mengubah antaramuka menjadi lebih mesra kanak-kanak dan mengehadkan akses kepada aplikasi. Had masa boleh ditetapkan dan menghalang laman web yang boleh dilayari.

Melancarkan kamera dengan pantas – Aplikasi kamera turut boleh dilancarkan dengan menekan butang kuasa dengan pantas sebanyak dua kali.

Navigation Bar – Dua pilihan navigasi iaitu tri-butang atau Full Screen Gesture.

Night Mode – Tema gelap pada keseluruhan antaramuka bagi mengurangkan penggunaan bateri.

One Handed Mode – Mengecilkan paparan skrin untuk memudahkan penggunaan sebelah tangan. Dilakukan dengan menekan butang home sebanyak tiga kali atau tatalan dari bawah ke atas skrin.

Pengecasan Nirwayar Dua Arah – Peranti boleh dicas semula secara nirwayar dan mengecas peranti lain juga secara nirwayar.

Kamera

Tri-kamera utama menggabungkan sensor 12+12+16 Megapixel (f/1.5+f/2.4)+f/2.4+f/2.2 dengan sensor terbesar digunakan pada lensa sudut ultra-lebar. Ini adalah kali pertama peranti dalam keluar Galaxy S hadir dengan sokongan sudut ultra lebar. Sebelum ini ia diperkenalkan pada peranti Galaxy A7 2018. Dari segi kemampuan zoom optikal, ia masih lagi hanya 2X seperti yang ditemui pada Galaxy S9+ dan Galaxy Note 9. Sokongan zoom digital pula adalah sehingga 10X.

Pada bahagian hadapan pula sensor sebesar 10+8-Megapixel f/1.9+f/2.2 digunakan untuk rakaman swafoto beresolusi tinggi sehingga 4K. Dengan penggunaan dwi-kamera, buat pertama kali fungsi Live Focus yang memberikan kesan khas bokeh boleh dilakukan di dalam mod swafoto.

Peranti hanya menangkap gambar dengan nisbah 4:3, 16:9, 19:9 dan 1:1. Untuk video pula terdapat kemampuan merakam video pada tetapan maksimum 4K 60 dengan HDR. Mod-mod kamera yang disertakan adalah seperti Panorama, Live-Focus, Pro, Instagram dan Super Slow Motion.

Bercakap mengenai Live Focus, kali ini terdapat tetapan baharu yang membolehkan latar belakang diubah dengan beberapa penuras kesan khas. Antara yang boleh dilakukan ialah memisahkan latar belakang dengan subjek dan mengubahnya menjadi mod monokrom.

Kami ingin juga menyentuh mod Instagram yang terbina pada aplikasi kamera. Menerusi mod ini gambar yang diambil boleh dikongsi terus ke Stories atau susur masa akaun Instagram pengguna. Ini mengurangkan satu langkah untuk pengguna berkongsi foto terkini mereka ke platform media sosial yang popular ini.

Kualiti Gambar

Gambar yang diambil menggunakan Galaxy S10+ adalah terang, menghasilkan semula warna yang tepat dan berfungsi dengan lancar. Dengan pengenalan lensa sudut ultra lebar, mengambil gambar secara berkumpulan boleh dilakukan dengan lebih mudah. Apabila mengambil gambar pemandangan atau bangunan pula, gambar yang dihasilkan kelihatan lebih epik. Menerusi peranti ini Samsung akhirnya mempunyai jawapan kepada Mate 20 Pro yang kami nobatkan sebagai raja kamera bagi peranti mudah alih 2018.

Dalam situasi pencahayaan yang baik seperti yang dapat anda lihat di bawah, penghasilan warna dan dedahan adalah amat baik. Malahan jika ada sumber cahaya yang terang seperti matahari sekalipun, kesan silau adalah kurang ketara jika dibandingkan dengan kualiti gambar Galaxy Note 9 sebelum ini.

