WeChat Pay MY Bakal Mengembangkan Pembayaran Nirtunai Di Restoran Dan Gerai-Gerai

WeChat Pay MY Bakal Mengembangkan Pembayaran Nirtunai Di Restoran Dan Gerai-Gerai

Diterbitkan pada Mac 26, 2019 oleh .

Jika anda ke China anda pasti menyedari dunia kehidupan nirtunai sudahpun menjadi realiti kerana ia disokong bukan sahaja di kedai-kedai utama malahan untuk perniagaan kecil seperti gerai makan di tepi jalan. Antara sistem pembayaran nirtunai yang paling popular ialah WeChat Pay. Di Malaysia WeChat Pay MY telah memulakan operasi sejak Jun 2018 dengan sokongan pembelian minyak di Petron serta minuman di Starbucks. Hari ini mereka mengumumkan sokongan di beberapa rangkaian kedai terkemuka serta perancangan masa depan di Malaysia.

WeChat Pay MY kini turut boleh digunakan di rangkaian kedai KK Mart, Hari Hari, TeaLive dan Syed Bistro. Mereka berharap sistem pembayaran mereka ini akan turut digunakan oleh perniagaan kecil-kecilan seperti penjual kuih di tepi jalan. Mereka juga mempunyai perancangan menyokong pembelian menerusi mesin layan diri dan memesan makanan di restoran terus menerusi aplikasi WeChat tanpa perlu menanti layanan dari pekerja terlebih dahulu. Pihak WeChat berharap kesemua konsep serta sistem pembayaran seperti pembayaran di kedai mamak yang diperlihatkan hari ini akan dilancarkan dalam masa terdekat.

Implementasi penggunaan WeChat Pay MY di gerai kami rasakan paling menarik kerana tiada kos perlu dikeluarkan oleh peniaga untuk mengintegrasikan sistem bayaran nirtunai. Mereka hanya perlu memiliki sebuah telefon pintar dengan Internet, menjana kod QR peribadi dan kemudian mempamerkannya di premis perniagaan. Tiada mesin bacaan khas diperlukan yang meningkatkan kos kepada peniaga.

Dengan penggunaan sistem nirtunai yang lebih meluas, pengguna di Malaysia akan dapat menikmati perkhidmatan yang setanding dengan pengguna di China dan aplikasi WeChat kini bukan sekadar platform penghantaran mesej dengan sistem ejaan mesra milenial.


TIPS & ULASAN