Bagaimana pula apabila gambar diambil pada waktu malam? Sekali lagi Galaxy S10+ tidak mengecewakan kerana pengguna lensa dengan bukaan boleh laras f/1.5-f/2.4. Sumber cahaya yang terang tidak  tidak kelihatan seperti bebola cahaya besar yang menyilaukan mata dengan dedahan yang berlebihan. Kesemua gambar di bawah diambil menggunakan mod automatik dengan Scene Optimiser serta HDR diaktifkan

Bagaimana pula dengan prestasi sistem zoom optikal 2X dan lensa sudut ultra lebarnya pula?  Hasilnya adalah seperti di bawah seperti yang anda boleh lihat adalah memuaskan. Warna pada gambar sama seperti objek sebenar dan pada tetapan zoom -6X, banyak objek dapat diambil tanpa kami perlu melangkah ke belakang.

Berikut pula ialah perbandingan kualiti gambar yang diambil menggunakan Galaxy 10+, Huawei Mate 20 Pro dan Apple iPhone XS Max. Dapat dilihat dengan ketara penghasilan semula warna, dedahan dan juga ketajaman gambar yang diambil pada Galaxy S10+ amat baik. Kami merasakan pada dua contoh gambar di bawah, penghasilan semula warna, keterangan dan dedahan gambar Galaxy S10+ adalah lebih baik berbanding dua peranti pesaing.

Walau bagaimanapun satu kekurangan yang kami sedari apabila gambar di zoom sepenuhnya ialah ketajaman gambar pada Galaxy S10+ adalah sedikit kurang berbanding Mate 20 dan iPhone XS Max. Ini hanya dilihat apabila gambar dilihat pada saiz sebenar di kaca komputer.

Audio

Terdapat sokongan audio stereo pada peranti ini dengan satu pembesar suara terletak pada gagang telinga dan sebuah pada bahagia bawah peranti. Dengan sokongan audio Dolby Atmos, kualiti audio yang dihasilkan adalah lantang serta jelas. Pada tetapan audio paling tinggi ia adalah lebih lantang berbanding yang mampu dihasilkan oleh pembesar suara Galaxy S9+ dan Galaxy Note 9. Audio adalah seimbang dan tidak pecah walaupun pada tetapan audio tertinggi.

Perkara yang paling menarik ialah masih terdapat bicu audio 3.5mm. Samsung masih merasakan bicu audio ialah komponen penting yang masih perlu disertakan walaupun mereka ada menghasilkan aksesori bluetooth seperti Galaxy Buds.

Kualiti audio menerusi fon telinga AKG yang yang disertakan adalah memuaskan. Dentuman bass adalah bermaya dengan treble yang cukup rangup. Kualiti audio dapat dipertingkatkan lagi dengan menggunakan aplikasi yang menala audio menurut telinga pengguna. Kualiti audio menerusi tambatan bluetooth juga memuaskan menerusi sokongan bluetooth 5.0. Pelbagai aksesori yang kami uji dapat ditambat dengan pantas dan menunjukkan tahap bateri dalam masa nyata. Tetapi terdapat pepijat di mana audio akan terhenti dengan sendiri apabila skrin dimatikan. Ia berlaku secara rawak dan agak menjengkelkan.

Penanda Aras

Dalam ujian penanda aras yang kami lakukan, cip Exynos 9820 peranti ini  mencatatkan 4505 markah dalam ujian satu teras Geekbench 4 dan 9981 markah dalam ujian multi teras. Ini ialah markah tertinggi Geekbench 4untuk peranti Android yang pernah dicatatkan di makmal Amanz. Sebelum ini rekod dipegang oleh Kirin 980 pada Huawei Mate 20 Pro.

Markah ini masih di belakang markah tertinggi pernah dicatatkan di makmal Amanz oleh iPhone XS Max. Sebagai peringatan Apple A12 Fusion mencatatkan 4834 markah untuk ujian satu teras dan 11,430 markah untuk ujian multi-teras dalam ujian Geekbench.

Tetapi di dalam ujian penanda aras Antutu pula, Galaxy S10+ mencatatkan 329,343 markah yang adalah lebih tinggi berbanding 319,929 markah yang dicatatkan oleh Apple 12 Fusion. Ini sekaligus mengesahkan status Galaxy S10+ sebagai peranti Android yang paling berkuasa pernah diuji di Amanz.

Dalam kegunaan harian peranti berfungsi dengan amat lancar tanpa sebarang masalah sela masa. Gabungan pemproses berkuasa dan saiz RAM yang lebih besar dari biasa memastikan peranti ini tidak mempunyai masalah melancarkan lebih dari 15 aplikasi tanpa perlu melakukan proses segar semula. Melancarkan aplikasi juga pantas dan kami tidak mengalami sebarang masalah pemanasan melampau atau aplikasi gagal dilancarkan.

Bateri

Dengan saiz bateri 4100 mAh, Galaxy S10+ adalah peranti mercu dengan kapasiti bateri terbesar pernah digunakan. Galaxy S9+ tahun lalu hanya dilengkapi bateri sebesar 3500 mAh dan Galaxy Note 9 tahun lalu dilengkapi bateri sebesar 4000 mAh. Peningkatan saiz bateri ini amat diperlukan kerana tahun lalu kelemahan paling ketara Galaxy S9+ adalah hayat bateri yang tidak memuaskan.

Tidak mengejutkan dengan bateri yang bersaiz besar, peranti ini mampu bertahan sehingga 24 jam pada penggunaan biasa dengan skrin terpasang selama 7.5 jam. Pada penggunaan yang lebih intensif, peranti bertahan selama 16 jam dengan skrin terpasang selama 8 jam 40 minit. Masa penggunaan ini kami capai dengan mengaktifkan sistem Adaptive Battery yang disertakan. Kecerdasan buatan digunakan bagi meramal penggunaan bateri pengguna dan ia sentiasa belajar dari tabiat pengguna.

Pesaing

Peranti mercu yang paling sesuai dibandingkan dengan Galaxy S10+ ialah Huawei Mate 20 Pro dan Apple iPhone XS Max. Mate 20 Pro dipilih kerana ia adalah peranti mercu dengan lensa sudut ultra lebar dan iPhone XS Max pula adalah kerana ia adalah peranti paling berkuasa di pasaran sekarang.

Peranti Pesaing
Apple iPhone X Max Huawei Mate 20 Pro Samsung Galaxy S10+
6.5″ AMOLED Super Retina Display, HDR  (458 PPI) 6.39″ AMOLED QHD+ HDR (538 PPI) 6.4″  Adaptive AMOLED QHD+ HDR (522 PPI)
2+4 Teras Apple A12 Bionic 2.6 x 2 + 1.92 x 2 + 1.8 x 4 GHz Kirin 980 2.73 x 2 + 2.31 x 2 + 1.95 x 4 GHz Exynos 9820
Apple Mali-G76 MP10 Mali-G76 MP12
4 Gigabyte 6 Gigabyte 8 Gigabyte
64/256/512 Gigabyte 128 Gigabyte (NM Card sehingga 256GB) 128 Gigabyte (512GB MikroSD)
Kamera Utama 12+12 Megapixel f/1.8+f/2.4, OIS, PDAF, Zoom Optikal Kamera Utama 40+20+8 Megapixel. f/1.8+f/2..2+f/2.4, OIS, PDAF, Zoom Optikal Kamera Utama 12+12+16 Megapixel, (f/1.5+f/2.4) + f./2.4 + f/2.2, OIS, Dual Pixel
Kamera Hadapan 7 Megapixel f/2.0 Kamera Hadapan 24 Megapixel f/2.0 Kamera Hadapan 10-+8 Megapixel, f/1.9 +f/2.2
IP68 IP68 IP68
3174 mAh (18W)/Nirwayar 4200 mAh (SuperCharge 40W)/Nirwayar 4100 mAh (Adaptive Fast Charging)/Nirwayar
RM 5399- RM 7049 RM 2999 RM 3699

Kesimpulan

Dengan Galaxy S10+, Samsung cuba kembali ke persada peranti mercu yang terbaik di pasaran. Antaramuka baharu One UI memudahkan penggunaan peranti yang kini mempunyai skrin yang semakin besar. Peranti lebih selesa digunakan dengan sebelah tangan tanpa mengakses mod One Hande Mode yang diberikan. Apabila dipadankan dengan pemproses yang berkuasa dan saiz RAM yang besar, ia menjadikan Galaxy S10+ sebagai peranti Android yang paling selesa digunakan sejak kami mula menggunakan platform ini.

Tidak mengikut jejak pengeluar lain, Samsung masih mampu memperkenalkan inovasi tanpa membuang fungsi penting seperti bicu audio dan kalis air IP68. Malahan dengan bateri sebesar 4100 mAh, Samsung menyelesaikan masalah peranti mercu yang terlalu mudah kehabisan kuasa. Pada penggunaan sederhana ia mampu bertahan sehingga 16 jam dengan skrin terpasang hampir 9 jam. Ini menjadikan Galaxy S10 terbaik di dalam kelasnya dalam ketahanan bateri.

Kemampuan kamera Samsung tidak pernah mengecewakan dan reputasi mereka diteruskan oleh Galaxy S10+. Penghasilan semula warna, dan tahap dedahan gambar yang diambil adalah cukup memuaskan. Malahan kami merasakan penghasilan semula warna pada peranti ini lebih baik berbanding Mate 20 Pro dan iPhone XS Max. Kekurangan yang ditemui ialah pada tahap ketajaman. Imej kelihatan sedikit lembut apabila dilihat di skrin komputer pada saiz sebenar.

Kemampuan merakam video juga telah dipertingkatkan. Video yang dihasilkan tajam dengan kualiti audio yang amat baik. Dengan mod Super Steady, video yang amat stabil dapat kami rakam walaupun ketika berdiri di atas geladak kapal yang sedang dipukul ombak. Kemampuan menstabilkan video Galaxy S10+ benar-benar mengagumkan.

Samsung Galaxy S10+ dijual di Malaysia pada harga RM3699. Peranti ini kami sarankan kepada mereka yang mencari peranti yang berkuasa, stabil, pantas dan mampu bertahan hampir sepanjang hari dengan sekali caj. Kami hanya berharap terdapat kemas kini perisian yang dapat menyelesaikan masalah gambar yang agak kabur kerana ini sepatutnya bukan sesuatu yang ditemui pada peranti Samsung.

Kelebihan Kekurangan
  • Peranti Android paling berkuasa pada tahun setakat ini. Aplikasi dapat dilancarkan dengan pantas dan tanpa masalah.
  • Antaramuka One UI memudahkan penggunaan peranti dengan sebelah tangan.
  • Sistem imbasan cap jari yang pantas dan boleh mengimbas walau jari kotor.
  • Kemampuan rakaman video dan gambar yang amat baik.
  • Ketahanan bateri yang mengagumkan.
  • Masih dilengkapi bicu audio.
  • Pengecasan nirwayar disokong pada kuasa 15W. Turut boleh mengecas peranti lain secara nirwayar.
  • Sistem imbasan wajah tidak berfungsi di dalam gelap. Tiada lagi sistem imbasan iris infra merah.
  • Pengecasan pantas hanya pada kuasa 18W yang lebih perlahan berbanding pesaing.
  • Kedudukan butang kuasa terlalu tinggi dan canggung.
  • Gambar sedikit kurang tajam jika dibandingkan dengan peranti Samsung sebelum ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd